“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Februari 05, 2011

Cinta remaja


Ibu bapa jangan biarkan anak hanyut

JATUH cinta pada usia masih hingusan? Tindakan susulan apabila anak mulai gila bayang, adakah perlu dimarahi, dilarang atau tindakan drastik, pisahkan cinta mereka?

Tidak dinafikan ramai ibu bapa, gusar apabila si kecil yang dulunya mendengar kata, kini hanya pandai mendengar kata kekasih hati. Hakikatnya, cinta dan manusia tidak boleh dipisahkan. Jiwa boleh memberontak kerananya, lantaran manusia dilahirkan bersama perasaan itu. Apabila anak remaja mulai menunjukkan rasa suka pada lawan jenis, ibu bapalah yang patut menjadi orang pertama mengetahuinya.

Ini kerana ia boleh membawa kepada perubahan tingkah laku, yang kadangkala sukar dijangka apabila ia kelihatan lebih kepada perbuatan memberontak yang berlaku lantaran keadaan mental kurang stabil, ditambah dengan banyak hal yang ingin mereka ketahui dan lakukan. Lebih tepat, sifat mencuba yang selalu dianggap orang tua sebagai berlebih-lebihan atau mengada-gada.

Secara normal, menyukai lawan jenis akan dialami saat anak memasuki usia baligh kira-kira 12 tahun, tetapi ada juga yang lebih muda daripada usia berkenaan.

Pakar motivasi dan sosiologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, menyatakan cinta dibahagikan kepada tiga peringkat. Peringkat pertama berlaku pada anak di bawah usia 12 tahun dan tarikan utama menjurus kepada rupa paras semata-mata.

Peringkat kedua pada usia 25 tahun ke bawah dan ia cenderung membabitkan aliran semasa. Kalau kawan ada teman wanita, anak ini akan rasa terpinggir dan dianggap tidak mengikut aliran. Oleh itu, remaja ini akan seboleh mungkin mencari kenalan dengan mengurat biar pun dia tidak pasti hala tuju perhubungan serta kedudukan ekonomi masa depannya.

“Pada peringkat ini, perlu bagi ibu bapa memainkan peranan, dengan membantu dan mengambil tahu. Anak tidak harus berlebih-lebihan atau membabi-buta dalam hal ini sebaliknya perlu sedar tanggungjawab lain untuk menjadi insan berjaya,” katanya.

Panduan daripada ibu bapa amat diperlukan kerana kejujurannya menilai permata hatinya. Lagipun remaja belum terdedah dengan persekitaran luar atau dengan kata lain skop hidupnya sempit. Mereka cenderung memikirkan pasangannya saja terbaik tanpa memikirkan bahawa hidup ada matlamat dan pegangan ekonomi kukuh menerusi pendidikan tinggi amat diperlukan.

Ikatan cinta di usia berkenaan jarang sekali berkekalan. Apabila tamat sekolah dan bekerja, mereka baru sedar bahawa hidup ini lebih daripada cinta, sebaliknya memerlukan pekerjaan tetap untuk menyara hidup, selain mungkin menemui orang lain yang lebih sempurna untuk dijadikan teman hidup.

Tegasnya, ibu bapa tidak boleh membiarkan anak terus hanyut akibat cinta dengan memikirkan itu adalah ‘aliran’ moden. Sebaliknya perlu ada inisiatif bertanya dan mengenal rakan anak.

“Tidak salah jika ibu bapa mengenali rakan anak dan jika ada rakan yang ingin membawa keluar anak gadis anda, tetapkan syarat seperti tidak boleh pergi berdua-duaan. Kita tegaskan kepada mereka apakah keperluan untuk keluar rumah berdua tanpa ikatan sah?”

“Pada pandangan saya, ibu bapa perlu ada ilmu mendidik anak. Nabi pernah berpesan, didiklah anak kamu mengikut zamannya membesar. Jangan kita samakan antara zaman kita dengan zaman sekarang. Zaman dulu kalau tidak tahu kita hanya kunci mulut, tetapi sekarang kalau anak remaja ingin mengetahui sesuatu perkara, mereka boleh dapatkannya menerusi internet. Kita khuatir maklumat di laman siber tidak tepat dan bertentangan dengan nilai dan agama,” katanya.

Menangani cerita hati anak remaja, ibu bapa hanya ada dua pilihan. Pertama bertindak mengambil tahu dengan membantu atau diam tanpa peduli.

“Ibu bapa perlu bersedia, bersikap terbuka mendengar isi hati anak. Bersikap terbuka bukan menghalalkan segala perkara sebaliknya berilah ruang perbincangan dengan memberikan mereka contoh serta senario bagaimana jika jatuh cinta awal atau berkahwin awal, termasuk implikasinya akan dihadapinya kalau belum benar-benar bersedia.”

“Jangan pula kita marah atau cuba pisahkan anak itu dengan ‘kekasihnya’ kerana anak akan memberontak selain tidak menghormati cara kita bertindak,” katanya.

Dengar anak, beri panduan

“SEJAK dari kecil, nasihat pertama kami sebagai ibu bapa ialah hormati prinsip diri dan hargai diri sendiri serta jaga maruah diri. Jika kita tidak menghargainya, tidak akan ada orang yang akan menghargainya. Selama ini rakan lelakinya sangat menghormati beliau, termasuklah kami, keluarganya sendiri dan orang di sekelilingnya.”

“Ketika kami tinggal di luar negara hampir semuanya mempunyai sikap yang baik, berbudi bahasa dan tidak mengambil kesempatan. Kami boleh merasakan yang sikap mereka ini bukanlah dibuat-buat kerana kami percaya jika ia dibuat-buat atau tidak ikhlas, kami akan dapat melihat perubahan pada sikap anak kami sendiri,” kata ibu, Jenni Aznah Ahmad, 40, berhubung anaknya gadisnya Amy Christina Gunn Abdullah 16.

Katanya, Amy beberapa kali dilamun cinta tetapi tidak berkekalan lantaran tugas suaminya memaksanya sekeluarga kerap berpindah-randah. Beliau dan suami mengetahui malah sentiasa prihatin dan akan cuba mengawasi sebaik mungkin setiap langkah anaknya, supaya boleh dibentuk untuk menjadi lebih dewasa dalam menilai sikap seseorang yang ingin dikenalinya atau yang mahu mengenalinya sama ada mereka ingin mendekatinya secara ikhlas atau mempunyai agenda lain yang tersendiri.

“Sejak kecil saya sudah biasakan dirinya untuk berterus terang dan berkomunikasi antara satu sama lain. Dia jarang merahsiakan apa-apa pun daripada kami, termasuklah hal peribadi.”

“Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh menolak hukum alam dan sifat manusia untuk berkasih. Walaupun anak kami baru saja memasuki alam remaja, kami tidak menghalang beliau daripada mengenali seseorang. Namun begitu, walau sesibuk mana sekali pun, kami tidak pernah alpa dan berhenti daripada memberikannya nasihat, pandangan dan semangat untuknya belajar dengan lebih baik lagi.”

“Adalah lebih baik untuk ibu bapa mengenali dengan siapa anak mereka bersahabat atau bercinta bagi mengelakkan sesuatu yang tidak manis berlaku,” katanya.

Ujarnya, kebiasaannya beliau dan suami akan mengambil inisiatif untuk mengenali rakan anaknya, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, termasuklah mengenali keluarga mereka juga.

Jika Amy mempunyai rakan lelaki, Aznah juga sentiasa memantau persahabatan mereka dengan mengambil berat hal mereka iaitu dengan berbual-bual untuk mengenalinya dengan lebih mendalam dan memberikan nasihat serta pandangan berhubung pentingnya pelajaran dalam kehidupan setiap orang untuk kesenangan mereka sendiri di masa depan selain pentingnya menghormati khususnya ibu bapa dan tidak melanggar batas berkawan.

“Jika kita sentiasa memberikan peringatan dan nasihat positif, saya pasti anak itu sendiri akan berasa lebih bertanggungjawab dan akan cuba menjauhi hal yang tidak manis dan kurang elok. Bersosial boleh, tetapi ada batasannya dan jika kedua-duanya masih bersekolah, pastikan mereka membantu secara positif dan sentiasa menyokong antara satu sama lain dari segi pelajaran dan berfikir untuk masa depan supaya mereka dapat meraih kejayaan bersama-sama.”

“Kalau ada rakannya yang ingin mendampingi secara rapat tetapi mungkin tidak sesuai lantaran baran umpamanya, tetapi dia tidak mendengarnya, kami tidak akan berasa kecewa tetapi kami akan memberitahu secara jujur jika kami tidak menggalakkanya kerana ia bersebab. Kami juga akan memberikannya ruang serta waktu untuk berfikir dan kami akan memberikan alasan yang jujur, tepat serta padat mengapa seseorang itu tidak sesuai untuknya,” katanya.

Aznah berkata, dalam membantu remaja, jangan hanya mengharapkan anak mempunyai pegangan agama bagi menepis perbuatan keji sebaliknya ibu bapa tidak mengabaikan kehendak sosial anak dengan menunjuk dan membantu mereka dengan sikap baik lagi terpuji.

“Sentiasa dampingi anak anda dan jika perlu, ‘dampingi’ temannya juga, supaya anda boleh mengawal keadaan jika berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Dengar masalah mereka dengan ikhlas. Jangan cepat memotong percakapan, melatah atau memberikan hukuman tanpa mendengar rintihan mereka.”

“Jika mereka melakukan kesalahan, tidak kira kecil atau besar, beri mereka peluang untuk menjelaskannya dan berikanlah mereka nasihat dengan baik serta peluang memperbaiki diri mereka supaya kesalahan yang sama tidak berulang,” katanya.

Cungkil rahsia cinta usia muda

1. Jadi sahabat anak

‘Mengorek’ kisah cinta anak-anak tidak semudah disangka kerana mereka bukan lagi anak kecil bertatih, yang sentiasa memerlukan anda di sisi. Pada usia sedemikian, rata-rata anak remaja selesa bercerita dengan rakan sebaya. Cerita hatinya mungkin tidak sepenuhnya dikhabarkan kepada anda. Tetapi usahlah anda tergesa-gesa atau terlalu mendesak. Kalau anak anda enggan bercerita, anda perlu memulakan langkah ‘menyelitkan’ nasihat seperti `Kalau Mimi suka kepada seorang budak lelaki, usahlah sampai lupakan mak dan abah”.

2. Utamakan pelajaran

Prestasi pelajaran, kayu pengukur utama tumpuannya di sekolah. Jika ada kemerosotan, anda perlu bertanya kepadanya berhubung masalah dihadapi. Begitu juga dengan kerja rumah. Jika anak anda culas membuat kerja rumah, sebaliknya leka berkumpul dengan kawan atau memerap dalam bilik, tanya situasi dihadapinya ketika itu.

3. Beri aktiviti

Alihkan tumpuan cintanya. Anda mungkin boleh menghantarnya ke kelas seperti bahasa asing, muzik atau kegiatan lain yang lebih bermanfaat. Waktu senggang tanpa sebarang aktiviti memungkinkan anak remaja leka dengan perkara tidak berfaedah.




Sumber : Nor Afzan Mohamad Yusof [afzan@bharian.com.my] di BHarian 29/01/2011

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails