“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Disember 28, 2009

Rasuah bermula dari rumah


Assalamualaikum warahmatullah,

Anda tentu pernah baca kisah projek terbengkalai atau bermasalah yang banyak dikaitkan dengan amalan rasuah, setelah disoal-siasat. Kisah 94% tiang projek yang retak dan berbahaya kepada pengguna lalu lintas di Lembah Kelang mencetuskan suasana hangat di Parlimen, sedikit masa dahulu. Terdapat juga kisah makmal komputer sekolah runtuh, kisah Bangunan Parlimen yang bocor setelah kerja pengubahsuaian dilakukan dalam tempoh kurang setahun, dinding sekolah merekah, sekolah yang gagal disiapkan mengikut jadual dan kisah hospital baru siap yang didapati berkulat/bercendawan dan terpaksa ditutup kerana berbahaya kepada kesihatan manusia.

Begitu juga dengan kisah bumbung stadium runtuh yang bernilai jutaan ringgit yang baru setahun digunakan, runtuhan ini menyebabkan kira-kira 50% daripada strukturnya musnah. Tidak kurang hebat kisah bahan letupan C4 yang meragut nyawa seorang model luar negara juga menghangatkan berita. Baru-baru ini timbul pula kisah kehilangan enjin kapal terbang dari simpanan unit ketenteraan negara. Kisah menarik ini boleh dibaca di RM50 juta lesap! Apa yang disiasat?. Aduh... Betapa longgarnya keselamatan negara! Malaysia, negaraku yang berselerak dengan masalah... Saya tidak berniat untuk mengulas lebih lanjut, cuma sebut sedikit kisah yang berkemungkinan ada kaitan dengan gejala rasuah.

Hari ini banyak dibincangkan tentang rasuah malah ada cadangan untuk mewujudkan komisen menangani rasuah sedang dibentangkan di parlimen dan telahpun diluluskan. Tapi tiada seorang pun yang telah menyebut tentang peranan ibu bapa dan ahli keluarga dalam pendidikan awal kanak-kanak termasuk taska, tadika, rumah jagaan, rumah anak yatim mahupun sekolah rendah, sedangkan nilai-nilai buruk sebegini sepatutnya boleh dicegah dan dikawal sedari awal. Apakah yang telah kita lakukan untuk mengurangkan aktiviti buruk ini? Bukankah dengan memberikan komisen juga sebenarnya rasuah? Lihat di manakah kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2008, sila rujuk Rasuah: Kedudukan M'sia merosot lagi.

Apa itu rasuah? Apa yang anda faham tentang rasuah? Dalam Kamus Dewan, rasuah membawa maksud pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap). Ish... apa ke jadahnya 'menumbuk rusuk' nih? Dengan lain perkataan yang mudah difahami, rasuah didefinasikan sebagai memberi hadiah untuk mendapatkan sesuatu atau untuk mengiktiraf sesuatu kejayaan.

Senario 1

Seorang ayah yang baru pulang dari seminar di luar negara. Belum pun sempat lagi berjumpa anak-anak, beliau terus pergi ke pejabat untuk bekerja dan hanya sempat beri anak-anaknya coklat yang telah dibelinya di kedai di lapangan terbang. Anak-anaknya melompat-lompat kegembiraan. Ayah ini berasa sedikit lega kerana tiada seorangpun anaknya yang memintanya supaya jangan meninggalkan mereka lagi.

Tahukah anda, apa yang dibuat oleh ayah di atas adalah satu contoh memulakan rasuah dengan anak-anak? Sebenarnya, anak-anak itu menunggu ayahnya pulang untuk dapat balik rasa selamat, rasa tenteram dan rasa disayangi. Mereka dahagakan pelukan, usapan dan air muka di samping sedikit masa untuk bersama ayah mereka setelah sekian lama menghilangkan diri. Sepatutnya ayah ini tidak memberikan mereka coklat sebaliknya memeluk, mencium dan diikuti dengan menceritakan ke mana ayah ini telah pergi sambil emnunjukkan gambar-gambar tempat-tempat yang telah dilawati dan apa ilmu baru yang telah dipelajari. Dari situ, kita boleh menanamkan semangat minat belajar dengan menyatakan betapa elok sekiranya kita rajib belajar, rajin membaca kita itu akan membina kepintaran kita dan satu hari nanti akan dapat menyambung pelajaran ke luar negara dan melawat lain-lain tempat.

Bila ayah ini memberi kan anak-anaknya coklat, mereka akan berebut-rebut dan mungkin ada yang bertumbuk, memukul kerana mahu yang terbanyak, malah ada pula yang merajuk kerana tidak dapat sebanyak yang diingininya. Jika keadaan begini sering berlaku, anak akan kaitkan ayah ke luar negeri atau tidak pulang beberapa hari dia MESTI membawa pulang coklat. Kepulangan ayan itu sebenarnya tidak menggembirakan, kerana ayah pulang sebentar sahaja dan lepas itu hilang semula. Apabila ibu atau ayah pergi keluar kerana bila pulang mesti bawa hadiah. Inilah rasuah namanya, dan apabila anak-anak ini dewasa, dia akan buat perkara yang sama. Bermula dengan coklat, hadiah, cenderamata, wang dan lain-lain.

Senario 2

Dipetik dari bribe-your-child-towards-corruption yang telah diterjemahkan :

Suatu hari, saya telah pergi Toys‘R’Us, membeli hadiah untuk sepupu saya. Di sana, saya terserempak dengan sepasang ibu-ayah dan anak kecil mereka sedang ‘beradegan’ di hadapan saya. Anak kecil itu sangat mengganggu dan menjengkelkan, jadi saya berusaha untuk mengendahkannya, tapi saya masih dapat mendengar perbualan mereka anak-beranak. Anak kecil itu mahukan anak patung besar ini (nampak seperti beruang). Si ibu menolak dan tidak mahu membelikan untuknya dan memujuk dengan berkata :

“Jangan menangis, nanti ibu belikan ais krim, ok?”

Anehnya, anak kecil ini membantutkan hasratnya yang mahukan patung besar dan berhenti menangis serta-merta. Saya hampir tidak percaya sama sekali. Dia yang pada mulanya kelihatan seperti tidak boleh ditolak-ansur, tetapi dengan bicara manis ibunya telah kalah dengan kehendaknya sendiri. Selepas itu saya melihat mereka berjalan ke arah McD. Jadi, itulah dia. Pada fikiran saya, boleh jadi suatu hari anak kecil semacam itu akhirnya menjadi ahli politik ‘rosak’ yang bermain dengan wang kotor, atau mungkin menjadi seorang anggota polis trafik mengejar ‘mangsa’ untuk mendapatkan ‘wang kopi’ atau mungkin saja akan menjadi seorang kakitangan kerajaan/swasta yang suka ‘curi tulang’ dan sebagainya. Di manakah nilai keikhlasan, rasa tanggungjawab dalam menjalankan pekerjaan (ibadah) jika sesuatu pekerjaan itu dilakukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran?

Malangnya, tanpa disedari, ibu ini telah mendidik anaknya dengan ‘rasuah’. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh ibu di atas adalah dengan menerangkan kepada anaknya yang dia tidak memerlukan patung besar/mainan tersebut. Berikan penjelasan yang terang dan mudah difahami anak. Cara ini lebih berkesan untuk anak-anak saya. Mereka memang mahukan sesuatu mainan jika dibawa ke tempat sebegini, tetapi saya terangkan kepada mereka tentang ‘keperluan’ dan ‘kemahuan’. Alhamdulillah, saya tidak mengalami situasi di mana anak terpaksa ‘berperang’ dengan anak yang menjerit-jerit atau berguling-guling kerana kemahuan mereka tidak dituruti.

Senario 3

Seorang rakan sekerja (berketurunan India), katanya, dia di’paw’ seorang pegawai polis trafik kerana telah melakukan kesalahan lalu lintas. Katanya, dia tidak mahu disaman dan merayu kepada pegawai berkenaan supaya dilepaskannya. Dia diberitahu jika mahu ‘lepas’, rakan saya diminta memberi habuan kepada pegawai berkenaan. Rakan saya cuma ada wang sebanyak RM5.00 dalam dompetnya pada ketika itu. Pegawai itu tidak banyak bicara dan menyuruh rakan saya menyelitkan wangnya di atas papan (papan untuk tulis saman).

Ceritanya kepada saya, “Teruk betul itu polis, RM5.00 pun dia angkat!” Menurutnya lagi, pegawai berkenaan berketurunan Melayu (saya anggap Muslimlah). Lepaslah duit beli sekeping roti canai/mee goreng/nasi lemak dan segelas teh tarik. MURAHnya harga diri seorang muslim!

Senario 4

Saya sendiri tidak terlepas daripada situasi yang saya andaikan berunsur rasuah. Seorang pengusaha pengangkutan yang pertama kali berurusan, bertanyakan kepada saya bilakah beliau boleh mengutip cek pembayaran untuk perkhidmatannya. Saya jelaskan, cek pembayarannya telah siap dan boleh datang mengambilnya pada bila-bila masa. Beliau bertanya kepada saya bserapa ketul ayam goreng KFC yang saya mahu? Saya tanya kepadanya, mengapa beliau bertanya begitu dan mengagak beliau mahu datang berjumpa saya pada waktu makan tengahari. Beliau menjelaskan kepada saya, seorang rakan saya dari Jabatan Akaun akan meminta beliau membawa satu barrel KFC jika mahu datang mengutip cek pembayaran.

Saya terangkan kepadanya yang beliau boleh datang untuk mengambil cek pembayaran dengan tangan kosong,tanpa perlu membawa apa-apa. Beliau berkali-kali bertanya, adakah saya perlukan apa-apa, selain KFC? Saya jelaskan kepadanya yang saya tak mahu apa-apapun daripadanya. Saya beritahu beliau lagi, saya akan bersetuju jika beliau mahu belanja saya di luar waktu pejabat atas dasar seorang teman dan tidak mengaitkan ‘perbelanjaan’nya untuk mendapatkan sesuatu daripada saya. Agaknya beliau faham apa yang saya cuba sampaikan, semenjak itu beliau tidak pernah bertanya apa-apa lagi.

Saya selitkan lagi situasi di mana saya percaya, ia merupakan satu lagi bentuk rasuah yang dibenarkan oleh masyarakat kita.

Situasi 1

Seorang ayah ‘mengumpan’ anaknya untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan dengan menjanjikan ganjaran RM1.00 sehari sekiranya si anak berpuasa sehari penuh. Sekiranya anaknya berjaya berpuasa penuh selama sebulan (30 hari), bermakna anaknya akan diberi RM30.00 sebagai ‘upah’ atau ‘ganjaran’.

Situasi 2

Seorang ibu menasihatkan anaknya supaya rajin belajar dan dapat lulus peperiksaan dengan cemerlang. Ibu ini juga cuba menggalakkan anaknya belajar bersungguh-sungguh dengan menjanjikan sekiranya si anak lulus dengan cemerlang, anak akan dihadiahkan PS2.


Anak-anak kecil tidak sepatutnya diperkenalkan dengan ganjaran yang berunsur rasuah. Sebenarnya, jika pendidikan di rumah dihalusi dan setiap ibu bapa diberi kursus termasuk guru-guru dan orang-orang kenamaan yang juga ibu-bapa, atuk atau nenek, insya Allah, soal rasuah, menipu, bohong, ponteng sekolah dan lain-lain tidak akan berlaku.

Apa pendapat anda pula?

19 ulasan:

  1. Bagi seorang muslim pula,bila dia berbuat baik, bermula dengan niat sahaja pun dah dapat pahala.

    Allah janji pahala kpd org itu -ajrun azim. Eh macam rasuah la pulak... kalau orang tu ikhlas lagi banyak pahala. sekadar pendapat.

    BalasPadam
  2. Yang itu buat saya keliru...

    Nanti ada yang asyik pasang niat aje. Macam-macam niat dia pasang, tapi dia tak buat seperti yang diniatkannya. Sekadar berniat sahaja. Contoh : ada juga yang berniat untuk berpoligami, konon2 nak ikut sunnah nabi. Niat sahaja. Belom dilaksanakan.

    Hujahnya, bermula dengan niat sahaja sudah dapat pahala.

    Bolehkah buat macam itu?

    BalasPadam
  3. Perkara yg baik, bermula dari niat pun sudah diberi pahala. Kalau niat shj tak buat2, maknanya dia dapat pahala niatlah. Kalau terus dibuat perkara yg baik tu lebih lagi pahala. contoh orang nak pergi masjid, awal2 dah bersiap tetiba datang tetamu dari jauh. Pahala dapatlah setakat niat. Dia tak jadi pergi masjid layan tetamu pula berbeza pula pahalanya. Cuma pahala ni tak macam rasuah yg nampak fizikal. Bagi saya pahala lebih besar nilai 'rasuah'nya. Cuma kita tak kata rasuah sebab Allah bagi.

    Pada saya kalau seorang nak tu diberi hadiah kerana taat agama, ianya wajar. Dan mesti pukul; atau rotan kalau diingkar sebab macam tu yg Allah ajar. Orang tak solat atau lalai dalam solat pun dihumban ke neraka. Jadi orang tak solat dalam rumah boleh kalu disuruh ketuk ketampi.

    yg jadi masalah parent selalu bagi hadiah bila dpt 5A, 8A bla2.. bila hafaz qur'an tak dapat apa2. patut parent pun denda anak2 yg tak tutup aurat keluar rumah macam Univ Malaya buat. Kalau tutup aurat boleh beri hadiah (buat permulaan). Soal niat itu Allah yg beri pahalanya kerana hanya Allah tahu niat kita. Dari segi luaran manusia ada haq buat peraturan supaya hukum Allah terlaksana. Boleh takzir/denda sekadarnya dari awal.

    Dulu bapa saya kalau kami tak balik rumah lebih pukul 3 ptg kena rotan. Jgn cerita nak buat perkara lain yg mengarut. tapi bab puasa tak pernah pula saya dapat duit, kalau tak puasa kena rotan adalah...

    sebenarnya bagi hadiah/pujian untuk perkara baik itu bukan rasuah. Cuma mesti imbangkan dengan perbuatan jahat/dosa. Perbuatan dosa mesti juga kena hukum. Baru betul dan bukan rasuah namanya.

    Kalau berniat tak buat2, masih dapat pahala kerana ada kemahuan ikut sunnah. jgn solat pun niat sahaja, itu baru tak betul sebab solat tu perintah.Soal ikhlas atau tidak tak masuk kira sebab perintah yg wajib dturuti.

    Poligami bukan perintah yg wajib ditaati, malah perkahwinan pun ada 5 hukum, bukan wajib melulu.

    Allahuaklam.

    BalasPadam
  4. Niat nak buat yang baik tapi tak buat lagi sudah diberi pahala, maksudnya pahala niat buat baik bukan pahala apa yang bakal dilakukan. Niat nak buat jahat belum dituliskan dosa kerana kasih sayang allah. jadi niat buat jahat belum berdosa sehinggalah dia melakukannya.

    BalasPadam
  5. RiZAX [delarizax@yahoo.com]31 Disember 2009 pada 3:07 PTG

    kenapa yek.... sebut je rasuah orang semua akan kata polis rasuah....

    baru-baru ni aku ke sebuah bank terkemuka yang pakai logo merah kuning tuh... nak apply loan business 200k.... tapi aku kena belanja makan officer bank... pastu belikan handbag bini dia dekat 1k... pastu aku kena bayar dulu komisen dia 1.5%... loan belum lulus lagi tuh....

    BalasPadam
  6. MohdRizal AhmadDahalan [mrizal@meinhardt.com.my]31 Disember 2009 pada 3:08 PTG

    saudara rizax,

    pengalaman saudara ni, eloklah lapor kepada MACC....
    sekurang-kurang bila ramai yg lapor kepada MACC, harap akan bekuranglah rasuah ni.....

    sekiranya dibiarkan sahaja atau berdiam sahaja, bermakna kita bersetuju rasuah ni di teruskan...

    BalasPadam
  7. Haris [M.Mohamed-Haris@shell.com]31 Disember 2009 pada 3:09 PTG

    Kawan saya kene bawak officer dan anak2 dia pergi Sunway Lagoon...hahahaha......
    Sunway Lagoon.....

    BalasPadam
  8. aNNa [anna@intercos.com.my]31 Disember 2009 pada 3:10 PTG

    Kalau cakap rasuah bermula dari rumah tu mungkin betullah tapi boleh cakap juga ‘tak semestinya’. Rasuah itu sebenarnya bermula daripada hati yang terlalu tamak haloba dan tak ingat Tuhan. Tak kisah dosa yang penting dia dapat apa yang dia mahu. Ada juga anak ni diasuh dan dididik dgn agama yang cukup tapi bila dah besar/dewasa, rasuah juga…


    Regards//aNNa

    BalasPadam
  9. Transfomer [ahmdtcm@yahoo.com]31 Disember 2009 pada 3:10 PTG

    Sebenarnya kita sendiri yang menyebab kan rasuah terjadi

    BalasPadam
  10. Nurafida [nurafida_ida_85@hotmail.com]31 Disember 2009 pada 3:11 PTG

    manusia ni terlalu complicated...kita boleh menterjemahkan sesuatu action tu dalam macam-macam penterjemahan..apapun,kita lah yang merationalisasikan setiap tindakan kita..setiap apa yang kita lakukan ada positif dan negatifnya. terpulang pada kita untuk memilah yang mana baik dan yang mana buruk. manusia itu tidak akan berubah jika kita kita mengubah diri kita.

    BalasPadam
  11. Emmie Leeya [emmie.leeya@gmail.com]31 Disember 2009 pada 3:12 PTG

    Waalaikummusaalam..

    Sy agak kurang bersetuju dgn sesetengah pendapat di bawah... utk tahap kanak2 sy menganggap itu adalah ganjaran. misalnya anda katakan td bila dia lulus cemerlang, parentsnya akan menghadiahkan sebuah ps2.. itu juga boleh dikategorikan pembakar semangat. AKAN TETAPI make sure ganjaran tu hanya SESEKALI BUKAN SENTIASA.....

    Takkan laa hanya takut rasuah terserap dlm diri anak2.. kiter mengabaikan penghargaan yang sepatutnya mereka terima??

    BalasPadam
  12. Engr Din S [saharuddin-samian@jhr.sharp-world.com]31 Disember 2009 pada 3:13 PTG

    Salam,

    Saya kurang bersetuju dengan takrifan penulis mengenai makna rasuah ini di mana, penulis mentakrifkan rasuah sebagai "memberi hadiah untuk mendapatkan sesuatu atau untuk mengiktiraf sesuatu kejayaan".

    Bagi takrifan memberi hadiah untuk mendapatkan sesuatu, saya bersetuju tetapi jika ditakrifkan sebagai mengiktiraf sesuatu kejayaan, saya kurang bersetuju. Saya ambil contoh di dalam alam persekolahan dan sukan...sekiranya takrifan ini di ambil kira/dipersetujui...maka ini bermakna setiap sekolah dan badan sukan telah mengamalkan rasuah.

    Dan cuba kita bayangkan, jikalau kejayaan tidak diberikan penghargaan....apa akan terjadi?

    Wassalam

    BalasPadam
  13. Hamden Yahaya [mrlabiu@yahoo.com]31 Disember 2009 pada 3:14 PTG

    RASUAH adalah pemberian kepada seseorang yang telah menolong seorang yang berharap dan bermohon sesuatu. Apabila apa yang telah dimohon itu dapat/diluluskan seseorang pegawai atau seumpamanya, maka orang yang sudah ditolong itu suka dan sedia beri balas.

    Dalam keluarga pun terjadi rasuah dan ia dimulai dengan rahsia. Saya pernah dikabar seorang wanita mengenai perbuatan abangnya menonton video lucah setiap kali emak-bapak mereka takde di rumah. Wanita ini ancam abang nya untuk repot pada emak-bapak mereka kalau dia tidak beri beliau tonton video lucah itu. Akhirnya wanita itu dapat tonton video lucah berkenaan didalam bilik tidur abangnya sendiri.

    BalasPadam
  14. Amaini Taib [amainitaib@yahoo.com.my]31 Disember 2009 pada 3:16 PTG

    slm.... bagus article neh... thanx a lot...

    minta permission nk C & P and forward kt my frenz, blh?

    BalasPadam
  15. ASETiP [asetip@damansara.net]31 Disember 2009 pada 3:18 PTG

    Bagi saya bila si ayah memberi ole-ole tidak lah dianggap rasuah. Bergantung kepada nawaitu si ayah. Tidak adil lah mengatakan si ayah memberi rasuah jika memang niat dia hendak menyukakan si anak yang mana sebahagian dari cara mereka mencurahkan kasih sayang.


    Setiap keluarga ada cara masing-masing. Lain lah jika si ayah memang hendak menyuap si anak untuk tujuan tertentu.

    BalasPadam
  16. Hasmizal Zakaria [mhbz75@yahoo.com]31 Disember 2009 pada 3:19 PTG

    Kalau pakai pukat semua perbuatan memberi kepada anak2 sebagai rasuah...alamatnya lepas nie depa tak dapat apa la... Pada saya kena ada garisan pemisah yang membezakan rasuah atau galakan kasih sayang. Bezanya, pemberian galakan kasih sayang nie tak bersandarkan apa yang penerima leh bagi. Tetapi berdasarkan sucihati sipemberi yakni...si ayah atau si ibu atau keluarga.

    mungkin ada perbuatan sesetengah ahli keluarga yang memberi sebagai ganjaran kepada kanak2 bagi melindungi sesuatu perbuatan. yang nie mungkin bukan sesuatu yang elok dicontohi. Aspek kayu dan lobak merah dalam hubungan sosial kekeluargaan perlu difahami. Perbuatan yang baik seharusnya diberi ganjaran dan galakan manakala perbuatan negatif pula patut ditegah.

    tah apa yang saya dok melalut nie masih kena ngan topik perbincangan...tp tu lah pandangan sekupang saya.

    Sekian, terima kasih.

    M. Hasmizal

    BalasPadam
  17. Zaid Kadir [mukmingood@yahoo.com]31 Disember 2009 pada 3:21 PTG

    Assalamaualaikum,

    Saya ingin membuat penambahan atas tajuk ini dan bahagian yang saya ingin ulaskan adalah Ganjaran atau sogokan kepada anak anak kita. Adakah ini di kira Rasuah...?

    Bagi pendapat saya, Ganjaran itu penting. Tak kira tahap usia mereka berapa dan siapakah mereka.. Ingin saya khabarkan bahwa Nabi Muhammad S.A.W diri menceritakan ganjaran demi ganjaran dalam masa beliau berdakwah kepada kaum musyrikin.......

    Pernah sahabat sahabat baginda s.a.w (sebelum memeluk islam ) bertanya : Ya , Muhammad, Sekiranya kami mengikuti agama kamu , apakah yang kami dapat ...?
    Jawab Baginda s.a.w ialah sesungguhnya ganjaran bagi orang orang yg beriman kpd ALLAH dan RasulNYA adalah Jannah. Yakni Syurga.... (nak tau cerita lebih lebih...rujuk pd ustaz 2)

    Ganjaran yg membawa kepada kebaikan yakni dalam soal agama dan pembangunan individu / masyrakat yg positif adalah harus. Tidak boleh kita menakrif itu sebagai punca punca awal rasuah bermula dari Rumah..

    Mungkin ada pembaca yg kurang faham maksud saudara bawang goreng itu.. kalau tak silap saya saya, maksud beliau, kita sebagai ibu bapa jangan menyogok /mendidik anak anak kita secara berbohong...

    Sebenarnya, anak anak itu mengerti kalau kita tiada kemampuan untuk membeli atau memberi hadiah buat mereka. Yang penting, cara mana kita menerangkan kepada mereka secara hikmah...

    itu sahaja ulasan saya yang lemah ini.

    yg baik datangnya dari ALLAH SWT.. yg buruk kelemahan saya.

    Wassalam.
    Mr.Zaid

    BalasPadam
  18. Salam Sdr BawangGoreng,

    Memang 'Virtual World' ini kecil. Emails travel everywhere, far, fast and furious. Begitulah jadinya email anda telah dimajukan ke alamat saya. Oleh kerana saya pun mempunyai sentimen yang sama terhadap rasuah atau semangat anti corruption, maka timbul selera untuk menyumbang sedikit mengenai tulisan yang disampaikan kepada saya ini.

    Telah saya coba tuliskan dalam COMMENT, tapi kerana pasti posting itu berhasil...Maka dikirimkan email ini...

    Incentive atau ganjaran yang bermacam rupa adalah merupakan gejala yang sungguh lumayan dalam kehidupan manusia. Allah mempunyai sifat penyayang dan pemurah serta kuasa menjanjikan rahmat, pahla dan shorga kepada umat yang mengikuti jalannya. Sebagai mahluk yang beriman kita mengakui tentang qadak dan qadar. Sedikit sebanyak kita bukan sahaja menerimanya, malah turut mangamalnya dengan cara kita sendiri.

    Ukuran yang diutama adalah 'MOTIVE' nya ? 'NAWAITO'/NIAT dan HASIL. Mengukuti jalan Allah akan menghasilkan umat yang hidup BERSYARIAT. NIAT setiap ibu dan ayah memberi ganjaran kepada anak-anaknya untuk mengHASILkan kebaikan, kecermerlangan, kemenangan, kelulusan, keadilan, kedamaian dan segala penghasilan yang diredahi Allah adalah NIAT yang baik.

    Kriteria rasuah agak berbeza sedikit. Ada elemen KESEPAKATAN (Parties of 2 or more) yang bersebahat untuk NIAT tak jujur (dishonest intention). Ada TINDAKAN (Act) menyalahgunakan kuasa dan mendapatkan keuntungan secara tidak jujur. Ada AKIBAT (Consequence) yang buruk yang menyebabkan keruntuhan akhlak, kehilangan dana, kemiskinan rakyat, bahaya terhadap keselamatan umum dsbnya. Ada UNDANG UNDANG (Laws) mengenainya. Ada IMBUHAN (Proceed) berupa 'dishonest wealth, ill gain and nepotism'.

    Imbuhan sahaja tidak menentukan adanya tindakan rasuah. Perlu dilihat elemen-elemen lain seperti tertera diatas.

    Perlu diingati bahwa yang memberi (PARTIES) dan menerima Rgt 5 sebagai ganjaran untuk tidak mengeluarkan saman adalah pakatan rasuah sesuai dengan kriteria tersebut diatas.

    Menerima undangan makan sebagai "kawan" pada "luar masa pejabat" pun sudah berbau rasuah kerana "kawan" itu berkepentingan pada suatu ketika nanti. Ada rasuah bersifat aktif dan ada pula bersifat pasif.

    Wasalam.

    Dr Shah Dan
    http://shah84dan.blogspot.com

    BalasPadam
  19. Salam,

    Terima kasih atas feedback yang diberikan.

    Ada kemungkinan tuan tidak dapat akses blogspot artikel asal kerana awal pagi tadi saya telah menukarkannya ke url lain iaitu di http://laman-seri.blogspot.com.

    Benar sekali, nawaitu menentukan segala-galanya. Saya difahamkan, Allah juga beri pahala (ganjaran) bagi setiap nawaitu yang kita ucapkan (di hati mahupun di mulut). Nawaitu yang baik diberi pahala. Nawaitu untuk melakukan yang jahat tidak diberi apa-apa. Ini juga satu bentuk 'rasuah' tapi kita tak panggil rasuah sebab Allah yang beri. Sebab Allah menggalakkan org berbuat baik. Jika orang itu melaksanakan apa yang di'nawaitu'kannya, diberi-Nya pahala yang lain pula.

    Yang menjadi persoalan saya sekarang, mengapa dewasa ini anak-anak diajar "kamu akan dapat habuan/ganjaran sekiranya kamu memenuhi permintaan ayah/ibu". Anak-anak zaman sekarang tidak dididik atau difahamkan mengapa mereka mesti buat itu ini (atau tidak boleh buat itu ini).

    Susah saya nak terangkan di sini, tapi cuba tuan bayangkan, untuk situasi 1 dalam artikel ini, si ayah sepatutnya mendidik anaknya berpuasa kerana itu satu perintah Allah dan jika anak melaksanakan perintah Allah, dia akan mendapat ganjaran pahala di sisi-Nya. Sebaliknya, si ayah telah menanam satu tanggapan lain kepada anak, jika anak berbuat baik, dia akan peroleh ganjaran daripada ayahnya. Untuk mendapatkan ganjaran itu, dia kena ikut cakap ayahnya. Adakah dia ikhlas melakukan ibadah puasa? Sedangkan puasa itu ibadah wajib....

    Kita takut tiada keikhlasan dalam membuat sesuatu kebaikan sebab anak-anak sudah diajar jika dia melakukan satu-satu kebaikan, dia akan memperolehi ganjaran daripada orang lain. Nawaitu yang tidak ikhlas, apa kesannya? Adakah pahala di sisi-Nya?

    Daripada konsep "kamu akan dapat habuan/ganjaran sekiranya kamu memenuhi permintaan ayah/ibu"... inilah, satu hari nanti, ia akan bertukar, "kamu akan dapat habuan/ganjaran sekiranya kamu memenuhi permintaan aku" ... 'aku' yang saya maksudkan ini, pelobi projek contohnya. Itu yang saya maksudkan permulaan rasuah.

    Tidak mustahil ajaran/didikan yang salah ini adalah salah satu penyumbang Malaysia jatuh rangking dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)...

    Siapa tahu?

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails