Pemberontakan kemuncak kemarahan rakyat terhadap pemerintahan ibarat Firaun moden
DUNIA Arab sudah dilihat dengan lensa berlainan sejak beberapa minggu ini. Bermula kejayaan rakyat Tunisia menjatuhkan rejim pemerintahan Ben Ali, ia merebak ke Mesir dan Yaman. Malah rakyat Jordan dilaporkan mahukan pembaharuan dalam sistem politik mereka.
Namun, Mesir mendapat liputan meluas di Malaysia dan seluruh dunia kerana rakyat Mesir tanpa mengira agama bersatu menentang kekejaman kerajaan Hosni Mubarak. Malah Mesir amat penting bagi menentukan hala tuju perjuangan di Palestin kerana selama ini Mesir dilihat selalu bersekongkol dengan Rejim Zionis bagi menindas perjuangan rakyat Palestin. Mesir juga begitu dekat di hati rakyat Malaysia kerana ada lebih 11,000 rakyat negara ini khususnya pelajar, yang menuntut pelbagai jurusan di sana.
Rakyat keempat-empat negara Arab ini sudah melakukan anjakan paradigma yang begitu besar dan tidak mustahil negara Arab lain yang begitu konservatif akan turut menyertai perjuangan menegakkan kebenaran.
Sudah kedengaran suara sama ditimbulkan di Sudan dan Syria. Mungkin kerajaan negara Arab lain perlu lebih terbuka dalam soal ini dan merubah landskap politik negara masing-masing.
Tidak boleh diketepikan juga, bukan saja negara Arab akan terkesan dari perjuangan rakyat Mesir ini malah negara Islam bukan Arab lain akan melihat situasi di Mesir memberi impak kepada perjuangan mereka. Kemungkinan negara bukan Islam juga akan mengambil pengajaran dari peristiwa di Mesir.
Beberapa negara Islam seperti Arab Saudi sudah memulakan langkah transformasi negara mereka terlebih dulu. Sejak pemerintahan Raja Abdullah, Arab Saudi sudah menjalankan pelbagai transformasi seperti mengatasi pengangguran, isu hak asasi dan meningkatkan peranan agama dalam pentadbiran kerajaan. Itulah sebabnya kita lihat ulama di Arab Saudi berada di belakang Kerajaan Arab Saudi dan bekerjasama bagi memastikan kemajuan negara.
Berbalik kepada situasi di Mesir, Hosni Mubarak yang memerintah Mesir lebih 30 tahun sudah tidak lagi diterima rakyat Mesir. Tawaran Mubarak untuk tidak bertanding pada pilihan raya akan datang dipandang sinis rakyat kerana mereka mahu Mubarak melepaskan jawatan serta-merta disebabkan kegagalan Mubarak mentadbir negara yang penuh rasuah dan penindasan itu.
Sebuah Mahkamah di Kaherah memutuskan apa-apa keputusan Mubarak selepas 28 Januari adalah tidak sah. Malah, negara Eropah juga memberi isyarat jelas kepada Mubarak supaya berundur dengan segera dan menghormati suara rakyat.
Hanya Israel yang berusaha mempertahankan Mubarak. Sudah tidak tersirat lagi, Israel mempunyai kepentingan besar dalam pentadbiran Mubarak. Jika kita imbau ketika pemerintahan Mubarak, terowong penghantaran makanan ke Palestin diletupkan dan pintu masuk ke Rafah juga dibuka dalam waktu begitu terhad bertujuan menyukarkan rakyat Palestin menjalani kehidupan seharian mereka.
Mubarak begitu angkuh ketika pemerintahannya, tiada nilai kemanusiaan diberikan kepada rakyat Palestin yang menagih simpati ke seluruh dunia. Mubarak menjadikan Gaza penjara terbesar di dunia. Kezaliman kerajaan dan kesabaran rakyat yang memuncak menyebabkan rakyat hilang sabar dan berjuang menumpaskan Mubarak. Inilah yang berlaku saat ini di seluruh Mesir.
Sistem pemerintahan Mesir di bawah Mubarak tiada bezanya dengan kerajaan Tunisia sebelum ini. Mereka melakukan penindasan terhadap rakyat, penipuan dalam pilihan raya, rakyat Mesir terus tertekan dengan kehidupan di sana.
Kini kemarahan rakyat Mesir semakin meluap-luap dan sudah mencapai kemuncak demonstrasi untuk tuntutan bagi mengembalikan pemerintahan yang lebih adil kepada mereka. Yang pastinya, rakyat Mesir mahukan Hosni Mubarak letak jawatan serta-merta.
Pemerintah Mesir ibarat Firaun moden. Nama saja Islam tapi terlalu sekular. Mereka sanggup buang air di dinding masjid. Mubarak menyekat sempadan laluan untuk memasuki Gaza. Makanan dan ubatan semuanya rosak ketika di sempadan Mesir-Gaza sepanjang 14 kilometer.
Hari demi hari rakyat Mesir berkumpul bagi menzahirkan bantahan terhadap Mubarak yang masih mahu bertahan melindungi kepentingannya serta kroni di belakang beliau. Mungkin rakyat Mesir menunggu sehingga 12 Februari nanti untuk melakukan sesuatu kerana 12 Februari 1949 adalah tarikh sering diingati rakyat Mesir khususnya Ikhwanul Muslimin. Pada tarikh itulah ikon Ikhwanul Muslimin dibunuh oleh Kerajaan Mesir.
Anak kelahiran Buhairah, Mesir yang menghafal al-Quran ketika berusia 12 tahun ditembak tujuh das ketika menunggu teksi untuk pulang dari pertemuan dengan seorang menteri yang tidak muncul pada saat dijanjikan.
Perjuangan rakyat Mesir dilihat sebagai pemangkin kepada perjuangan menentang kezaliman di seluruh dunia. Dunia mesti mengambil iktibar daripada perjuangan melepaskan diri daripada kongkongan kezaliman dan penindasan. Situasi di Mesir mungkin berbeza dengan Malaysia, namun Malaysia harus mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di negara itu.
Semoga rakyat Mesir beroleh kejayaan bagi menentang kezaliman. Kerajaan dan rakyat Malaysia juga perlu berganding bahu supaya kekalutan di Mesir tidak berlaku di Malaysia.
Penulis, Zainul Rijal Abu Bakar, ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my.
Petikan : http://www.bharian 07/02/2011
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...