“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, April 06, 2010

Ku pujuk hatiku : Jangan marah, jangan marah, jangan marah…


Assalamualaikum warahmatullah,

Sebetulnya, entry kali ini adalah untuk peringatan kepada diri saya sendiri, diri saya sendiri dan juga diri saya sendiri. Jika ada yang berminat untuk membacanya, bacalah. Ambil iktibar dan teladan jika ada….

Seminggu yang lepas, selepas entry Beriman kepada qada' dan qadar Allah SWT, saya sangat marah hati saya ‘panas’ [NB: I could blame it on the hormones, though… hik… hik…] dan berasa sangat tidak tenteram akibat perang email ‘serangan’ seorang dua hamba Allah yang saya tafsirkan ‘tidak puas hati’ dengan posting saya di egroup yang saya sertai.

Sungguh, saya tidak sempat membuat research berkenaan G.A.H., malah hampir tidak berminat dengan mereka dan seangkatan dengannya, walau bagaimanapun saya pernah dimaklumkan oleh rakan blogger [UMMU WAHEEDAH] tentang golongan ini, tapi saya tidak menyangka sama sekali yang saya akan berhadapan dengan mereka. Apa yang saya tahu, salah satu ciri-ciri kumpulan ini, mereka SUKA mempertikaikan hadis-hadis Rasulullah SAW dan MENOLAK rukun Iman ke 6. (Sumber JAKIM). Dalam egroup yang saya sertai, mereka suka tanya soalan ‘sengal’ yang seakan-akan memperlihatkan keBODOHan dan keJAHILan mereka. Tapi saya percaya, mereka memang sengaja berbuat begitu, mereka ada bersembunyi di dalam egroup ini dan sekali sekala muncul untuk provoke akidah umat Islam. Apapun alasan mereka, cuma mereka dan Allah sahaja yang mengetahui.

Siapa yang tidak panas hati dengan permainan mereka? Sengal dibalas sengal-lah... Itulah kesilapan saya, sepatutnya api tidak dibalas api. Jika api dibalas air, mungkin saja api boleh sejuk, tetapi saya percaya, mereka tidak begitu. Saya lihat si hamba Allah itu cuba mempermainkan persoalan akidah dan ini amat berbahaya. Kuasa Allah menggerakkan hati saya menjawap pertikaiannya tentang qada’ dan qadar Allah SWT kerana, ia adalah tanggungjawab saya sebagai seorang muslim. Patutkah saya berpeluk tubuh dan berdiam diri sahaja?

Seorang hamba Allah [NurulKamarul] menerusi PM mententeramkan saya. Katanya, “Jika saudara/i rasa perlu untuk menjawab soalan-soalan yang tidak membangunkan minda itu, teruskan sahaja menjawab. Manusia yang begini perlu diingatkan adakala mereka terlupa/buat-buat lupa. Lagipun pendapat saudara/i bukan pendapat kosong malah disokong dengan hujah-hujah. Sekurang-kurangnya saudara/i telah memberikan pendapat, selebihnya mereka nak terima atau tidak bukan menjadi tanggungjawab lagi. Saudara/i boleh saja menganggap, kadang-kadang manusia yang sebegini sengaja dipertemukan untuk menguji tahap kesabaran dan keimanan...

Alhamdulillah, pada mulanya saya merasa sedih ‘down’ sangat, seolah-olah dihentak dengan batu saja kepala ini. Saya bersyukur kerana masih ada yang sudi memberikan kata-kata semangat untuk saya meneruskan perjuangan. Saya sedar, usaha saya cuma sedikit jika dibandingkan dengan orang lain, tetapi usaha yang sedikit ini juga, entah mengapa, dapat membuatkan jiwa saya tenang...

Benar juga kata ustaz InsanManusia, saya sepatutnya tidak tidak terpancing dengan provokasi dari orang yang tidak beriman seperti N**R A**I itu. [NB : N**R A**I ~ hamba Allah itulah] Ustaz juga berpendapat sepatutnya keahliannya dari egroup ini dilucutkan sahaja, banyak buruknya manusia seperti ini dalam yahoogroups. Tetapi, jika saya diamkan sahaja perbuatan mereka, saya tak mahu takut akan dipersoalkan oleh Allah di hari pertimbangan nanti, apa yang telah saya lakukan untuk membetulkan keadaan? Takut rasanya, jika saya tidak berbuat apa-apa, bermakna saya mengiyakan saja perbuatan mereka yang menghina agama!

Hari ini pula, saya membaca di Genta-Rasa, pesanan si pemangkin minda saya. Katanya : Ya, berapa ramai orang yang lupa kita terlalu asyik mengingatkan? Berapa ramai yang lalai dengan Allah ketika begitu pantas dan tangkas mengucapkan kalimah cinta-Nya? Mereka hanya umpama tanah yang keras dan kering… mampu menakung air untuk memberi minum orang lain, tetapi hati sendiri gersang dan terbakar kerana kehausan!

Lalu aku ingin mengingatkan diriku dan dirimu… berhati-hatilah ketika berbicara tentang hati. Betapa banyak hati yang lalai kerana dihijab oleh limpahan peringatan. Umpama anak benih yang mati “kelemasan” kerana terlalu banyak disirami air! Atau lilin yang membakar diri… kononnya untuk menerangi orang lain!

Dunia yang diselubungi hedonisme dan materialisme ini tidak sudi berpaling kepada para muttaqin. Dan mereka yang berpegang pada sunnah, akan semakin dilihat asing. Terpinggir. Terpencil… malah dibenci oleh umat Islam sendiri. Para daie yang ikhlas, tidak bermuka-muka… terus bekerja tanpa menggamit nama dan biaya. Mereka hanya mendapat kebahagiaan ketika bekerja tanpa diketahui oleh yang lain. Marilah kita berdoa untuk para mujahidin di seluruh dunia, yang ketika ini sedang dihenyak, dibelasah dan disekat oleh pelbagai tribulasi dan mehnah.

Sesungguhnya, apa yang kita deritai kerana jalan Allah ini… tidak secubitpun jika dibandingkan dengan kesusahan mereka. Berdoalah untuk mereka… agar diberi taqwa, sabar dan kebijaksanaan serta keberanian dalam menghadapi pejuang syaitan (fisabilitthagut). Mudah-mudahan satu ketika nanti, kami yang kerdil ini mampu menyusul dan menyusur jalan-jalan mulia yang kau telah rentas itu. [NB : full entry di sini : Dengan-keyakinan]

Alhamdulillah, tenang rasa hati bila membaca kata-kata semangat seperti ini. Hari ini saya titipkan sambungan sedikit lagi berkenaan qada’ dan qadar Allah SWT. Membaca artikel di ud1.blog.friendster.com, membuatkan saya rasa perlu untuk kongsikan di sini. Semoga saya, saya, saya dan kita semua lebih tabah menghadapi setiap cabaran yang mendatang. BENARLAH kata-kata NurulKamarul, kadang-kadang manusia yang sebegini sengaja dipertemukan untuk menguji tahap kesabaran dan keimanan...

Manusia tidak boleh menyalahkan takdir sebagai alasan untuk tidak beribadah dan berusaha.

Seorang tidak boleh berkata, “Jika aku telah ditakdirkan baik dan beriman, mengapa aku harus bersusah-payah beribadah dan beramal soleh? Bukankah sudah pasti aku akan masuk syurga?”

Seorang juga tidak sepantasnya berkata, “Jika aku telah ditakdirkan menjadi kafir, apakah manfaatnya jika aku berusaha menjadi mukmin? Bukankah yang aku lakukan akan sia-sia, kerana takdir telah menetapkan bahawa aku akan masuk neraka?”

Jika kita dilahirkan dari perut seorang ibu yang fasik atau kafir, adakah kita patut membiarkan diri kita sesat sampai bila-bila?

Kata-kata seperti itu jelas keliru dan TIDAK BOLEH diucapkan. Tidak sewajarnya kita mengatakan, “Jika nasibku telah ditentukan dan ditetapkan sejak lahir, apa untung dan ruginya bila aku bekerja keras dan beribadah sekarang ini?”

Contoh yang paling baik untuk kita renungkan adalah cerita Nabi Adam a.s. dengan Iblis laknatullah. Iblis menyalahkan takdir yang menyebabkannya durhaka kepada Allah. Kemudian ia menjadi kafir dan dikeluarkan dari rahmat Allah dan diusir dari sisi-Nya. Nabi Adam a.s. pun mengakui kesalahannya. Beliau menganggap kesalahan itu adalah tanggung jawabnya sendiri. Kemudian ia memohon ampun kepada Allah SWT. Maka beliau mendapat rahmat dan ampunan Allah SWT.

Jangan kita mengorek qada’ dan qadar Allah. Nabi Uzair (Uzayr) pernah mempersoalkan asal-usul kejadian makhluk, kemudian mematikannya dan menghidupkannya kembali. Maka Allah SWT kemudian mematikannya selama seratus tahun. Kemudian Dia menghidupkannya kembali seperti sebelum hidup di dunia dan sekali lagi mematikannya. Semua dilakukan agar menjadi iktibar kepada manusia. [NB : Baru aje masukkan kisah ini di sini -> Kisah Nabi Uzair a.s.]

Apabila di dunia ini kita menemukan orang-orang yang berbuat dosa, seperti mencaci Allah, munafik, menyekutukan Allah, mempermainkan hukum-hukum Allah, merendahkan kalam Allah, dan sebagainya yang secara zahir jahat dan keji, janganlah semua itu membuat iman kita goyah atau lemah. Itu adalah semua ujian dari Allah untuk kesabaran kita dan pelajaran dari Allah tentang orang-orang yang disesatkan Allah. Ya, kata-kata ini akan saya sematkan dalam hati sampai bila-bila, insya Allah.

Sebaiknya kita mendoakan semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada orang tersebut. Insya Allah kita akan terhindar dari sifat dan perbuat tercela seperti yang dilakukan orang tersebut, kerana Rasululllah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Doa seorang muslim untuk saudaranya sesama muslim dari kejauhan tanpa diketahui olehnya akan dikabulkan. Di atas kepalanya ada malaikat yang telah diutus, dan setiap kali ia berdoa untuk kebaikan, maka malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan amin dan kamu juga akan mendapat seperti itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Ketahuilah bahawa semua kebaikan yang kita perbuat bukan berasal ‘dari’ kita sendiri, tetapi sebenarnya hanya ‘melalui’ diri kita. Tegasnya, tanpa takdir Tuhan tidak ada yang dapat kita perbuat. Jadi, takdir atas pekerjaan dan kejayaan kita datangnya dari Allah.

Apabila kita bersalah, kesalahan itu adalah hak atau milik kita agar kita mengenal erti bertaubat. Kesalahan itu datang dari angan-angan dan niat yang wajar dari ego kita. Jika kita memahami hal ini dan mengikuti petunjuk-Nya, kita termasuk dalam golongan manusia yang difirmankan Allah SWT yang bermaksud, “Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun atas dosa-dosanya, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa itu selain Allah? Dan mereka tidak melanjutkan perbuatan keji itu. Sedangkan mereka mengetahui.” (Surah ali-‘Imran ayat 135)

Dalam Kitab al-Hikam karangan Syeikh Ibn Athoillah tertulis : “Keinginanmu untuk lepas dari urusan duniawi, padahal Allah membekalimu dengan sarana penghidupan, adalah syahwat yang samar. Sedangkan keinginanmu untuk mendapatkan sarana penghidupan, padahal Allah telah melepaskanmu dari urusan duniawi, adalah suatu kemunduran dari cita-cita luhur.”

Di sini kita diajarkan agar redha atas peranan yang telah Allah takdirkan kepada kita. Orang yang ditakdirkan Allah menjadi karyawan jadilah karyawan yang baik, yang menjadi petani jadilah petani yang baik, yang menjadi aparatur negara jadilah aparatur negara yang bertanggungjawab dan adil, yang menjadi pengusaha jadilah pengusaha yang jujur dan dapat menafkahkan hartanya di jalan Allah, yang jadi ulama jadilah ulama yang dapat menyinari dan memimpin umat dari kegelapan kepada jalan yang terang.

Jika kita tidak redha dan berpanjang angan-angan terhadap peranan lain dari yang telah Allah tetapkan bererti kita telah memperturutkan syahwat yang samar. Yang harus dilakukan adalah bersungguh-sungguh memfokuskan niat, perhatian dan perjuangan pada Allah, yang ada di balik semua wujud dan kejadian. Sehingga apapun yang kita lakukan menjadi lahan ibadah kepada Allah dan segala potensi yang ada kita sujudkan untuk menyembah Allah.

Syeikh Ibn Athailah dalam al-Hikam mengatakan : “Salah satu tanda bergantung pada amal adalah berkurangnya harapan tatkala gagal.” Ini bermaksud, jika kita beranggapan bahawa sumber kekuatan di balik usaha-usaha kita adalah diri kita sendiri, kita akan kecewa kala hasilnya tidak sesuai dengan harapan-harapan kita. Tetapi, kalau kita benar-benar berserah diri kepada Allah, maka kita akan melihatnya satu asal dan penyebab di balik usaha, peranan peribadi kita dalam melaksanakannya dan juga hasilnya. Kegagalan kemudian hanya akan kita anggap sebagai peringatan untuk memperkuat kesadaran pada kehendak, rahmat, dan kemurahan Allah. Di mata orang yang tercerahkan, terdapat kesatuan total dalam usaha dan hasil. Kalau kita sudah mempunyai keyakinan seperti tersebut, insya Allah kita tak akan sombong dan angkuh jika berhasil dalam kehidupan dunia dan berputus asa jika gagal dalam kehidupan ini.

Syeikh Ibn Athailah lebih lanjut mengatakan : “Ketika Allah membukakan pintu pengertian bagimu tentang penolakan-Nya, maka penolakan itu pun berubah menjadi pemberian.” Maksudnya, kita menyaksikan ke-Maha kuasaan-Nya ketika diberi nikmat dan melihat Keindahan dan Kelembutan-Nya ketika diberi nikmat. Yang penting adalah penyaksian, bukan keadaannya. Yang diinginkan oleh orang yang mendapatkan nur ilahi bukan keduanya, kerana fokus perhatiannya adalah pada sumber seluruh wujud, Pencipta seluruh makhluk, yang Kemurahan-Nya melampaui apa yang tampak sebagai kesempitan atau kelapangan, kerana Kemurahan-Nya ada dalam setiap waktu dan keadaan.

“Ketika Allah memberimu, Dia memperlihatkan kepadamu belas kasih-Nya. Ketika Dia menolak memberimu, maka Dia memperlihatkan kepadamu kekuasaan-Nya. Dan dalam semua itu, Dia memperkenalkan diri kepadamu dan menghadapmu dengan kelembutan-Nya.”

Janganlah kita membanggakan zikir, solat, sedekah, zakat, haji dan amalan-amalan lainnya, kerana itu semua adalah pertolongan Allah, bersyukurlah kepada-Nya kerana banyak yang mempunyai kemampuan fizikal, harta dan waktu tidak diberikan pertolongan oleh Allah untuk melakukan perbuatan baik tersebut. Alhamdulillah, ya Allah.

Janganlah bangga jika dipuji orang, kerana sesungguhnya kasih Allah telah menutupi aib kita sehingga orang hanya melihat kebaikan kita tanpa melihat aib kita. Janganlah marah ketika dihina orang, kerana itu adalah pertolongan Allah agar kita memperbaiki kesalahan kita atau memperbaiki kekurangan amalan kita dan agar kita menjadi orang yang lebih sabar.

Secara peribadi janganlah kita mencemuh dan menganiaya orang yang berbuat dosa, melainkan serahkan kepada hukum yang berlaku untuk tegaknya ketertiban dalam masyarakat. Kepada orang lain, berilah nasihat dengan bijaksana kepada orang-orang yang tingkatannya di bawah kita. Janganlah memberi nasihat dengan ilmu, tetapi lakukanlah dengan kasih sayang, agar hatinya tidak liar. Kepada orang yang sebaya atau setingkat sampaikan kebenaran dari Allah dengan ilmu yang tidak menggurui. Kepada orang yang lebih tinggi dari kita sampaikan kebenaran dari Allah dengan tetap memelihara kehormatannya. [NB : Inilah kesilapan yang mungkin memang saya sengajakan ketika berhadapan dengan si hamba Allah itu.]

Debat Nabi Adam a.s. dan Nabi Musa a.s.

Pertikaian qada’ dan qadar Allah ini juga berlaku di antara Nabi Adam dan Nabi Musa, seperti yang pernah diceritakan oleh Rasulullah SAW dalam lewat hadisnya di bawah :

Dari Abu Hurairah r.a., dia berkata, “Rasulullah SAW telah bersabda, “Adam dan Musa alaihi salam tengah berdebat di sisi Allah. Namun akhirnya Adam dapat mengalahkan Musa alaihi salam.” Musa berkata, “Kamulah Adam yang telah diciptakan Allah dengan kekuasaan-Nya. Kemudian Allah menghembuskan roh-Nya ke dalam dirimu. Setelah itu, Allah memerintahkan semua malaikat-Nya untuk bersujud kepadamu dan Dia menempatkanmu di dalam syurga-Nya, tetapi kemudian kamu membuat manusia turun ke bumi kerana kesalahanmu.” Adam menjawab, “Kamulah Musa yang telah dipilih Allah dengan risalah dan Kalam-Nya. Allah juga telah memberimu beberapa lembaran yang berisi penjelasan tentang segala sesuatu dan mendekatkanmu untuk menerima firman-Nya. Berapa tahunkah Allah telah menulis kitab Taurat sebelum aku diciptakan?” Musa menjawab, “Empat puluh tahun.” Adam bertanya lagi, “Apakah kamu dapatkan, di dalam kitab Taurat, ayat yang berbunyi: ‘……dan durhakalah Adam kepada Tuhannya serta sesatlah ia.’ (QS Thaahaa (20): 121).” Musa menjawab, “Ya.” Adam bertanya lagi, “Mengapa kamu mencelaku terhadap sesuatu yang berlaku dengan ketetapan Allah azza wa Jalla, empat puluh tahun sebelum Allah menciptakanku?” Rasulullah SAW bersabda: “Akhirnya Nabi Adam a.s. tetap berhujah (mengemukakan dalil) dengan Nabi Musa a.s.” (Hadis riwayat Muslim)

Kesimpulan

Ketetapan (takdir) Allah yang pasti dilaksanakan mengikut waktunya (qada). Dan hadis dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-’Ash, beliau berkata, bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Allah subhanahu wata’ala telah menetapkan takdir masing-masing makhluk sebelum Allah ta’ala menciptakan langit dan bumi , lima puluh ribu tahun sebelumnya dan ‘Arsy Allah ta’ala telah berada di atas air. ” (Hadis riwayat Muslim)

Semoga kita mengambil pengajaran dari dialog Nabi Adam dan Nabi Musa tersebut, agar kita tidak mencela orang yang berbuat dosa. Kita harus bersikap ‘egaliter’ [NB : egalitarian – (orang yang memegang prinsip hak yang sama untuk semua] terhadap semua hamba Allah. Di dalam hati nurani orang yang menapaki tarikat, mahabbah dan ma’rifat tidak sepantasnya memiliki kebencian dan kesombongan di dalam hatinya, kerana kesombongan hanya pantas dimiliki oleh Allah. Kerana kesombonganlah Iblis dilaknat Allah…

Astagfirullah hal aziim... Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia). (ali-‘Imran ayat 8)

Amiin…

Any emotion, if it is sincere, is involuntary. ~ Mark Twain




Capaian entry berkaitan :
  1. Beriman kepada qada' dan qadar Allah SWT
  2. Penyakit jiwa binasakan batin, peribadi manusia
  3. Sikap berputus asa, kecewa hampiri kegagalan
  4. Miskin atau kaya ujian Allah
  5. Sebuah kematian, satu permulaan
  6. Lima cara redha, tenang terima segala musibah
  7. Maut tidak dapat dielak
  8. Renungan: Pernahkah kita?

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails