Kucing Jejas Kehamilan
Membela kucing boleh memberikan kesan negatif kepada kandungan. Ia berkait dengan sejenis parasit iaitu protozoa Toxoplasma gondii yang membiak di dalam usus kucing dan didapati di dalam najisnya dan tanah.
Parasit ini menyebabkan sejenis jangkitan yang sering ditemui - toksoplasmosis yang tidak membahayakan orang dewasa tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius kepada bayi di alam kandungan.
Ibu yang mengandung boleh mendapat jangkitan apabila menyentuh najis kucing. Jangkitan ini boleh juga timbul akibat memakan masakan yang tidak dimasak dengan sempurna.
Wanita yang mula-mula mendapat jangkitan toksoplasmosis semasa mengandung mempunyai lebih kurang 40 peratus peluang memindahkan jangkitan tersebut kepada bayi di dalam kandungannya.
Apabila ibu dijangkiti dalam trimester (kehamilan berusia tiga bulan) pertama, sebanyak 15 peratus daripada bayi mereka turut dijangkiti berbanding 30 peratus semasa trimester kedua dan 60 peratus trimester ketiga.
Kesan akibat jangkitan adalah lebih teruk jika ia berlaku di peringkat awal mengandung. Adalah dianggarkan, satu dalam 10 daripada bayi yang dijangkiti mengalami toksoplasmosis yang teruk.
Mereka mendapat jangkitan mata yang boleh menyebabkan buta, pembengkakan hati dan limpa, penyakit kuning dan jangkitan paru- paru. Sebahagian mereka mengalami kehilangan deria pendengaran.
Janin yang mengalami jangkitan toksoplasmosis yang terlalu teruk boleh meninggal dunia semasa dalam kandungan atau ibu mengalami keguguran. Jika dilahirkan hidup, mereka akan menderita kecacatan otak seperti palsi serebral dan sawan. Jika doktor mengesyaki yang ibu mempunyai jangkitan toksoplasmosis aktif, ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran antibodi yang mengesahkan jangkitan ini.
Jika ibu disahkan mendapat jangkitan, ujian lanjutan seperti amniosentesis dan ultrasound dilakukan untuk memastikan sama ada bayi dalam kandungan juga telah dijangkiti. Ibu akan diberi ubat khusus jika bayi disyaki telah dijangkiti, agar gejala-gejala yang akan dialami oleh bayi apabila lahir dapat dikurangkan. Rawatan ini diteruskan ke atas bayi selepas dilahirkan.
Sebaliknya, jika bayi dalam kandungan belum dijangkiti, ibu akan diberi ubat antibiotik khusus supaya risiko jangkitan kepada bayi dapat dikurangkan sehingga 50 peratus. Bayi-bayi yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu yang mendapat jangkitan toksoplasmosis haruslah diuji agar bayi-bayi yang tidak mempunyai sebarang gejala semasa dilahirkan tidak akan tercicir daripada menerima rawatan khusus, jika mereka sebenarnya juga telah dijangkiti. Ini kerana mereka mungkin dianggap sihat sehinggalah mereka mendapat jangkitan mata dan sebagainya setelah berusia beberapa bulan mahu pun beberapa tahun selepas dilahirkan.
Oleh kerana toksoplasmosis merupakan penyakit jangkitan yang boleh menjejaskan kesihatan bayi dengan serius, langkah-langkah pencegahan seperti berikut dapat mengurangkan insiden ia berlaku. Antaranya:
- Membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan
- Mengelakkan pemakanan daging mentah atau tidak sempurna dimasak
- Membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak sebelum dimakan
- Menggunakan sarung tangan semasa berkebun atau semasa mengendalikan tanah dan akhir sekali elakkan daripada menyentuh najis kucing.
Sumber : SetBersalin.com
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...