“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Februari 14, 2011

Kontroversi nikah bawah umur

USIA remaja perlu dihabiskan dengan usaha menuntut ilmu. - Gambar hiasan


SITI Nur Zubaidah Hussin baru berusia 11 tahun ketika dia dipaksa berkahwin oleh bapanya dengan lelaki berusia 41 tahun di Kelantan awal tahun lalu. Bapanya, Hussin Mat Salleh ialah pengikut kumpulan tabligh yang diyakinkan oleh ketuanya, Shamsuddin Che Derahman, juga digelar ‘Sudin Ajaib’, bahawa perbuatan itu mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Akibat perkahwinan tanpa rela, kanak-kanak pintar darjah lima itu mengalami tekanan perasaan yang hebat. Dia telah ditemui dalam keadaan separuh sedar di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera, Batu Caves, Selangor.

Kes itu bukanlah yang pertama dan terakhir di negara ini kerana masih ada lagi remaja yang berkahwin dengan kerelaan hati malah ada juga yang terpaksa berkahwin kerana hamil di luar nikah.

Pusat Kajian Wanita Antarabangsa (ICRW) pada tahun 2005 memberikan definisi pernikahan bawah umur sebagai pernikahan atau penyatuan antara dua orang, iaitu salah seorang ataupun kedua-duanya berusia kurang daripada 18 tahun.

Gubal undang-undang

Sehingga kini, kadar peratusan pernikahan bawah umur di Malaysia masih kecil iaitu 0.725%. Pada dasarnya, perkahwinan adalah sebahagian daripada fitrah manusia dan berdasarkan fitrah itulah, Allah menciptakan manusia, tetapi sejauh manakah pernikahan bawah umur diterima oleh masyarakat yang semakin maju pada masa kini?

Justeru, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) telah menganjurkan Seminar Kebangsaan Undang-Undang Keluarga Islam bertajuk Nikah Bawah Umur: Patut atau Tidak? di sini baru-baru ini.

Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakari berkata, terdapat nas yang membolehkan perkahwinan dengan kanak-kanak bawah umur sama ada daripada al-Quran, Sunnah dan ijma’. Bagaimanapun, beliau berkata, penggubalan atau peruntukan undang-undang perlu ada bagi mengawal perkara itu dan untuk memastikan pihak yang terlibat, terutamanya pihak perempuan mendapat perlindungan dan jaminan.

Matlamat perkahwinan

Syeikh Abdullah al-Manie, iaitu anggota Majlis Ulama Kanan Saudi melontarkan pandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan bawah umur.

“Pandangan beliau itu timbul sebagai reaksi kepada perkahwinan seorang gadis berumur 12 tahun dengan seorang lelaki berumur 80 tahun di Buraidah, Arab Saudi,” kata Zulkifli ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pernikahan Di Bawah Umur Dari Perspektif Syarak.

Zulkifli menambah, walaupun hukum berkahwin dengan gadis kecil adalah harus, tetapi dengan memahami maksud dan matlamat perkahwinan, ia jelas menunjukkan bahawa sewajarnya kanak-kanak yang dikahwini mestilah dalam usia yang mampu menanggung hubungan kelamin.

“Justeru melihat kepada adat, sewajarnya tidak dibenarkan perkahwinan bawah umur kecuali melihat kes tertentu sahaja,” katanya.

KISAH seorang gadis bawah umur yang ditemui separuh sedar di Batu Caves menggemparkan negara awal tahun lalu.


Seksyen 8, Akta Undang-Undang Keluarga Islam, Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 dan enakmen-enakmen seumpamanya di peringkat negeri memperuntukkan umur minimum untuk berkahwin. Akta itu menyatakan bahawa tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan jika si lelaki berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika hakim syariah memberi kebenaran secara bertulis dalam keadaan tertentu.

Bukan budaya Malaysia

Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, perkahwinan bawah umur berlaku di negara lain malah dalam jumlah yang tinggi. Di Malaysia, rata-rata masyarakatnya mengecam perkahwinan bawah umur.

“Antara jawapan yang ditemui adalah kerana Malaysia menjadi model negara Islam, maka ia tidak sepatutnya menggalakkan perkahwinan bawah umur. Malaysia juga negara maju. Perkahwinan bawah umur dilihat sebagai satu amalan yang ketinggalan zaman,” katanya ketika membentangkan kertas kerja Pernikahan Di Bawah Umur Dari Perspektif Undang-Undang.

Zaleha berkata, berkahwin bawah umur bukanlah budaya di Malaysia pada masa kini dan ibu bapa sepatutnya menggalakkan anak-anak mereka untuk belajar pada usia itu dan bukannya untuk berkahwin.

“Dengan perkembangan dunia kini dan semangat membudayakan ilmu, kita tidak sepatutnya menggalakkan remaja kita berkahwin bawah umur melainkan dalam hal-hal yang tidak dapat dielakkan,” kata Zaleha.

Beliau berkata, mungkin Malaysia harus belajar dari pengalaman India iaitu undang-undang untuk menyekat perkahwinan bawah umur adalah seperti ‘harimau yang tidak bergigi’.

“Peratusan perkahwinan bawah umur menjadi sedikit rendah di India dan Pakistan bukan kerana kewujudan undang-undang itu, tetapi kerana usaha menggalakkan gadis-gadis negara itu menuntut ilmu sehingga tertubuhnya universiti khas untuk wanita,” katanya.

Implikasi kesihatan

Pakar Perunding Obstetriks dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj berkata, kebanyakan remaja perempuan yang berkahwin akan hamil dalam usia yang muda dan berhadapan dengan banyak komplikasi dan masalah kesihatan semasa hamil (antenatal), ketika melahirkan (intrapartum) dan juga selepas kelahiran (post-partum).

“Kadar kematian ibu dan bayi juga meningkat dalam kalangan remaja belia yang hamil, bukan sahaja kerana komplikasi semasa proses kehamilan dan kelahiran, malahan juga disebabkan faktor persekitaran yang menyukarkan remaja terbabit mendapatkan kemudahan dan jagaan kesihatan yang optimum,” katanya ketika membentangkan kertas kerja Pernikahan Di Bawah Umur Dari Perspektif Perubatan.

Harlina memberitahu, kelompok itu tidak mendapat nasihat yang tepat mengenai kontrasepsi dan perancangan keluarga di samping kesukaran membeli sendiri ubatan yang diperlukan untuk tujuan tersebut.

“Selain itu, pemakanan yang kurang memuaskan boleh menyebabkan kekurangan zat, kepucatan dan malnutrisi kepada remaja terbabit. Perkahwinan bawah umur juga dikaitkan dengan kadar keganasan rumah tangga yang menyebabkan gangguan kesihatan emosi dan mental remaja itu,” kata Harlina.

Tambah beliau, gadis bawah umur itu terpaksa berhadapan dengan realiti hidup berkeluarga yang memerlukan kemahiran membuat keputusan dan penyelesaian masalah, pengurusan kewangan dan emosi, kematangan serta keupayaan berkomunikasi yang baik.

Capaian entry berkaitan :

* ISU : Kahwin muda (bawah-umur)
* Kahwin : Jangan berlandaskan seks
* Bukan hak milik tetapi anugerah
* Tazkirah : Nafkah batin bukan sekadar keperluan seks




Petikan : Kosmo! 14/02/2011

2 ulasan:

  1. assalamualaikum,

    boleh saya bertanya?

    statistik daripada Jabatan Pendaftaran Negara membuktikan, 152,182 anak tak sah taraf telah direkodkan daripada tahun 2008-2011.

    jika begitu, mengapa pihak kerajaan tidak pernah mempertimbangkan bahawa mereka ini seharusnya diberi kebebasan untuk bernikah, jika mereka sudah saling mencintai, daripada membiarkan mereka terjebak dengan aktiviti yang hina ini?

    Firman Allah dalam surah al-israa, ayat 32:

    “Dan janganlah kamu MENGHAMPIRI zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

    dalam ayat tersebut, Allah melarang kita bukan sahaja melakukan, malah juga MENGHAMPIRI. jadi ini membuktikan apa yang dilakukan kebanyakan pasangan yang bercinta dan berpacaran sekarang ini adalah SALAH.

    malah Prof. Yusof Qaradawi juga mengatakan:

    “saya tidak bersetuju dengan apa yang dilaungkan sesetengah pihak dengan percintaan sebelum perkahwinan. pendapat saya, ia jelas sekali adalah salah dan MENGHAMPIRI zina.”

    bukankah apabila sudah suka, akan ada keinginan untuk bersama? jadi daripada kita membiarkan mereka terus bermaksiat kepada Allah, bukankah lebih baik kita beri mereka kebenaran untuk bersama, jika itu yang mereka inginkan?

    atau sebenarnya pemimpin-pemimpin sedang seronok melihat remaja hari ini yang rosak gara-gara hubungan sebelum pernikahan ini?

    mereka juga pernah melalui zaman remaja, jadi seharusnya mereka memahami perasaan mereka. atau pemimpin ini yang sebenarnya sangat rendah IQ nya untuk memahami perkara ini?

    adakah pemimpin-pemimpin hendak melihat keadaan bila mana pasangan-pasangan tersebut disoal di akhirat, “mengapa kamu masih mendekati zina sedangkan Allah telah melarang kamu?”

    adakah kerajaan mahu mendengar mereka ini menjawab, “Ya Allah, kami sebenarnya sudah ingin menikah, dan ingin berpacaran dengan cara yang halal, tetapi pemimpin dan kerajaan melarang kami. kami tidak mampu berbuat apa-apa.”

    maka pasangan tersebut terselamat, tetapi pemimpin dan kerajaan terpaksa menanggung dosa mereka. itu jika satu pasangan yang berkata sedemikian, cuba bayangkan berapa ramai pasangan yang akan berkata sebegitu?

    jadi kesimpulannya, kenapa kita tidak membiarkan mereka bernikah sahaja, daripada mereka terus bermaksiat?

    kalau mereka tidak mempunyai kemahiran, anjurkan sahajalah program yang boleh mempersiapkan mereka untuk menghadapi alam perkahwinan. beri bantuan kebajikan, motivasi, latihan, kemahiran, seumpamanya. bukannya habiskan duit larang sana, larang sini, tapi tak pernah fikir secara matang. inikah pemimpin Malaysia?

    tetapi, kalau pemimpin negara sanggup menanggung dosa mereka semua,
    yang mana 234,564 anak tak sah taraf direkodkan daripada tahun 2000-2009,
    dan 152,182 anak tak sah taraf lagi yang direkodkan daripada tahun 2008-2010,
    atau secara mudahnya 773492 orang yang BERZINA,
    silakan menanggungnya. semoga kita selamat di akhirat kelak.

    itu sahaja, terima kasih.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum,

    Kerajaan dan penggubal undang-undang tidak wajar dijadikan alasan lambakan bayi tak sah taraf.

    Kita diberi akal untuk membuat pilihan, tetapi pilihan zina yang dibuat, adalah hasil dari desakan nafsu sendiri yang gagal dikawal oleh diri sendiri bukan kerajaan atau penggubal undang-undang. Tidak salah untuk berkahwin ketika bawah umur, bukannya tidak dibenarkan sama sekali, cuma perlu kebenaran mahkamah, itu saja.

    Apa yang lebih dibimbangkan, ke manakah arah pasangan muda ini? Adakah perkahwinan hanya untuk melampiaskan nafsu semata-mata? Adakah mereka betul-betul layak untuk berkahwin? Jangan terkejut, bukan saja poligami, malah monogami pun ada syarat kelayakannya. Jika gagal penuhi kelayakan, hukum asal berkahwin yang harus boleh menjadi makruh atau haram.

    Kemampuan

    Seseorang lelaki dikategorikan sebagai wajib berkahwin apabila mereka mampu dari segi fizikal dan kewangan malah dibimbangi sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina.

    Lelaki yang sunat berkahwin ialah mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan serta mempunyai keinginan untuk berkahwin. Bezanya mereka tidak bimbang akan terlibat dengan zina sekiranya tidak berkahwin.

    Lelaki yang haram berkahwin pula ialah mereka yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin. Haram juga bagi lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk memudaratkan isterinya.

    Lelaki yang tergolong dalam senarai makruh berkahwin ialah mereka yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan untuk berkahwin.

    Lelaki yang harus berkahwin pula ialah mereka yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.

    Mampukah seorang yang masih bersekolah dan serba serbi ditanggung ibu bapa, membebankan keluarga menanggung isteri dan anak-anaknya pula?

    Hanya apabila MAMPU dan bersedia

    Perkahwinan bukan mainan, bukan juga makmal kajian sebaliknya perkahwinan adalah permulaan medan perjuangan untuk melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab anda sebagai suami dan juga isteri.

    Lantas, berkahwinlah apabila anda dan si dia sudah betul-betul bersedia, bukan sebab dipaksa orang tua atau hendak mengelak maksiat dan fitnah semata-mata. Maksiat tidak perlu dielak jika anda tidak dekatinya.

    Terima kasih.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails