“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Februari 15, 2011

Dua dasar bela nasib si kecil


2.5 juta kanak-kanak Malaysia mangsa penderaan seksual

KANAK-KANAK adalah insan kerdil yang perlu ditatang dengan kasih sayang, dilindungi dan sentiasa diberikan perhatian tetapi sedihnya ada antara mereka yang menerima nasib malang kerana dianiaya dan terbabit dalam kancah penderaan seksual.

Amat membimbangkan, apabila ada kenyataan yang menyebut, daripada 10 juta kanak-kanak yang ada di Malaysia, dianggarkan 2.5 juta daripadanya adalah mangsa penderaan seksual! Lebih membimbangkan, kes berkenaan tidak dilaporkan. Itu belum lagi mengambil kira jumlah kes yang dilaporkan dan jika dicampur kedua-duanya, pasti angka itu lebih tinggi serta menimbulkan pelbagai perasaan, termasuk bimbang, sedih, geram dan marah terutama terhadap si pelakunya.

Terdapat beberapa sebab kes penderaan seksual kanak-kanak tidak dilaporkan antaranya kanak-kanak terbabit tidak mengetahui diri mereka menjadi mangsa penderaan seksual, tidak mengetahui bagaimana untuk menceritakan kejadian itu kepada orang lebih dewasa, bimbang mendedahkan perkara berkenaan kerana ia dilakukan ahli keluarga sendiri atau ibu bapa serta penjaga mereka malu untuk tampil ke depan.

Selain itu, ramai yang beranggapan penderaan seksual terhadap kanak-kanak hanya dikatakan berlaku apabila kanak-kanak berkenaan dirogol. Harus diingat, definisi mengenai penderaan seksual kanak-kanak adalah apabila seorang dewasa atau kanak-kanak yang lebih `berkuasa’, menipu, memaksa, menggunakan kekerasan atau mengugut seseorang kanak-kanak lain untuk mengadakan hubungan seksual dengannya.

Hubungan ini turut meliputi perlakuan tanpa sentuhan. Ini merangkumi, perlakuan orang dewasa yang mendedahkan anggota tubuhnya atau menyuruh kanak-kanak berlagak untuk tujuan lucah.

Pakar sosiologi, Prof David Finkelhor, yang juga pengarah bagi sebuah pusat penyelidikan menentang jenayah terhadap kanak-kanak, dilaporkan berkata di Amerika Syarikat pada 1994, sekitar 20% wanita dan 5% hingga 15% lelaki mengalami sejenis bentuk penderaan seksual ketika kanak-kanak.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Meme Zainal Rashid, berkata penderaan seksual terhadap kanak-kanak sememangnya meninggalkan kesan negatif sama ada dari segi fizikal, biologi dan fisiologi.

Beliau berkata, kesan negatif dari segi fizikal termasuklah luka dalam kemaluan, penyakit kelamin dan kemungkinan mengandung manakala kerosakan emosi terhadap kanak-kanak mengambil masa yang lama untuk disembuhkan. Katanya, keadaan menjadi mangsa menjadi lebih serius jika rawatan perubatan serta sokongan psikologi tidak diberikan.

Meme menegaskan, JKM sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu penderaan kanak-kanak, termasuklah kes penderaan seksual. Prosedur terhadap kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan diberi pensijilan MS ISO 9001:2008.

Justeru, katanya, apabila menerima aduan berhubung penderaan seksual, perkara pertama akan dibuat oleh pegawai JKM yang diwartakan sebagai pelindung ialah membuat siasatan serta-merta, tidak melebihi 10 jam untuk memastikan sama ada kanak-kanak itu dikategorikan sebagai kanak-kanak, iaitu berusia bawah 18 tahun, yang memerlukan perlindungan di bawah seksyen 17.

“Jika kes itu sahih, kanak-kanak terbabit akan diselamatkan dan dibawa ke hospital bagi tujuan pemeriksaan. Pegawai Pelindung akan mendapat perintah sementara dalam tempoh 24 jam daripada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak supaya kanak-kanak itu ditempatkan di tempat selamat atau diserahkan kepada orang yang layak dan sesuai,” katanya.




Meme berkata, sehingga kini kes penderaan seksual kanak-kanak yang dirujuk kepada JKM terdiri daripada kes sumbang mahram, rogol, cabul seks luar tabie dan terdedah kepada bahaya moral seperti pelacuran.

Mengikut statistik JKM, sebanyak 2,279 kes penderaan dilaporkan pada 2007; 2,780 kes pada 2008 dan 2,789 kes pada tahun berikutnya. Setakat Oktober 2010 saja, sebanyak 1,790 kes penderaan dilaporkan kepada JKM merangkumi kes penderaan fizikal, seksual, emosi dan sumbang mahram.

Kata Meme, pelbagai usaha diambil bagi memastikan keselamatan dan kebajikan serta hak kanak-kanak di negara ini terpelihara. Sehubungan itu, JKM melaksanakan dua dasar teras untuk kanak-kanak iaitu Dasar Kanak-Kanak Negara (DKKN) dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak (DPKK) berserta dengan Pelan Tindakan. Kedua-dua Dasar ini diluluskan oleh Kabinet pada 29 Julai 2009.

“DKKN adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation) kanak-kanak supaya mereka dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.”

“DPKK pula adalah satu dasar khusus bagi memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Penekanan diberikan kepada sistem saringan ke atas pekerja yang berurusan terus dengan kanak-kanak seperti pemandu bas sekolah, pekerja di kantin, penyelia asrama, tukang kebun sekolah, pengawal keselamatan dan pekerja di institusi kanak-kanak,” jelasnya.

Katanya, program pencegahan di peringkat komuniti turut diketengahkan seperti menyediakan perkhidmatan kaunseling di peringkat negeri dan daerah sebagai satu usaha untuk memberi bimbingan serta khidmat nasihat kepada mangsa yang masih trauma dengan kejadian yang menimpa mereka. Bengkel interaktif membabitkan keluarga dan kanak-kanak pula dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab serta peranan terhadap penjagaan kanak-kanak selaras dengan keperluan Akta Kanak-Kanak 2001.

JKM juga menubuhkan Majlis Penyelaras bagi Perlindungan Kanak-Kanak bertujuan mendidik masyarakat melalui pewujudan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak selaras dengan keperluan Sub Seksyen 7(1) Akta Kanak-Kanak 2001, yang menyatakan bahawa Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak hendaklah ditubuhkan di seluruh Malaysia. Memantapkan usaha, JKM mewujudkan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK), yang bertujuan menyelaraskan perkhidmatan setempat kepada keluarga dan kanak-kanak jika kanak-kanak memerlukan atau disyaki memerlukan perlindungan. Sehingga kini, terdapat 131 buah PPKK diwujudkan di seluruh Malaysia.

Begitu juga dengan perkhidmatan 24 jam sehari Talian Nur 15999 yang menyediakan kemudahan kepada masyarakat untuk membuat laporan pada bila-bila masa berhubung dengan sebarang masalah yang memerlukan bantuan. Terkini, Childline diwujudkan sebagai perkhidmatan telefon khas untuk menyalurkan sebarang pertanyaan, laporan dan aduan mengenai kanak-kanak. Childline ini dilancarkan sempena dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia pada November tahun lalu.

Meme berkata, tidak kira peringkat usia, semua mangsa penderaan seksual mengalami trauma dan memerlukan pemerhatian serta pengurusan yang rapi daripada JKM. Lebih menyukarkan keadaan, katanya, apabila ada keluarga yang menghalang usaha Pelindung JKM menyelamatkan kanak-kanak terbabit. Malah, ada keluarga yang malu untuk membuat laporan polis berhubung dengan penderaan seksual apabila pelaku adalah ketua atau ahli keluarga mereka.

“Hasrat JKM untuk menjadikan sifar penderaan seksual tidak akan menjadi kenyataan tanpa kerjasama semua pihak. Memberikan perlindungan kepada kanak-kanak bukan lagi isu yang bersifat peribadi tetapi menjadi isu masyarakat. Justeru, saya menyeru masyarakat berani tampil ke hadapan bagi membantu mengatasi masalah penderaan seumpama itu kerana kanak-kanak yang didera sentiasa menghantar isyarat penganiayaan terhadap mereka. Peka dan prihatin terhadap anak yang berada di sekeliling kita. Keselamatan kanak-kanak adalah di tangan kita yang dewasa” katanya.



Trauma mangsa penderaan

RAWATAN kepada mangsa penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak, khususnya membabitkan mereka berusia bawah empat tahun mempunyai beberapa cabaran. Ini kerana lazimnya, kanak-kanak usia sedemikian tidak dapat memberikan penerangan yang tepat dan jelas terutama sejarah kejadian, tidak dapat mengenali pelaku dan gagal memberikan butir terperinci serta beberapa perkara lain boleh dijadikan bukti.

Pakar Perunding Kanak-kanak dan Remaja, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datin Dr Sheila Marimuthu, berkata dalam hal ini bantuan pakar psikiatri, psikologi dan ‘play teraphy’ diperlukan ketika rawatan dijalankan.

Dr Sheila berkata, reaksi yang ditunjukkan kanak-kanak usia seperti itu ketika rawatan ada kala menunjukkan tingkah laku biasa dan seolah-olah, tiada apa-apa yang berlaku. Berbanding, mangsa yang berusia remaja atau berusia 10 tahun ke atas, mereka lebih mudah untuk memberitahu apa yang sudah berlaku.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana kanak-kanak berusia bawah empat tahun tidak faham apa yang sebenarnya berlaku kepadanya tetapi dalam keadaan penderaan seksual yang begitu traumatik dan tragik, keadaan emosi kanak-kanak itu akan teruk terganggu.

“Mereka mungkin menangis, dalam keadaan terkejut, tidak mahu bercakap langsung, tidak mahu tidur kerana takutkan mimpi buruk dan sebagainya. Apabila ini berlaku kita perlu berikan masa kepada mereka,” kata Dr Sheila.

Beliau berkata, reaksi atau maklum balas mangsa penderaan seksual sepanjang rawatan umumnya berbeza-beza dan selain faktor usia, ia juga tertakluk cara atau situasi kejadian dialami. Ini bermakna, lebih teruk atau lebih tragik penderaan seksual itu , lebih teruk trauma yang dihadapi mangsa.

Misalnya, mangsa penderaan seksual yang dirogol beramai-ramai mungkin mengalami trauma teruk dan begitu juga bagi mangsa yang dipukul serta didera dengan pelbagai cara menyakitkan, sehingga meninggalkan kesan pada tubuh atau mencederakan bahagian anggota lain selepas kejadian itu.

“Jangka masa rawatan kepada mangsa terpulang kepada reaksi yang ditunjukkan mereka. Ada yang mungkin mengambil masa panjang dan ada masa singkat,” katanya.

Dr Sheila berkata, dalam setahun kira-kira 3000 kes penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak dan remaja dirujuk di hospital itu. Antara kes penderaan seksual itu ialah sumbang mahram, pencabulan, rogol, rogol berkanun, liwat dan pornografi seksual.

Katanya, kes rogol berkanun iaitu yang membabitkan remaja berusia bawah 16 tahun dan pasangan sebaya atau lingkungan usia hampir sama adalah paling banyak diterima setakat ini.

“Pasangan berkenaan selalunya kenal mengenali dan suka sama suka antara satu sama lain tetapi disebabkan pergaulan tidak terbatas maka berlakulah hubungan seksual. Mereka ini kebanyakan tidak tahu risiko besar bakal dihadapi. Mangsa iaitu remaja perempuan biasanya akan menunjukkan perasaan sedih dan tertekan apabila pasangannya disoal siasat polis. Ada juga yang berasa amat bersalah,” kata Dr Sheila.

Kes kedua paling tinggi ialah pencabulan, diikuti kes sumbang mahram. Kes pencabulan lazimnya membabitkan perbuatan pelaku memasukkan jari ke dalam kemaluan kanak-kanak terbabit atau memegang dan meraba mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak. Ada juga pelaku membuka seluar atau pakaian mangsa. Penderaan seksual seumpama itu lebih banyak dialami mangsa kanak-kanak perempuan manakala kanak-kanak lelaki pula dipaksa menghisap zakar pelaku.

“Dalam banyak kes penderaan seksual, kanak-kanak perempuan menjadi mangsa paling ramai iaitu 85% berbanding kanak-kanak lelaki yang mencatatkan 15%. Kes cabul kebanyakan membabitkan mangsa berusia antara tiga tahun dan lima tahun dan kejadian mungkin berlaku di rumah pengasuh, rumah jiran dan rumah sendiri,” katanya lagi.

Dr Sheila berkata, kes penderaan seksual kanak-kanak dan remaja dirujuk ke HKL adalah kes sama ada yang dibawa oleh pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pun ibu bapa mangsa sendiri. Setiap kes dirujuk akan dibawa ke bilik kecemasan One Stop Crisis Centre (OSCC) untuk pemeriksaan dan rawatan awal.

“Pemeriksaan dibuat oleh doktor terhadap mangsa dilakukan secara sukarela, tiada paksaan sama sekali. Ketika rawatan, sejarah klinikal diambil dan laporan polis akan dibuat jika ia belum dibuat lagi. Kebanyakan mangsa akan memberikan kerjasama apabila pemeriksaan ingin dilakukan. Bagi remaja, mungkin tiada banyak masalah, khususnya perempuan akan lebih mudah bercerita dan meluahkan apa yang dialami. Tetapi bagi kanak-kanak, bius akan diberikan supaya mereka tertidur bagi membolehkan doktor menjalankan pemeriksaan dengan terperinci,” jelasnya.

Bagi mengurangkan penderaan seksual kanak-kanak dan remaja, khususnya yang membabitkan kes rogol berkanun, Dr Sheila menyarankan, ibu bapa bersikap lebih terbuka dengan anak mereka mengenai pendidikan seksual dan sering membincangkan batas pergaulan sosial dengan teman.

INFO: Penderaan seksual merujuk kepada segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan untuk memenuhi nafsu seks orang dewasa, melalui pornografi, gambar, perakam, suara, filem, perakam video atau mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak. Ini merangkumi:

1. Memasukkan objek atau bahagian tubuh ke dalam faraj, mulut atau dubur.
2. Menyentuh bahagian sulit.
3. Menunjukkan bahan lucah kepada kanak-kanak.
4. Mengambil gambar kanak-kanak dalam aksi seksual.
5. Menggalakkan kanak-kanak menonton atau mendengar aksi seksual.
6. Membuat panggilan telefon lucah,
7. Merogol.
8. Melakukan seks oral.
9. Meliwat.
10. Melacurkan.
11. Mengintai.
12. Mencium.
13. Mengusap.
14. Mempamerkan aksi lucah.

INFO: Kesan yang mungkin dialami kanak-kanak mangsa penderaan seksual:

i) Traumatik
Merujuk kepada proses seksualiti kanak-kanak seperti perasaan dan pandangan mereka terhadap seks yang dibentuk dalam keadaan tidak sempurna. Mereka berasa takut dan benci kepada orang yang mempunyai ciri yang sama dengan pelaku. Mangsa akan terbayang dan teringat perlakuan dibuat kepadanya menjadikan pembangunan diri mereka terencat.

(ii) Pengkhianatan
Mangsa tidak akan percaya terhadap orang yang lebih dewasa kerana berasakan orang yang lebih dewasa akan mudah mengambil kesempatan terhadap mereka. Justeru, mereka akan mudah berurusan dengan rakan sebaya. Keadaan yang berlaku juga menjarakkan lagi hubungan kekeluargaan menjadikan masalah yang dihadapi sukar diatasi.

(iii) Gangguan perasaan
Berasa malu, rendah diri dan sering menyalahkan diri sendiri terhadap apa yang berlaku. Sering berasa keliru dengan apa yang berlaku dan memendam perasaan.

(iv) Masalah pembelajaran dan komunikasi
Suka ponteng sekolah, tidak berminat dalam pelajaran, tidak fasih dan lancar berbahasa atau penguasaan bahasa yang lembap dan mengalami kesukaran untuk berkomunikasi.

(v) Masalah tingkah laku
Mudah tersinggung, sensitif, kurang daya tahan, ego, pasif, pendiam, agresif, pemarah, hilang keyakinan diri dan tidak suka bergaul dengan teman sebaya. Mudah termakan pujuk rayu dengan orang yang dirasakan menyayangi diri mereka. Mereka juga suka lari dari rumah dan kurang mempunyai sikap menghormati diri sendiri.

(vi) Gangguan sistem saraf
Kencing waktu malam, sering didatangi mimpi buruk hingga menyebabkan tidur mereka terganggu. Tidak lawas buang air kecil dan hilang selera makan. Kesan ini lebih dirasakan kepada kanak-kanak yang lebih berusia berbanding dengan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

INFO: Tanda kanak-kanak didera secara seksual:

Bahagian fizikal
1. Kemaluan atau dubur menjadi merah atau gatal.
2. Rasa sakit atau luka di kemaluan atau dubur.
3. Rasa sakit ketika membuang air kecil.
4. Lelehan daripada faraj atau zakar.
5. Rasa sakit di bahagian abdomen.
6. Penyakit kelamin.
7. Sakit kerongkong psikomatik.
8. Mengandung.

Tanda psikologi
1. Sakit kepala, perut, dada dan rasa penat.
2. Insomnia.
3. Sering menangis.
4. Histeria.
5. Takut yang tidak ketentuan.
6. Kurang tumpuan.
7. Hilang selera makan.
8. Rasa rendah diri.

Tingkah laku
1. Suka berpaut, takut balik ke rumah atau takut pada orang tertentu.
2. Kerap berkhayal.
3. Berperangai kebudak-budakan.
4. Menghisap ibu jari.
5. Melarikan diri dari rumah.
6. Menyalahgunakan arak dan dadah.
7. Cuba membunuh diri.
8. Kemurungan.
9. Takut pada sentuhan dan mengelak kasih sayang.




Artikel oleh Nor Affizar Ibrahim [affizar@bharian.com.my] di BHarian 15/02/2011

Capaian entry berkaitan :
* Budak perempuan mati selepas 4 hari kahwin
* Lelaki makin ganas
* Dilema penderaan kanak-kanak
* Poligami banyak menganiaya anak-anak
* Fantasi seks penghidap parafilia

2 ulasan:

  1. nasib si kecil ini harus dibela... dan dijaga dengan penuh kasih sayang bukannya jadi pemuas nafsu..

    BalasPadam
  2. @Zik

    Ya... manusia semakin hari menjadi semakin semakin pelik dan tidak bertamadun...

    Adakah ini tanda2 akhir zaman?

    Semoga anak-anak kecil ini dijauhi dari penghidap parafilia....

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails