“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Februari 14, 2011

Ikut sunnah tanda cintakan Rasulullah


Terap cara hidup Baginda sepanjang masa bukan ketika sambut Maulud

MENGAPAKAH kita perlu mencintai Nabi Muhammad SAW? Bagaimana caranya kita menzahirkan kecintaan terhadap Nabi SAW? Cukupkah dengan hanya meraikannya dengan Maulidur Rasul dan berselawat kepadanya? Nabi SAW pernah mengatakan yang bermaksud: “Demi nyawaku di tangan-Nya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang dia kasihi melebihi kasihnya terhadap ayah, emak dan semua makhluk yang lain.” (Hadis riwayat Bukhari).

Jelaslah melalui kenyataan Nabi SAW itu bahawa kita sebagai umatnya mesti meletakkan kecintaan terhadapnya di puncak rasa cinta. Tetapi tercapaikah kita berbuat demikian? Mampu atau tidak, kita sebagai mukmin seharusnya berusaha menanamkan rasa kasih terhadap baginda dan sebagai manifestasi penzahiran cinta terhadap Nabi itu, maka segala sunnah dan panduan hidup yang telah dipertunjukkannya perlulah kita ikut dan teladani sedaya termampu.

Dalam sebuah pernyataan yang lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini akan dapat merasai kemanisan iman, iaitu cinta kepada Allah dan Rasul lebih daripada segala-galanya. Kedua, menyintai seseorang kerana Allah dan takut kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya seperti dia benci untuk dilemparkan dalam api neraka yang panas.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini menunjukkan kepada kita bahawa tidak sempurna iman dan kita benar-benar tidak akan merasai kemanisan iman di dalam hati, melainkan Rasulullah SAW dijadikan orang paling dikasihi selepas cinta kita terhadap Allah.

Mencintai Nabi SAW bermakna kita mestilah patuh dan taat menurut segala sunnahnya dan tidak melakukan penyelewengan terhadap aturan kehidupan sebenar seperti yang digariskan Baginda. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mentaatiku, maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang menderhakaiku, maka dia telah menderhakai Allah. Begitu juga sesiapa yang mentaati petugasku, maka dia telah mentaatiku dan sesiapa yang menderhakai petugasku, maka dia telah menderhakaiku.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ada eloknya dipaparkan satu kisah yang mungkin menjelaskan kepada kita bagaimana cintanya sahabat terhadap Nabi SAW. Saidina Umar al-Khattab ada mengisahkan begini: “Saya berjalan bersama-sama Nabi SAW sambil diiringi sahabat yang lain. Kemudian baginda berjalan memimpinku. Umar pun berkata: Demi Allah, wahai Rasulullah, sesungguhnya aku benar-benar menyintaimu.” Hebat sekali sentuhan kasih sayang antara sahabat terhadap Rasulullah SAW.

Dilanjutkan kisahnya, Nabi SAW pun berkata: “Melebihi cintamu kepada orang tuamu, wahai Umar? Umar pun menjawab: Ya Rasulullah. Kemudian, Nabi SAW bertanya lagi: Melebihi cintamu kepada hartamu, wahai Umar? Umar mengatakan: Ya Rasulullah. Nabi SAW meneruskan lagi pertanyaan kepada sahabatnya itu: Melebihi dirimu, wahai Umar? Umar berkata: Tidak.”

Seketika kemudian Nabi SAW pun mengatakan kepada Umar: “Tidak wahai Umar. Tidak sempurna imanmu sampai engkau menyintaiku melebihi dirimu sendiri.” Umar pun keluar buat sementara sambil berfikir, kemudian kembali dengan begitu semangat lalu berkata: “Demi Allah, wahai Rasulullah. Sungguh aku menyintaimu melebihi diriku sendiri.” Mendengar pengakuan daripada Umar itu, Nabi saw pun berkata: “Sekarang, wahai Umar (baru benar).” Begitulah didikan Nabi SAW kepada sahabatnya menanam sikap cinta terhadapnya dan ternyata tarbiah Rasulullah SAW telah mewujudkan insan Muslim yang begitu cinta terhadap nabinya sehingga sanggup berkorban apa saja demi mempertahankan agama.

Ini satu lagi kisah menarik yang cukup menyentuh hati kita dan boleh memupuk jiwa bagaimana menyintai Nabi SAW. Diriwayatkan bahawa beberapa hari Nabi SAW tidak terlihat oleh pembantunya, Tsauban. Ketika dia nampak Nabi SAW datang, maka Tsauban pun berkata: “Saya rindu kepadamu, wahai Rasulullah.” Kemudian Tsauban menangis, lalu Nabi SAW berkata kepadanya: “Apakah hanya ini engkau menangis?” Tsauban mengatakan: “Tidak, wahai Rasulullah, akan tetapi saya teringat tempat engkau di syurga sedangkan saya membayangkan tempat saya amatlah mengerikan.”

Maka Nabi SAW berkata: “Wahai Tsauban, orang itu akan dikumpulkan bersama orang yang dicintainya.” Begitulah hebatnya sahabat Nabi SAW yang nyata rasa cinta mereka terhadap Nabi SAW sangat tinggi. Bagaimana dengan keadaan kita sekarang? Bagaimana dengan segala pesanannya melalui kenyataan hadis baginda sudahkah kita jadikan pedoman hidup? Atau kita hanya ingat dan rasa begitu sayang dan cintakan Nabi SAW tatkala tibanya Maulidur Rasul saja!

Kita hendaklah membuktikan kecintaan kepada Nabi SAW dengan mempamerkan jalan hidup yang menepati susur galur sunnahnya dan sentiasa memperbanyakkan bacaan selawat kerana inilah mekanisme yang terbaik menjadikan diri kita benar-benar cintakan baginda. Hidup berkeluarga seperti yang dipandukannya. Hidup bermuamalat juga menuruti jalan yang dipamerkan Rasulullah SAW.

Begitu juga dengan akhlak diri seharusnya sejajar dengan akhlak mulia kerana Nabi SAW tidak pernah putus berpesan mengenai perlunya kita berakhlak mulia itu. Sabda Nabi SAW dan ingatlah kata-kata baginda ini sepanjang hayat dikandung badan: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat tempat duduknya dariku pada hari Kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)




Petikan : BHarian 14/02/2011

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails