Harga barangan jauh lebih murah pikat orang ramai membeli-belah
KELANA JAYA: Harga barangan jauh lebih murah dan berdaya saing menjadi tarikan utama Kedai Rakyat 1Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Rabu lalu.
Kesannya, ruang niaga berkeluasan sederhana di Stesen LRT Kelana Jaya tidak putus-putus menerima kehadiran orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan pelbagai produk termasuk makanan, barangan dandanan diri dan kebersihan pada harga murah.
Antara yang mendapat sambutan adalah rempah ratus, lampin pakai buang, produk dandanan dan kebersihan diri, produk tenusu, kordial, minuman berkarbonat, cecair pemutih pakaian, bijirin, aiskrim, sardin dan air mineral.
Kedai Rakyat 1Malaysia berkonsepkan pasar mini turut menjual 250 produk dibekalkan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang dijenamakan sebagai Kedai 1Malaysia.
Pelanggan, Nur Hidayu Rabaniyah Manan, 25, berkata Kedai Rakyat 1Malaysia bukti komitmen serius kerajaan membela kebajikan masyarakat yang memerlukan keperluan asas penting seperti makanan pada harga mampu beli, sekali gus meringankan beban rakyat di ibu kota yang terpaksa berdepan kos sara hidup tinggi.
“Saya sendiri terpaksa mengikat perut dan berjimat cermat kerana perlu membayar pinjaman rumah dan kereta. Kini sudah ada Kedai Rakyat dan harga pula jauh lebih murah berbanding tempat lain,” katanya sambil menambah kedai itu juga boleh mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan peniaga sekali gus menguntungkan pengguna dari aspek harga.
Bagi Kelvin Lim, 33, kewujudan kemudahan itu memberi pilihan kepada pengguna dan waktu operasi seawal jam 7 pagi sehingga 11 malam amat praktikal dengan rutin kehidupan masyarakat di ibu negara.
Beliau yang selalu membeli barangan dapur dan produk penjagaan diri di kedai runcit atau kedai serbaneka 24 jam selama ini, nyata terkejut dengan harga barangan di Kedai Rakyat 1Malaysia yang jauh lebih murah manakala kepelbagaian produknya juga setanding pasar raya terkemuka.
“Saya juga tertarik dengan pembungkusan produk di kedai ini yang ringkas dan bersih,” kata lelaki berasal dari Pulau Pinang ini yang turut menyarankan Kedai Rakyat 1Malaysia diperluaskan ke seluruh negara kerana ia mampu menggerakkan pembangunan PKS.
Buka kedai rakyat di PPR
PUTRAJAYA – Kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu kota bakal menjadi medan projek perintis pembukaan cawangan Kedai Rakyat 1Malaysia fasa pertama yang dilaksanakan tidak lama lagi bagi memperluaskan penjualan barangan harga murah kepada warga kota yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan itu menepati konsep kedai berkenaan untuk menjual pelbagai barangan keperluan asas pada harga berpatutan dan sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup warga kota.
“Kebanyakan kelompok masyarakat di PPR adalah mereka yang berpendapatan rendah dan semestinya menjadi sasaran utama kita. Kami sedang mengumpul data kedai-kedai runcit yang beroperasi di kawasan PPR di seluruh Kuala Lumpur untuk pelaksanaan program ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Laman-Seri : Saya berkesempatan menjenguk kedai rakyat di Kelana Jaya. Warning untuk yang ke sana, pastikan anda mempunyai kad touch-n-go kerana di sana hanya ada parking untuk pengguna touch-n-go sahaja. Harga produk murah hanya untuk produk yang berlabel '1Malaysia' sahaja. Barang-barang jenama lain sama harga di kedai-kedai biasa.
Petikan : BHarian 26/06/2011 dan Kosmo 02/07/2011
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...