Assalamualaikum warahmatullah,
SIFAT orang beriman ialah meyakini bahawa segala ketentuan baik atau sebaliknya adalah kehendak Maha Esa. Semua yang tertulis dalam qada dan qadar Allah tetap akan berlaku tanpa boleh disangkal oleh sesiapapun.
Allah menyebut dalam hadis Qudsi daripada Baginda SAW yang bermaksud: “Wahai anak Adam, kamu inginkan sesuatu, aku juga inginkan sesuatu. Jika kamu menerima segala ketentuan-Ku, kamu akan selamat. Jika sebaliknya, kamu akan penat dan kecewa dan tidak akan berlaku melainkan apa yang aku kehendaki.”
Setiap umat akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa sama ada dari segi bilangan kuantiti, kaya, miskin, jahil, berilmu, maju atau mundur. Semuanya akan menjalani proses perubahan mengikut usaha masing-masing. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri yang akan mengubahnya.”
Imam Masjid Nabawi Madinah, Syeikh Solah Al-Badir, berkata umat manusia hari ini melalui zaman sukar kerana kerosakan berlaku saban hari, fitnah, penipuan dan salah laku di depan mata. Katanya, umat yang peka dan bijak akan terus bangkit dari mimpi indah setelah jatuh atau menjadi mangsa kezaliman sesuatu pihak walaupun terpaksa membayar ganjaran yang besar.
“Sesungguhnya kita dituntut mengorak langkah ke arah perubahan yang positif mengikut neraca agama Islam berpaksikan al-Quran dan sunnah Baginda SAW. Dunia mesti dipandu oleh petunjuk Ilahi bagi memastikan akidah, akhlak, ekonomi, politik serta kehidupan akan menjadi teratur bagi menghadapi cabaran dunia hari ini,” katanya.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya bumi ini adalah milik Allah dan dia akan memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki dalam kalangan hambanya.” (Surah Al-A’raf, ayat 128)
Syeikh Solah berkata, pemulihan sebenar bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam atau bersifat ikut-ikutan, tetapi datang hasil cetusan iman yang mantap serta akidah yang benar. Cendekiawan menyebut, sesiapa tidak menimbang perbuatan serta keadaan dirinya dengan kitab dan sunnah, dia sudah terkeluar dari kamus lelaki sejati.
Oleh itu, umat Islam haruslah mengembalikan kehidupan sebenar dengan menguruskan dunia dengan agama serta berani melakukan perubahan berpandukan apa yang dianjurkan agama.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang memilih selain dari Islam sebagai agama dan cara hidup, maka tidak akan diterima daripadanya. Pada hari akhirat kelak dia tergolong daripada orang yang rugi.” (Surah Al-Imran, ayat 85)
Sepatutnya umat atau masyarakat mestilah merujuk kepada ulama yang ikhlas dan ahli ilmu disegani serta meminta pandangan mereka dalam sesuatu perkara kerana mereka adalah tunggak kekuatan dan penyambung warisan Baginda SAW.
Mereka juga paling hampir dan diiktiraf Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling takut dengan Allah SWT ialah ulama dan Allah Maha Mulia lagi Maha Pengampun.” (Surah Fatir, ayat 28)
Penulis, Zamanuddin Jusoh ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)
Petikan : BHarian 18/0/2011
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Jumaat, Februari 18, 2011
Ummah kena berani buat perubahan berpandukan ajaran Islam
Susunan :
Bawang Goreng
pada
2/18/2011 02:38:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...