Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,
Kelmarin, dilaporkan, Tan Sri Samsudin berbasikal hadiri mesyuarat pasca Kabinet. Tahniah! Kepimpinan melalui teladan, status sebagai Presiden tidak menghalang beliau untuk berbasikal sejauh kira-kira dua kilometer dari pejabatnya di Kompleks Perbadanan Putrajaya di Presint 3 untuk menghadiri mesyuarat pasca Kabinet di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di Putrajaya Holdings Presint 2. Menurut Samsudin, selain bagi menggalakkan penggunaan kenderaan mesra alam di Putrajaya bagi merealisasikan usaha menjadikan Putrajaya sebagai "Bandar Hijau", ia juga sebagai mempromosi gaya hidup sihat di kalangan kakitangannya.
"Perkara macam ini perlu dimulakan, kalau tidak sampai bilapun ia tidak akan menjadi kenyataan," katanya yang masih kelihatan cergas walaupun pada usia 64 tahun. Beliau berkata, beberapa basikal juga disedia bagi digunakan kakitangannya untuk berurusan dalam kawasan itu terutama untuk ke kementerian.
KEMPEN berbasikal yang dilaksanakan di Putrajaya selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai pusat bandar hijau yang dinamik. Inisiatif Perbadanan Putrajaya turut bertujuan menggalakkan penggunaan kenderaan tidak bermotor.
Pada pandangan saya, inisiatif ini dapat dilihat dari pelbagai sudut berbeza yang mendatangkan pelbagai kesan yang positif. Misalnya, ia dapat mendidik warga Putrajaya untuk mengenengahkan aktiviti kecergasan, bersukan dan bersenam sebagai gaya hidup baharu mereka. Ideanya sungguh kreatif dan inovatif.
Berbasikal bukanlah suatu aktiviti utama di Malaysia jika dibandingkan negara seperti United Kingdom (UK), Jepun, Korea dan Vietnam. Banyak bandar besar di dunia sudah melaksanakan berbasikal di ibu kota mereka, misalnya di Beijing, China. Semasa menuntut di negara matahari terbit juga, senario orang awam berbasikal di mana-mana sahaja, bukanlah sesuatu yang asing di sana. Di Barat, melihat orang ramai berbasikal ke sana-sini adalah sesuatu yang lumrah. Tua atau muda, masing-masing selesa berbasikal ke mana saja. Mereka juga tidak kisah mengusung basikal menaiki tren atau berpanas berhujan sambil berkayuh.
Selain menyihatkan badan, berbasikal dapat membantu mengurangkan masalah pencemaran alam. Namun di Malaysia, berbasikal bukanlah sesuatu yang dipraktiskan. Ramai enggan berbasikal walaupun ke tempat yang dekat kerana tidak mahu letih atau berpeluh-peluh. Selain itu, ada juga yang terlalu menjaga status dan tidak mahu dianggap ‘sengkek’ berbasikal ke sana-sini.
Putrajaya yang dibina mengambil kira semua aspek kemudahan dan infra kelas pertama seperti kemudahan trek yang terbaik dan terpanjang untuk aktiviti berjoging, berekreasi serta berbasikal akan menyokong kejayaan kempen itu nanti.
Langkah ini sebagai sesi ‘pemanas badan’ kempen, sudah pun bermula dan dirasakan betapa seriusnya Perbadanan Putrajaya untuk mengotakan apa yang dikata, sehinggakan Samsudin sanggup berbasikal sejauh dua kilometer.
Dalam perkembangan sama, mendorong warga Putrajaya memiliki basikal sendiri sudah tentu permintaan terhadap basikal akan meningkat. Keadaan ini akan menyuburkan industri basikal. Berbasikal juga akan menyokong teras dalam industri sukan yang mula dilaksanakan oleh KBS 2011/12.
Kepada Warga Putrajaya yang kreatif akan sudah tentu akan memanfaatkan usaha ini bagi menjadi usahawan basikal di Putrajaya. Ini suatu lagi cara untuk meningkatkan punca pendapatan baru rakyat selaras menyokong usaha dalam Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA).
KBS sentiasa menyokong kempen ini kerana dengan cara berbasikal akan mendorong meningkatkan peratusan rakyat Malaysia yang mengamalkan budaya sukan dan kecergasan. Dilaporkan bahawa, penyebab penyakit kronik seperti serangan jantung, tekanan darah tinggi, strok, kencing manis serta kegagalan buah pinggang berfungsi, berpunca daripada gaya hidup tidak cergas tanpa bersenam dan ketagihan rokok dan arak.
KBS mempunyai 100 basikal sedia ada di gimnasium yang boleh dipinjamkan kepada orang ramai bagi memulakan kempen berbasikal di Putrajaya pada waktu lepas bekerja, Sabtu dan Ahad serta cuti kelepasan am.
Selamat mengayuh basikal anda!
Sumber : BHarian 03/02/2011
Baru mengayuh satu kilometer peha dah nak kejang.. Mengah....
BalasPadam@azwandengkil
BalasPadamLoh... Mcmana nak masuk LeTour...?