“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, September 13, 2011

Negara rugi jika ramai lelaki tak layak ke IPT

MOHAMED Khaled (kanan) menunjukkan baju Youth Defined Shape Our Future bersama Roslan pada majlis pelancaran di UPM, Serdang, semalam.

Perbezaan gender di universiti boleh jejas program GTP, ETP

SERDANG: Perbezaan ketara jumlah pelajar perempuan berbanding lelaki di institusi pengajian tinggi (IPT) awam di negara ini dikhuatiri boleh menggagalkan pembangunan sumber manusia terutama dalam menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sumber manusia adalah kekuatan negara dan bilangan pelajar lelaki yang rendah memasuki universiti akan menyebabkan golongan itu tidak dapat memberi sumbangan besar kepada kejayaan dua program berkenaan.

“Pembangunan sumber manusia bergantung kepada ilmu dan kemahiran dan kekurangan pelajar lelaki melanjutkan pengajian ke universiti menyebabkan negara gagal memaksimumkan kepakaran untuk menjayakan GTP dan ETP. Sebahagian besar pelajar lelaki (yang gagal melanjutkan pengajian ke universiti) tidak dapat menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan sumber manusia dan ini tidak baik untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jelajah GTP dan ETP Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertema `Youth Defined: Shape Our Future’ di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa; Naib Canselor UPM, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi dan Pengerusi MyHarapan, Roslan Bakri Zakaria.

Ketika ini, seramai 1.2 juta pelajar mengikuti pengajian di IPT awam dan swasta dengan majoritinya adalah perempuan, sebagai contoh bagi kemasukan pelajar baru sesi September 2011/2012, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya nisbah ialah 30:70, manakala di UPM pula 33:67.

Mohamed Khaled berkata, antara langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan jumlah pelajar lelaki di universiti adalah menjadikan siswa lelaki sebagai idola sekurang-kurangnya di kampung kelahiran mereka. Sebagai contoh, ketika musim cuti semester, pelajar terbabit menjalankan program motivasi kepada generasi muda di kampungnya mengenai kepentingan dan keistimewaan melanjutkan pengajian ke universiti.

“Sebagai idola di kampungnya, pelajar terbabit perlu memiliki ‘daya pikat’ dengan memberi ceramah satu atau dua jam untuk membentuk minat kepada generasi muda lelaki dengan menjadikan universiti sebagai destinasi mereka. Jangan balik rumah hanya duduk dalam bilik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled, berkata KPT akan berbincang dengan pihak universiti untuk memberikan kredit kepada pelajar universiti yang terbabit menjayakan GTP dan ETP sebagai kemahiran insaniah. Graduan masa kini bukan saja bergantung kepada ilmu, sebaliknya kemahiran insaniah sangat penting yang meliputi pembabitan luar untuk mencetuskan idea memajukan masyarakat.

“Pelajar boleh masuk ke kawasan luar bandar untuk mengenal pasti sumber ekonomi yang boleh dimajukan oleh masyarakat setempat untuk membebaskan mereka daripada kelompok miskin tegar. Mereka memiliki pengetahuan dan inovasi yang boleh dimanfaatkan masyarakat kawasan itu,” katanya.



Petikan : BHarian 13/09/2011

Capaian entry berkaitan :
* Kesan sosial pelajar perempuan atasi lelaki
* Mencari ‘kehilangan’ pelajar lelaki di IPT
* Pelajar perempuan dominasi kemasukan ke universiti awam
* Memperkasakan pelajar lelaki
* FOKUS : Mengapa pelajar lelaki semakin pupus di universiti?
* IPTA pupus pelajar lelaki?
* Wawasan mahasiswa lelaki perlu berubah

1 ulasan:

  1. Minda Pengarang BHarian 14/09/2011

    Kajian bermula peringkat sekolah rendah cari punca lelaki kurang di IPT

    ISU jumlah pelajar lelaki yang semakin berkurangan berbanding perempuan di institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya di IPT awam (IPTA) timbul lagi.

    Kali ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyuarakan kebimbangan nisbah tak seimbang itu boleh menggagalkan pembangunan sumber manusia, terutama dalam menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

    Menurut Khaled, sebahagian besar pelajar lelaki tidak dapat menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan sumber manusia dan perkembangan ini tidak baik untuk negara. Kita percaya kenyataan Khaled itu tidak berniat menidakkan keupayaan kaum hawa.

    Jika tidak ada lelaki yang layak sekalipun, wanita cemerlang ini mampu mengisi kekosongan dalam bidang kemahiran tinggi seperti pakar bedah dan jurutera yang secara tradisinya sebelum ini diisi kaum lelaki. Apa yang penting bukanlah soal jantina seseorang pakar bedah atau jurutera itu, tetapi tahap kemahiran dan kepakaran dikuasai mereka.

    Berikutan itu, isu pelajar lelaki tercicir daripada meneruskan pengajian pada peringkat tinggi ini harus dilihat dalam konteks lebih luas daripada soal gender. Jika dilihat dari sudut sempit gender saja, mungkin ada pula mencadangkan agar diturunkan kelayakan minimum bagi pelajar lelaki untuk memasuki IPT, semata-mata untuk menambahkan bilangan kaum ini di universiti.

    Penyelesaian seperti ini hanya menjejaskan reputasi sesebuah universiti dan kualiti graduan berikutan ia terpaksa merendahkan tahap pengajiannya untuk keperluan pelajar yang tidak layak ini.

    Penyelesaian lebih tepat ialah dengan mengkaji punca ramai di kalangan pelajar – tidak kira lelaki atau perempuan – yang tidak layak ke IPT. Jika diselesaikan masalah kumpulan ini, dengan sendirinya masalah ramai pelajar lelaki tidak layak ke IPT dapat diselesaikan. Kajian ini harus dibuat dari peringkat sekolah rendah lagi berikutan ramai yang cemerlang pada peringkat itu juga adalah di kalangan pelajar perempuan.

    Selain itu, sistem pendidikan negara juga harus dilihat semula agar kumpulan tercicir ini, walaupun tidak layak ke universiti mungkin boleh dijuruskan ke bidang teknikal seperti ke politeknik. Pelajar politeknik ini yang pada mulanya dianggap golongan tercicir, juga harus diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda di universiti selepas terbukti cemerlang pada peringkat politeknik. Sebenarnya, isu ini sudah kerap dibincangkan dan pelbagai pandangan dikemukakan.

    Namun saban tahun kita melihat penyelesaiannya masih lagi belum ditemui. Sudah tiba masanya pihak Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kementerian Pelajaran duduk semeja bagi mencari penyelesaian menyeluruh yang tidak akan menghukum kaum perempuan yang lebih layak semata-mata untuk meramaikan lelaki di universiti.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails