“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Jun 23, 2011

Khunsa ada hak, bahagian dalam agihan harta pusaka


Undang-undang Pusaka Islam ada kaedah pastikan sebagai waris lelaki atau perempuan

PERBINCANGAN mengenai waris terhalang, golongan waris terdinding dan hak janin sudah dibincangkan dalam siri terdahulu. Siri kali ini mengupas permasalahan golongan istimewa dan khunsa dalam konteks pewarisan Islam.

Siapakah yang tergolong dalam kategori ini, apakah hak mereka dan bagaimana menentukan bahagian mereka. Perbincangan mengenai khunsa satu perbincangan sensitif bagi masyarakat secara umumnya.

Mengetahui anak mereka adalah khunsa, ramai ibu bapa lebih rela merahsiakan daripada membincangkannya. Walhal, bayi itu akan membesar dan berada dalam kalangan masyarakat seperti kewujudan manusia lain. Oleh itu, kebajikan mereka juga perlu dititikberatkan.

Khunsa, berasal dari perkataan Arab yang bererti lembut. Menurut Kamus Dewan, orang yang mempunyai dua alat kelamin. Golongan istimewa ini Allah ciptakan sebagai sebahagian bukti kekuasaan Allah. Mereka mempunyai ciri fizikal dan naluri istimewa sejak lahir.

Dari segi fiqh Islam, golongan khunsa terbahagi kepada dua, khunsa musykil iaitu khunsa yang diragui dan khunsa ghair musykil atau khunsa yang tidak diragui.

Khunsa musykil adalah khunsa yang tidak langsung dapat dipastikan jantinanya kerana mereka dilahirkan tanpa sebarang alat kelamin dan hanya punyai alat untuk membuang air kecil.

Khunsa ghair musykil pula, dapat dipastikan keterampilan mereka sama ada menjurus kepada perempuan atau lelaki melalui tanda-tanda fizikal atau dipastikan jantina secara klinikal. Harus dari sudut hukum syarak bagi khunsa ghair musykil untuk berkahwin tetapi haram bagi khunsa musykil untuk berkahwin.

Khunsa kes terpencil tetapi Islam dengan syariatnya yang syumul meliputi seluruh aspek kehidupan manusia, tetap tidak meninggalkan perbahasan mengenai perkara ini.

Undang-undang Pusaka Islam menentukan hak mempusakai harta pusaka kepada beberapa golongan dan salah satu daripadanya ialah golongan khunsa. Pewarisan khunsa telah dibincang dalam Undang-undang Pusaka Islam secara terperinci bagi memastikan status dan kedudukan mereka dalam menerima harta pusaka sama ada sebagai seorang waris lelaki atau perempuan.

Dari aspek pewarisan harta pusaka, khunsa ghair musykil akan mendapat bahagian haknya seperti mana perempuan ataupun lelaki. Namun bagi khunsa musykil, menurut al-Imam Abu Hanifah; dia hanya mendapat bahagian lebih sedikit jika dibandingkan dengan golongan lelaki, juga perempuan.

Menurut, al-Imam Malik, Abu Yusuf dan al-Syiah al-Imamiyah, golongan khunsa musykil berhak menerima hak pusaka secara pertengahan antara bahagian lelaki dan perempuan.

Ulama faraid dalam penentuan jantina khunsa menetapkan beberapa tanda bagi mengenali jantina mereka. Khunsa sebelum baligh jika membuang air kecil dari alat lelaki maka dianggap sebagai waris lelaki, jika membuang air kecil dari alat perempuan maka dianggap sebagai waris perempuan.

Jika khunsa itu seorang dewasa, maka ia harus dilihat kepada tanda yang dia adalah seorang lelaki seperti tumbuh misai, janggut dan sebagainya. Sebaliknya jika ada tanda ia seorang perempuan seperti keluar haid, tumbuh buah dada, hamil dan seumpamanya, ia mewarisi pusaka sebagai ahli waris perempuan.

Ada setengah pendapat mengatakan jika tidak dapat ditentukan jantina seseorang khunsa, maka ia akan ditentukan dengan melihat bilangan tulang rusuk di bahagian bawah sebelah kiri. Jika bilangan tulang rusuk sebelah kiri kurang satu batang daripada sebelah kanan, dia dianggap lelaki.

Masyarakat kebelakangan ini banyak diberi pendedahan mengenai gejala yang sering dikaitkan dengan kecelaruan gender. Golongan ini lebih dikenali sebagai pondan atau ‘mak nyah’. Golongan khunsa jelas berbeza daripada ‘mak nyah’.

gambar hiasan

‘Mak nyah’ adalah golongan yang dilahirkan lelaki atau perempuan secara sahih dan menukar ketrampilan diri menyerupai jantina berbeza atas kehendak sendiri atau secara keterlaluan, sanggup menukar jantina mereka melalui pembedahan.

Golongan serupa ini tidak pernah termasuk dalam mana-mana perbincangan positif Islam baik dari aspek ibadah atau muamalah. Mesti diingat, golongan ‘mak nyah’ adalah golongan yang tidak langsung berada di mata Islam.

Kaum Nabi Luth yang dilaknat satu ketika dulu tidak harus diulang kembali pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Nabi Luth (kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dan meninggalkan perempuan, bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas.” (Suruh Al-Araf, ayat 80-81)

AmanahRaya menetapkan inisiatif mendapatkan Sijil Faraid adalah mandatori bagi memastikan segala pembahagian dijalankan dengan adil. Ini bagi mengelak kekeliruan dan waris menerima hak mereka.

Oleh itu, umum perlu tahu hala tuju mereka dalam mendapatkan khidmat bagi pengurusan harta pusaka sekali gus menyelesaikan masalah mereka. Organisasi atau individu dilantik perlu bersifat jujur dan seharusnya berpengalaman dalam menangani kes pengurusan harta pusaka.




Sumber : BHarian 17/06/2011

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails