Assalamualaikum warahmatullah,
Semua orang Islam bersaudara. Justeru, usahlah rasa terbuang dan tersisih kerana ikatan agama itu lebih kuat mengikat diri andai kita hayati pegangan agama sebagai seorang Islam. Disebabkan itu juga, umat Islam dianjurkan supaya hidup bersatu padu dan harmoni kerana ini merupakan kunci kekuatan ummah. Hindarilah sikap benci-membenci dan hasad dengki kerana itu akan memberikan impak perpecahan dan kemunduran. Kuatnya ikatan kasih kerana agama sehingga kita sanggup berkorban untuk saudara seagama, kita rasa sakit andai saudara kita disakiti dan kita rasa sedih andai saudara kita dihina.
Persaudaraan Islam merupakan idea sosial yang teragung. Sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh merosakkan nilai ini dianggap merosakkan agama. Umat Islam seperti satu jasad atau satu bangunan. Saling memelihara dan mengukuhkan antara satu sama lain.
Ukhuwah biasa diertikan sebagai 'persaudaraan', diambil daripada akar kata yang pada mulanya bererti 'memerhatikan'. Makna asal ini memberi kesan bahawa persaudaraan mengharuskan adanya perhatian semua pihak yang merasa mereka bersaudara. Maknanya, setiap orang Islam hendaklah menanamkan perasaan dalam diri masing-masing bahawa mereka adalah bersaudara.
Al-Quran ada menyebut bahawa sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara dan yang menjadikan mereka bersaudara ialah akidah keimanan. Keutuhan mereka tidak akan terpecah melainkan jika mereka murtad daripada Islam. Ukhuwah Islamiah merupakan satu istilah yang sudah diterima di kalangan masyarakat iaitu suatu persaudaraan yang berdasarkan iman. Jadi istilah yang lebih tepat sebenarnya adalah ukhuwah imaniyah kerana di dalam al-Quran, persaudaraan ini memang dikaitkan langsung dengan iman.
Renungi maksud firman Allah SWT yang bermaksud: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu; dan bertawakallah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-Hujuraat ayat 10)
Maksud firman Allah ini dimulai dengan semacam satu ketetapan bahawa umat Islam pasti akan berpecah-belah. Dalam situasi berpecah-belah itu, masing-masing akan berusaha untuk menghancurkan atau mengalahkan satu sama lain.
Sejarah telah mencatat bahawa peristiwa kewafatan Rasulullah SAW hampir mencetuskan pergaduhan sesama Muslim sehingga Umar mengambil inisiatif dengan tegas meminta semuanya bersetuju melantik Abu Bakar sebagai pengganti Rasulullah SAW.
Demikianlah seterusnya suasana tidak aman dan konflik timbul di kalangan umat Islam pada zaman pemerintahan Uthman dan Ali. Kalau kembali pada Surah al-Hujuraat ayat 9, ajaran tentang ukuran yang seharusnya dilakukan untuk menyelesaikan konflik, di mana Allah berfirman yang bermaksud: Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Al-Quran memberikan dasar ajaran bagi mengubah dan menegakkan ukhuwah lslamiah sebagaimana terkandung dalam ayat suci al-Quran Surah al-Hujuraat ayat 9 hingga 13 yang memuatkan banyak falsafah ukhuwah lslamiah. Inti ajarannya ialah mencari jalan damai ketika berselisih, tidak melampaui batas dalam perselisihan, bersikap jujur, saling menghargai dan bersikap rendah hati untuk mengakui kesalahan sendiri.
Dalam usaha memantapkan ukhuwah lslamiah ini, ia bukan sekadar penjelasan dari segi persamaan pandangan agama atau sekadar toleransi mengenai perbezaan pandangan melainkan yang Iebih penting lagi adalah Iangkah-Iangkah bersama umat Islam sehingga dapat merasakan nikmatnya persaudaraan satu iman itu.
Salah satu hadis yang popular dalam bidang ukhuwah adalah sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari sahabat Ibnu Umar: "Seorang Muslim bersaudara dengan Muslim yang lain. Ia tidak menganiayanya, tidak pula menyerahkannya (kepada musuhnya). Barang siapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi pula keperluannya. Siapa yang melapangkan suatu kesulitan seorang Muslim, Allah akan melapangkan baginya satu kesulitan pula dari kesulitan-kesulitan yang dihadapi di hari kemudian."
Persaudaraan dalam Islam berlandaskan iman kepada Allah, cinta kerana Allah. Seseorang mukmin yang merupakan saudara bagi mukmin yang lain mempunyai pertalian persaudaraan yang lebih kuat daripada pertalian darah di kalangan adik-beradik kandung. Pertalian keimanan inilah yang memperkukuh hubungan sesama individu dalam masyarakat, dan yang menjadikan masyarakat satu unit sosial yang tersusun rapi dan utuh.
Ini juga menepati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Perumpamaan orang mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit." (Hadis riwayat Muslim)
Renung-renungkan dan selamat beramal!
Capaian entry berkaitan :
- Tajdid Iman: Cetek agama punca penulisan anti-Muslim
- Hindari buruk sangka
- Khutbah terakhir Rasulullah pesanan sepanjang zaman
- Adab bermasyarakat perkukuh ikatan ukhuwah
- Budaya ukhuwah landasan eratkan perpaduan umat Islam
- Saling membela, berkasih sayang erat ukhuwah
- Lapan mesej Haji Wida'
- Tajdid Iman: Guru penyuluh ilmu, pencetus hidayah
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...