Selepas 13 tahun hidup bahagia, suami mahu kahwin lain
SOALAN :
SAYA sudah berumah tangga sejak 13 tahun lalu dan dikurniakan tiga cahaya mata. Kini, ketika saya sedang membuat persediaan melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di luar negara, saya dikejutkan dengan pengakuan suami bahawa dia tidak gembira hidup bersama saya. Katanya, saya tidak pandai mengambil hati keluarganya selepas 13 tahun berkahwin. Waktu saya mencari-cari kebenaran alasan itu, saya diberitahu, suami saya memiliki cinta baru. Dia bercinta dengan seorang penuntut universiti awam di selatan tanah air.
Mereka merancang untuk berkahwin. Saya mahu memberi laluan dan menarik diri daripada perkahwinan kami tetapi gadis itu memberi syarat kepada suami saya supaya jangan menceraikan saya kalau hendak mengahwininya.
Suami saya kata hati gadis itu sungguh mulia kerana tidak mahu saya diceraikan dan rumah tangga kami berantakan. Hati saya hancur tapi saya kuatkan semangat, saya minta suami temukan saya dengan gadis itu. Saya ingin lihat sendiri gadis yang mencuri kebahagiaan rumah tangga saya. Saat menanti pertemuan itu, saya kuatkan semangat untuk teruskan niat, saya mahu tahu dan faham apakah yang suami mahu daripada perkahwinan kedua itu.
Pada masa ini saya ibarat kawan baik suami. Dia bercerita mengenai setiap pertemuannya dengan gadis itu dan menunjukkan gambar gadis itu kepada saya. Saya kuatkan semangat untuk anak-anak sedangkan dalam hati Tuhan saja yang tahu. Tidak sangka begini akhirnya rumah tangga kami. Mengapa gadis itu hadir ketika saya sangat perlukan suami, ketika saya bakal melanjutkan pengajian. Saya sangat kecewa, di mana hak saya sebagai isteri jika terus terseksa dalam perkahwinan ini kerana antara syarat gadis itu kepada suami ialah tidak menceraikan saya?
Fatin
Selangor.
JAWAPAN :
FATIN yang dirahmati Allah. Anda sedang diuji Allah dengan gejolak rumahtangga dan tergugahnya cinta yang bersemi selama ini, cinta yang menghidupkan segala semangat dan kekuatan sehingga bercita-cita melanjutkan pengajian peringkat tertinggi ke luar negara.
Ini bermakna anda bukan saja membina cinta bersama pasangan tetapi membina cita-cita serentak. Ini anugerah yang sangat mahal dari Allah. Ketahuilah nikmat bahagia itu adalah hadiah dari Allah yang tidak diberikan kepada semua orang. Maka berasa bertuahlah anda setelah menikmati hidup bahagia tidak terkira sekian lama.
Namun adalah mustahil jika sekiranya seseorang itu hanya diberi kebahagiaan saja kerana setiap yang wujud dalam dunia ini datang secara bergandingan, gembira akan dihiasi dengan duka, rindu disulam dengan benci dan yang berada akan diuji dengan kemiskinan. Maka setelah sekian lama bahagia maka sampailah masanya anda diuji dengan kesedihan dan kebencian. Nasihat saya biasakan diri anda dengan pengetahuan dan keyakinan bahawa anda akan menerima qada dan qadar Allah. Anda akan lebih tertekan jika anda tidak menerima ketentuan ini dari Allah. Adakah anda akan masuk ke dalam perut bumi atau akan mencari tangga yang paling tinggi untuk memanjat ke langit untuk melarikan diri dari menghadapi masalah ini?
Semua ini tidak akan berguna dan sama sekali tidak akan menolong anda lari dari qada dan qadar Allah. Ini satu cara membantu diri anda untuk diri anda dari tekanan berita dan keputusan yang dibuat oleh suami anda biarpun ia ibarat panahan petir, anda tidak dapat lari daripada menghadapinya. Jika anda lari, bingung dan berputus asa pun tidak akan merubah apa-apa. Ini kerana kesedihan itu akan datang kepada setiap orang sama ada dia baik atau zalim, yang kuat mahu pun yang lemah, yang kaya mahupun miskin.
Kesedihan yang anda hadapi bukan sesuatu yang baru kerana orang yang sebelum anda dan selepas anda akan mengalaminya. Kesedihan menyerang semua peringkat umur dan anda tidak terkecuali. Oleh itu belajarlah membangun kekuatan diri yang anda miliki selama ini. Jangan berasa jalan hidup yang akan anda lalui itu sempit, tali yang anda pegang akan putus, dunia akan gelap kerana semua yang didatangkan Allah sudah tersedia satu kemenangan, kebaikan dan pertolongan dari Allah di sebaliknya. Seperti yang dijanjikan Allah dalam surah al-An’am ayat 64, “Katakanlah, Allah menyelamatkan kamu daripada bencana itu dan daripada segala macam kesusahan” dengan syarat kita benar-benar menyedari bahawa Allah yang mengendalikan segala-galanya.
Allah yang menghidupkan, yang mematikan dan yang memberikan rezeki, mengapa anda harus takut meneruskan kehidupan seadanya. Jangan bergantung pada orang lain untuk memberikan kebahagiaan kepada kita, jangan cuba mencari simpati daripada orang lain, jangan minta dihargai dan disayangi oleh orang lain, keinginan untuk tidak dicela orang lain kerana semua sikap ini akan membuat kita kecewa dan kurang menghargai diri sendiri.
Buat perubahan dengan cara membangun rasa gembira sendiri dan cara berfikir yang positif dan perasaan positif, serta sikap mencintai diri sendiri melebihi mencintai orang lain. Menjaga perasaan sendiri lebih daripada menjaga perasaan orang lain. Jangan kecewa dan mengutuk diri jika kita tidak disayangi dan dicintai lagi kerana lumrah hati manusia pasti akan melalui apa yang dikatakan keinginan untuk berubah selera, berubah sikap, berpindah cinta dan lain-lain.
Inilah yang sedang dialami oleh suami anda, fahami dan terimalah dengan lapang dada, kerana anda tidak mampu merubah kehendaknya. Anda tidak perlu menyeksa diri mencari keburukan dan kelemahan diri anda hanya untuk mengaku tidak bersalah kerana sebenarnya yang sedang anda alami sekarang ini ialah perencanaan Allah, bukan perancangan kita sendiri tanpa campur tangan Allah.
Jangan sampai kita berburuk sangka dengan Allah kerana Ibnul Qayyim pernah berkata, jika anda berada dalam keadaan jauh dengan Allah maka Allah menyerahkan segala persoalan dan membiarkan apa yang terjadi antara anda dan hati anda dan apa yang anda hadapi kepada anda sendiri, tetapi jika anda benar dan berasa dekat dengan Allah dan beriman kepada Allah maka Allah akan sentiasa membantu kita.
Dengan keyakinan sebegini Umi mengharapkan anda terus fokus pada pengajian anda dan berusaha untuk hidup tanpanya dan bangunlah kebahagiaan daripada diri anda untuk anda dan anak-anak. Anda tidak perlu berjumpa bakal isteri suami dan tidak perlu menyalahkan diri wanita itu kerana suami anda yang main peranan utama dalam soal ini. Oleh itu pilihan terbaik ialah anda harus belajar melepaskan cinta suami daripada hati jika mampu atau simpan cintanya sebagai nostalgia dan gantikan dengan cinta Allah dan terimalah keadaan yang ditentukan Allah dengan lapang dada.
Jika wajar belajarlah berdikari agar anda berasa hidup ini belum berakhir dan insaflah jika Allah ambil satu kebahagiaan daripada kita dan kita reda, pasti Allah ganti dengan kebahagiaan yang 10 kali lebih hebat daripada apa yang hilang. Burulah cita-cita kerana ia akan membuahkan cinta yang lebih abadi daripada cinta suami. Ketahuilah Siapa yang menambah ilmu kerana Allah dia sedang memburu cinta Allah dan memburu syurga-Nya di dunia dan akhirat.
Itulah kebahagiaan paling mahal dan paling abadi. Bangunlah visi jangka panjang dalam hidup anda menjadi calon yang layak bertemu syurga.
Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan anda ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my
Sumber : Dr Rubiah K Hamzah (Pakar motivasi) di BHarian 2009/01/25
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...