“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Jun 16, 2011

Jual organ bayar hutang suami

SURIRUMAH dari Kulaijaya yang trauma dengan ugutan syarikat peminjam wang nekad mahu menjual buah pinggang dan kornea matanya pada harga RM1 juta bagi menyelesaikan hutang suaminya. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Wanita tawar buah pinggang, sebelah kornea mata pada harga RM1 juta

JOHOR BAHRU: Trauma diancam samseng pengutip hutang yang dihantar sebuah syarikat kewangan berlesen bagi menuntut hutang ditanggung suaminya, seorang ibu muda dari Kulaijaya di sini, mahu menjual buah pinggang dan kornea matanya pada harga RM1 juta.
Hasrat wanita berusia 35 tahun itu terbongkar ketika dia mengunjungi pejabat Bahagian Pengiklanan, The New Straits Times Press (NSTP) di Bandar Baru UDA di sini, untuk membeli ruangan bagi mengiklankan jualan sebiji buah pinggang dan kornea sebelah matanya.

Beliau mahu menjual dua organ berkenaan kepada sesiapa saja yang berminat membayar jumlah terbabit, tanpa menyedari perbuatannya adalah menyalahi undang-undang.

Ibu kepada seorang bayi berusia 19 bulan itu, berkata dia nekad mahu menjual organ berkenaan kerana tidak tahan lagi menanggung beban hutang selepas suaminya meminjam dengan sebuah syarikat kewangan berlesen di Kuala Lumpur yang mengenakan faedah sehingga RM6,000 sebulan.

Katanya, suaminya mendapat pinjaman RM30,000 daripada syarikat terbabit selepas seorang rakan menjanjikan kontrak menambak tanah di Terminal Pengangkutan Tambang Murah (LCCT) dekat Sepang, yang perlu disiapkan dalam tempoh dua bulan sebelum Ramadan tahun lalu.

“Suami saya diminta menyediakan 100 hingga 200 lori untuk projek itu menyebabkan dia teruja dan mula berusaha menyediakan lori yang dikehendaki dengan melayari laman web sebelum menemui dua lelaki yang mendakwa mampu menyediakan pengangkutan terbabit.
“Yakin mendapat projek itu, suami saya meminta bantuan abangnya di Kuala Lumpur untuk menguruskan pinjaman dengan syarikat kewangan terbabit dan berjanji membayar RM15,000 sebulan serta ‘duit kopi’ RM6,000 setiap bulan sehingga projek diselesaikan dalam masa dua bulan,” katanya.

Katanya, selepas sebulan berlalu, lori dijanjikan dua lelaki yang dikenali menerusi iklan laman web itu gagal diperoleh, meskipun sudah membayar mereka RM3,000.

“Pada akhir bulan pertama itu, suami saya memulangkan kembali wang pokok RM15,000 serta faedah sebanyak RM6,000, tetapi selepas ini suami sudah kehabisan wang untuk membayar mereka sedangkan baki hutang mula membiak dengan faedah yang dipersetujui dengan syarikat itu.

“Suami saya gagal mendapat projek menambak tanah terbabit dan sejak itu kehidupan kami sekeluarga mula dilanda kebimbangan apabila pengutip wang mula datang ke rumah abang ipar selaku penjamin serta rumah keluarga kami di Kulaijaya.

“Nak makan pun saya tidak ada duit, mujur seorang rakan meminjamkan wang untuk suami yang membolehkan beliau mengusahakan gerai roti canai di Kuala Lumpur dan berhasil membayar RM500 sebulan sepanjang Januari hingga April tahun ini. Namun, masih tidak cukup, kereta juga sudah ditarik bank dan rumah sewa di Kuala Lumpur juga sudah tiga bulan tidak dibayar.

“Namun, mereka (pengutip hutang) tetap datang meminta kami menjelaskan baki bayaran dan sehingga kini faedahnya tidak pernah berkurangan. Saya dan suami kini tersepit apabila diburu pengutip hutang syarikat,” katanya.

Katanya, beliau mengambil keputusan menjual organ itu kerana mahu membina hidup baru walaupun hasrat itu tidak diberitahu suaminya.




Petikan : BHarian 16/06/2011

1 ulasan:

  1. Peminjam along enggan tampil ~ BHarian 17/06/2011

    Syarikat pinjaman wang berlesen tak patuh syarat sukar diambil tindakan

    KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengakui ada syarikat pemberi pinjam wang berlesen menjalankan aktiviti seperti along dengan mengenakan kadar faedah tinggi dan mengugut peminjam, sekali gus gagal mematuhi perjanjian dan syarat lesen.

    Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Chor Chee Heung, berkata sikap peminjam yang enggan tampil memberi maklumat menyukarkan pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap syarikat berkenaan.

    “Perkembangan semasa menyebabkan ada juga pemberi pinjam wang berlesen melakukan perkara sama seperti along,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

    Chor berkata, orang ramai perlu berhati-hati berurusan dengan syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dengan memastikan ia dibuat mengikut undang-undang, selain kedua-dua pihak menandatangani surat perjanjian ditetapkan mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).

    Katanya, wakil syarikat pemberi pinjam wang berlesen tidak boleh mengunjungi kediaman atau premis peminjam dan tidak boleh menghubungi peminjam menerusi telefon selepas waktu kerja.

    Kementerian menetapkan faedah 18% setahun bagi pinjaman tidak bercagar dan 12% bagi pinjaman bercagar.

    Kadar faedah tinggi menyalahi Seksyen 17(A)(4) Akta 400 yang menetapkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau 18 bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika kes berulang.

    Syarikat pemberi pinjam wang juga melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29 akta sama jika mengunjungi premis peminjam dan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 15 bulan atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kes berulang, hukuman sebat dikenakan.

    Syarat lesen juga memperuntukkan syarikat pemberi pinjam wang boleh mengenakan faedah tambahan lapan peratus setahun yang dikira setiap hari selama 28 hari jika peminjam gagal melunaskan pinjaman sebelum menghantar notis pembatalan perjanjian dan kemudiannya mengambil tindakan undang-undang.

    Akhbar semalam melaporkan seorang wanita berhasrat menjual buah pinggang dan kornea matanya pada harga RM1 juta kerana trauma diancam samseng pengutip hutang yang dihantar syarikat pemberi pinjam wang berlesen.

    Mengulas lanjut, Chor berkata, sehingga akhir tahun lalu, kerajaan mengeluarkan 2,757 lesen pemberi pinjam wang di Semenanjung, manakala 459 lesen di Sabah dan Sarawak.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails