“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Jun 02, 2011

Part 1 : Genre filem seram lubuk emas penerbit


Laporan Khas: Genre filem seram lubuk emas penerbit

Sikap penonton Melayu suka perkara mistik, kos rendah peluang kaut untung

Semakin banyak genre filem seram ditayangkan di negara ini dan penerbit seperti berlumba-lumba mahu menghasilkannya. Hakikatnya, kos pembikinannya murah dan keuntungan yang diraih lumayan. Laporan bahagian pertama daripada tiga siri ini cuba menyingkap 'kegilaan' penerbit filem mengeluarkan filem genre ini.

"Om om sem sem bum prak!" Sampai hari ini, petikan daripada satu mantera dalam filem komedi seram Jangan Pandang Belakang Congkak masih meniti di bibir anak penulis artikel. Malah ia menjadi bahan gurauan sesama mereka. Pantang saja adiknya leka menonton televisyen, si abang akan mengganggu dengan menempik kuat ayat seakan-akan bahasa Siam itu.

Tidak sekadar itu, jika dulu lagi kanak-kanak melayu tidak pernah menjadi kegemaran mereka yang dilihat lebih cenderung kepada lagu seperti Twinkle Twinkle Little Star, kini lagu Engit Enjit Semut, Siapa Sakit Naik Atas bermain di bibir mereka tidak kira masa. Menambah rencahnya, intonasi nyanyian itu pula sama seperti ketika Kak Limah menyanyikannya dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Nyata, ia menunjukkan betapa kuat sekali pengaruh filem dalam kehidupan seharian kanak-kanak. Jika dulu, filem animasi seperti Upin dan Ipin menjadi bahan hiburan wajib selain Ultraman, kini mereka disogok pula dengan lebih banyak filem serta drama seram saban hari di televisyen.

Meskipun tidak semua filem seram digemari kanak-kanak kerana ada antaranya tidak menepati emosi mereka, dengan kemunculan begitu banyak filem seram yang diadun bersama komedi, kanak-kanak kini sudah mula mengenali toyol, orang minyak, pontianak dan pelbagai jenis hantu Melayu.

Mungkin ramai kurang menyedari betapa sejak setahun ini, filem berunsur seram tidak kira serius atau komedi menjadi antara pilihan utama penerbit dan sudah dianggap melambak di pasaran filem. Malah, jika dibuka siaran televisyen, tidak kira di siaran berbayar atau percuma, saban hari pasti ada saja drama berunsur seram.

Jika diperhalusi, tidak langsung boleh dipertikaikan filem seram ini menjadi kegilaan ramai dan mampu memberi keuntungan lumayan kepada penerbitnya dan ia terbukti dengan kutipan sebanyak RM8.8 juta yang dicatatkan filem Khurafat selepas mula menemui penonton pada 13 Januari lalu.

Filem seram arahan Syamsu Yusof adalah filem ke-26 diterbitkan Skop Productions dengan kos penerbitan hanya sebanyak RM1.5 juta. Ia seakan-akan menunjukkan kesinambungan terhadap kejayaan filem pecah panggung (box office) genre seram pada 2009 iaitu Jangan Pandang Belakang Congkak yang mencatat kutipan RM6.09 juta dengan kos penerbitan hanya RM1.72 juta.

Filem arahan Ahmad Idham dan diterbitkan MIG Production Sdn Bhd dikatakan pencetus kepada fenomena filem seram sama ada bercorak komedi atau serius untuk mula membanjiri pasaran filem tempatan. Apa tidaknya, sejurus filem itu mendapat keuntungan berlipat kali ganda, muncul deretan filem seram lain.

Antaranya, Skrip mendapat kutipan RM1.91 juta, Momok The Movie (RM2.09 juta), Santau (RM3.84 juta); untuk 2010 muncul pula Niyang Rapik (RM3.72 juta), Mantra (RM2.74 juta), Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (RM4.23 juta), Ngangkung (RM8.18 juta), Hantu Kak Limah Balik Rumah (RM7.9 juta), Janin dan damping Malam (mencatat kerugian).

Sepanjang 2011 pula, setakat ini Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sudah menyenaraikan 15 filem seram dan ngeri, satu jumlah tertinggi penanyangan filem seram dalam sejarah filem tempatan.

Selain Khurafat, sudah ditayangkan tahun ini Sini Ada hantu (RM1.3 juta), Dilarang Masuk, Seru dan Senjakala yang mencatat kerugian serta Penunggu Istana (RM890,000). Filem lain yang sedang ditayangkan pula ialah Momok Jangan Panggil Aku dan Karak. Akan datang dalam senarai wajib tayang itu pula ialah Rasuk, Tolong Awek Aku Pontianak, Flat 3A, Hantu Bonceng, Al Hijab, Klip 3GP dan Sumpahan Puaka.

Selain fakta itu, ada yang perlu diberi perhatian juga ialah kebanyakan kos untuk terbitan filem seram sangat rendah berbanding filem genre lain. Kebanyakan filem seram hanya menelan belanja di bawah RM2 juta, jauh berbeza dengan filem genre lain seperti Hikayat Merong Mahawangsa iaitu RM6.82 juta dan dikatakan tidak menguntungkan.

Justeru, jika diperhalusi, penerbitan filem seram kurang berisiko. Jika untung, kadangkala besar sangat untungnya dan jika rugi pun, beberapa ribu ringgit saja ruginya. Ia sekali gus memberi gambaran positif kepada industri filem tempatan seakan-akan menampakkan ia semakin maju dan diterima penonton berbanding beberapa tahun terdahulu.

Namun, jika terus diperhalusi, tidakkah senario ini nampak seperti wujud sikap mengambl kesempatan penerbit atas minat orang tempatan terhadap filem bercorak tahyul dan begitu kurang mesejnya.

Malah, pemikiran kanak-kanak juga mula terpesong dengan mempercayai satu kuasa lain yang menakutkan mereka dan tidak disahkan kebenarannya. Khayalan yang terkandung agak melampau semakin menular menusuk ke jiwa mereka. Pastinya semua pihak ada pandangan mereka sendiri untuk melihat sejauh mana baik buruknya senario lambakan filem seram ketika ini.

Strategi promosi, kualiti tinggi pikat penonton ke pawagam

Filem bergenre seram komedi sebenarnya paling banyak mendapat sambutan dan menjadi pilihan kebanyakan penerbit kerana sejak lima tahun kebelakangan ini, hampir semua filem dengan genre itu mendapat kutipan memberangsangkan, selain terus ditonton ramai orang setiap kali ditayangkan di televisyen.

Ketua Pengarah FINAS, Mohd Mahyidin Mustakim, berkata filem bergenre komedi lebih menguasai pasaran dan ada juga filem komedi yang diadun dengan konsep seram mendapat sambutan seperti Pontianak Menjerit, Jangan Pandang Belakang Congkak, Ngangkung dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

"Setiap penerbit yang mengeluarkan kos penerbitan filem mereka pastinya mempunyai pelan dan strategi masing-masing bagi memastikan filem mereka mendapat sambutan. Justeru, jika filem seram mendapat sambutan menggalakkan, sedikit sebanyak trend itu akan diguna-pakai. Namun, kejayaan sesebuah filem bukan sahaja bergantung kepada genre filem saja kerana dengan pelan promosi dan pemasaran selain kualiti filem juga menyumbang kepada tarikan penonton ke pawagam," katanya.

Menurutnya, garis panduan penerbitan filem seram sudah dikeluarkan Lembaga Penampisan Filem (LPF) dan ia perlu dipatuhi supaya sesuai dengan sensitiviti dan reaksi masyarakat. Finas selama ini berperanan memberikan persekitaran yang kondusif ada perkembangan industri perfileman. Sokongan kepada filem tempatan dari segi peningkatan kutipan pecah panggung memberi petunjuk betapa sihatnya industri ini.

Dari satu sudut lain, Mahyidin melihat meskipun semakin banyak filem bergenre seram yang diterbitkan kebelakangan ini, ia tidak pula menjadikan kualiti filem tempatan semakin merosot kerana pada pengamatannya kualitinya sentiasa menampakkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Malah, katanya lagi, ia satu cabaran kepada penerbit untuk sentiasa menghasilkan yang terbaik kerana penonton filem kita sekarang lebih bijak dan matang dengan filem yang kebiasaannya tidak mencapai tahap penerbitan baik, kurang mendapat sokongan.

Meskipun mengakui filem seram termasuk seram komedi menjadi antara pilihan popular penerbit dan penonton, tidak boleh dinafikan ada penerbit berani menghasilkan sesuatu yang berbeza seperti epik Hikayat Merong Mahawangsa, filem sains fiksyen Mantera dan kini Antara Dua Langit, sebuah produksi bersama dengan Australia.

Namun, berdasarkan statistik dikeluarkan Finas, filem yang mencuba sesuatu yang baru ini tidak pula mendapat sokongan baik daripada penonton kerana kebanyakannya mencatat kutipan rendah, malah ada yang kerugian berjuta ringgit. Jadi, jelas menunjukkan penonton lebih sukakan sesuatu yang ringan.

Mengikut rekod Finas, dalam tempoh 10 tahun iaitu sejak 2001 hingga 2010, ada 33 filem seram ditayangkan dan ia tidak termasuk genre seram komedi kerana ia dikategorikan dalam genre komedi di mana sebanyak 80 filem ditayangkan dalam tempoh sama.

"Sambutan sesebuah filem tidak terhad kepada satu-satu genre filem saja dan terletak kepada kreativiti karyawan filem sendiri untuk melahirkan sesebuah filem bermutu dan diterima ramai. Sehingga bila filem seram akan terus menajdi pilihan bergantung kepada sambutan penonton dan adalah menjadi tanggungjawab penerbit bagi memastikan penonton disajikan karya bermutu dan menarik," katanya.




Petikan : Artikel Ridzuan Yop dan Azrul Affandi di BHarian 02/06/2011

Capaian entry berkaitan :
* Part 2 : Akidah terpesong jika percayakan al-Quran sekadar penghalau hantu
* Part 3 : Penonjolan watak 'hantu' dalam filem Melayu dianggap keterlaluan

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails