Assalamualaikum warahmatullah,
Saya pernah diceritakan oleh seorang teman (ex-teman sekerja) yang sangat tertekan dengan keadaan dirinya yang sudah hampir setahun berkahwin tetapi masih belum dikurniakan zuriat. Dia menceritakan yang dirinya mengalami keguguran berkali-kali dan saya cuma dapat memintanya menjaga pemakanan dan bersabar. Dia juga berasa sangat tertekan kerana suaminya juga menyalahkan dirinya akibat keguguran yang dialaminya. Saya menyarankan dia dan suami berjumpa pakar O&G, kerana masalah kehamilan suami-isteri adalah masalah bersama, malangnya, suaminya berkata dia tidak punya masalah kesihatan (kesuburan) dan keguguran isterinya itu bukanlah masalah dia (suami). Si suami meyuruh teman saya mendapatkan nasihat pakar seorang diri... Tidak dapat saya bayangkan betapa sedihnya teman saya itu...
Ehem... Sepatutnya, suami beri sokongan 100% kepada isteri, janganlah ditambahkan lagi stress yang ada sebab keguguran yang dialami isteri bukanlah kemahuan isteri. Di waktu-waktu beginilah, suami harus bertimbang-rasa dan memberi sokongan moral yang tidak berbelah bagi kepada isteri memang tak patut benar si suami menambahkan lagi tekanan yang terpaksa dihadapi isteri. Nasib baiklah teman saya itu jauh di utara tanah air. Jika tidak, mahu suaminya saya 'basuh' kerana teman itu saya menganggapnya seperti adik saya sendiri.
Baru-baru ini, walaupun teman saya berjaya mengandung, takdir Allah, bayinya gugur setelah memasuki usia 7 bulan. Saya berdoa semoga dia tabah menghadapi ujian Allah. Saya minta dia berjumpa dengan pakar Q&G kerana keguguran boleh disebabkan oleh beberapa punca. Masalah kesuburan di Malaysia berpunca daripada suami (40%), isteri (40%) dan lebihan 20%, puncanya tidak diketahui (sumber : Prof Dr Hamid Arshat dan Dr. Mohd. Ismail Tambi).
Antara punca keguguran yang boleh dikenal pasti ialah :
- Pemakanan ibu yang tidak seimbang (asid folik amat penting untuk perkembangan sel, jika tidak mencukupi, boleh mengakibatkan kecacatan 'spina bifida')
- Masalah kesuburan (jika gugur lebih dari 3 kali berturut-turut)
- Kelainan pada rahim - penyakit dalam rahim yang sering dikaitkan endometriasis (rahimnya jatuh ke belakang), dan fibroid juga boleh menyebabkan keguguran berulang-ulang
- Dinding rahim lemah (uri tidak dapat melekat) atau pangkal serviks lemah (terbuka dan boleh menyebabkan janin keluar)
- Janin tidak disenyawakan dengan sempurna (kromosom atau gen ada mengalami kerosakan),kebiasannya keguguran dalamasa 12 minggu hamil
- Jangkitan kuman pada darah wanita yang mengandung (virus CMG, herpes simpleks dan rubela, juga parasit toksoplasmosis)
- Gangguan autoimun (suatu keadaan di mana sistem imun atau antibodi seseorang itu yang menyerang dirinya sendiri)
- Lain-lain sebab ialah merokok, meminum alkohol, mereka yang terdedah kepada bahan kimia berbahaya seperti kokain, ubat penghapus serangga, benda yang mengandungi radioaktif dan lain-lain.
Baru-baru ini saya juga membaca, salah satu punca keguguran boleh jadi disumbangkan oleh suami sendiri iaitu . Berikut saya kongsikan artikel berkaitan yang dipetik dari BHarian.
Faktor tekanan antara punca benih lelaki tidak normal, berkurangan
KEBANYAKAN lelaki yang sihat secara automatik akan menganggap sistem reproduktif mereka tidak bermasalah. Soalnya, sejauh mana kesedaran mengenai kesuburan itu khususnya berkaitan kesihatan benih atau sperma kerana gejala kemandulan lelaki sukar dikesan.
Di Malaysia, kes kemandulan lelaki atau sperma tidak normal, amat jarang dilaporkan kerana tidak banyak data atau kajian mengenai ketidaksuburan lelaki direkodkan. Namun apa yang memeranjatkan, kebanyakan kes atau kebanyakan kes yang dirujuk di pusat perubatan kesuburan membabitkan ketidaksuburan lelaki.
Malah dalam kebanyakan kes, setiap kali keguguran berlaku wanita biasanya dipersalahkan. Jika telur normal tetapi sperma pula tidak, ‘kecacatan’ sperma inilah yang boleh mengakibatkan keguguran.
Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Zamri Abdul Rahim, berkata kebanyakan lelaki di Malaysia sedar mengenai masalah ketidaksuburan, tetapi tidak mahu memandang serius mengenainya. Akibatnya, si isteri yang datang bertemu doktor terlebih dulu untuk membuat pemeriksaan sebelum menerima berita yang lebih mengejutkan yang kadangkala tidak dapat diterima suami.
Sperma yang normal bukan saja tinggi dari segi bilangan tetapi juga memiliki bentuk yang sempurna dan pergerakan yang aktif. Pakar akan mencari sperma yang mempunyai kepala bujur dan ekor yang panjang. Ini adalah bentuk sperma yang boleh dianggap normal.
Sebagai contoh selepas satu jam, berapa peratusan sperma yang bergerak? Selepas tiga jam apa berlaku dan adakah sampel itu dijangkiti virus adalah beberapa perkara yang diambil kira. Dr Zambri berkata, bilangan sperma yang normal biasanya mencecah sehingga 40 juta dan ada juga 20 juta bergantung kepada pusat perubatan kesuburan.
“Apapun, bagi membolehkan wanita hamil, kita hanya perlukan satu sperma yang sihat saja. Kita perlu lihat pada peratusan sperma yang normal, jika seorang itu punya bilangan sperma rendah tetapi 80 hingga 90% adalah aktif, itu lebih baik daripada seseorang yang punyai bilangan sperma yang tinggi tetapi lebih 50% bentuknya tidak normal,” katanya.
Langkah seterusnya ialah melihat pergerakan sperma. Ada sperma yang mempunyai pergerakan normal iaitu lebih 60% yang bergerak dan ada juga yang tidak bergerak langsung dipanggil sperma mati.
Beliau berkata, langkah selanjutnya ialah memahami bentuk sperma itu sendiri. Sperma yang normal bentuknya perlu ada kepala, badan tengah dan ekor. Tetapi jika tidak normal, sperma ini akan datang dalam pelbagai bentuk seperti kepala besar, kepala kecil, ekor bercabang dua, ekor pendek, ekor terbelit, ekor bergulung dan pelbagai bentuk lagi. Sperma begini akan sukar untuk sampai kepada telur bagi proses persenyawaan.
“Penyebab utama dan paling biasa menyumbang kepada sperma yang tidak normal adalah tekanan. Ia agak subjektif untuk dibincangkan namun ada yang mengatakan bila kita dilanda tekanan bilangan sperma akan berkurangan,” katanya.
Seseorang itu dikatakan mempunyai bilangan sperma yang rendah apabila setiap 1 mililiter pancutan sperma hanya menghasilkan kurang daripada 20 juta spermatozoa. Kajian mendapati lelaki yang dilahirkan sekitar 1960-an mempunyai jumlah sperma yang lebih tinggi berbanding lelaki yang dilahirkan pada 1970-an.
Menurut Dr Zambri, banyak faktor penyebab morfologi sperma tidak normal seperti jangkitan, terdedah kepada toksin, radiasi, merokok, urat darah varicocele dalam scrotum, demam dan panas melampau, gaya hidup, dadah dan alkohol, obesiti dan testis yang tidak normal.
“Langkah pertama untuk mengetahui sekiranya anda mempunyai isu berkaitan morfologi sperma ialah lakukan analisis sperma. Sekiranya anda ada masalah morfologi sperma tidak normal pakar akan menyarankan supaya anda melakukan analisis itu pada bulan berikutnya bagi memastikan sebarang perubahan dan menentukan sama ada sperma tidak normal itu bersifat sementara atau kekal,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan, seseorang itu tidak perlu bimbang jika analisis menunjukkan kewujudan morfologi sperma yang tidak normal, sebaliknya membiarkan pakar melakukan ujian sepenuhnya. Antara rawatan bagi masalah ini termasuk intra uterine insemination (IUI) atau in-vitro insemination (IVF) atau permanian berhadas atau Suntikan Sperma Intra Cytoplasmic (ICSI).
INFO: Cara tingkatkan sperma
- Amalkan gaya hidup dan diet seimbang (sayur-sayuran dan gandum).
- Bersenam.
- Kurangkan tekanan.
- Jaga berat badan.
- Berhenti merokok.
- Kurangkan atau menghentikan pengambilan alkohol.
- Jauhi najis dadah.
- Jarakkan kekerapan ejakulasi (selang tiga hari).
- Elak memakai seluar dalam yang ketat, sauna, mandi tab panas dan apa saja yang boleh meningkatkan suhu buah zakar.
Capaian entry berkaitan :
- Kemandulan
- Polycystic Ovary Syndrome (PCOS)
- Ujian kesuburan kesan lelaki mandul
- Rahsia Tauge
- Rawat segera tekanan perasaan ketika hamil
- Kadar Kesuburan Wanita Malaysia Dijangka Menurun Secara Mendadak Pada 2015
- Kopi atau viagra
- Antara khasiat dan mudarat tongkat ali
- Sumber makanan untuk segera hamil
- Zat besi optimalkan perkembangan otak
- Isteri Hamil, Suami Jangan Kalut!
- Tips Untuk Membantu Pasangan Yang Ingin Hamil
- Kesihatan - Elak rahim jatuh
- Ada apa dengan kucing?
Satu tulisan yang baik. Keep it up!
BalasPadam*Jom cuba Vitamin semulajadi bagi tujuan meningkatkan kesuburan lelaki
http://vitaminformeandyou.blogspot.com/2013/11/vitamin-e-semulajadi-bantu-kuatkan.html