“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Mac 31, 2009

Penyakit was was

Oleh Idris Musa [idris@hmetro.com.my]

KERAGUAN adalah suatu fenomena lazim yang dihadapi manusia. Ia datang dan hilang tanpa diduga, namun dalam sesetengah kes, perasaan itu sukar dilenyapkan dan berpanjangan sehingga kerap mempengaruhi diri.

KERAGUAN adalah suatu fenomena lazim yang dihadapi manusia. Ia datang dan hilang tanpa diduga, namun dalam sesetengah kes, perasaan itu sukar dilenyapkan dan berpanjangan sehingga kerap mempengaruhi diri.

Bahayanya apabila ia bukan setakat menyukarkan seseorang menilai dan membuat keputusan terhadap sesuatu perkara, malah pada satu tahap mengakibatkan hati tidak tenteram.

Seringkali mereka yang dikuasai perasaan ini mengalami masalah dalam menentukan keseimbangan hidup seharian dan bagi umat Islam ia mengganggu tumpuan dalam aspek keimanan dan amal ibadat.

Perasaan ragu-ragu boleh disamakan dengan sangsi, waswas, syak hati dan bingung seperti diterangkan dalam Kamus Dewan. Ditinjau lebih jauh ia juga disifatkan sebagai bisikan dan suara halus syaitan. Syaitan berusaha sedaya upaya mengganggu manusia dengan menitipkan perkara bukan-bukan supaya timbul kecelaruan di dalam hati, malah kadangkala mempengaruhi keputusan akal.

Al-Quran ada menjelaskan perkara ini, antaranya ayat dari surah an-Nas, antara lain bermaksud: "Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia."

Sahabat Nabi Muhammad SAW juga dilaporkan tidak terlepas daripada perasaan ragu-ragu dan syubhat. Malah, sesetengah mereka datang kepada baginda mengadukan perkara terbabit. Abu Hurairah menceritakan, beberapa orang sahabat Rasulullah datang dan bertanya, "Sesungguhnya kami mendapati di dalam diri kami suatu yang kami tidak mampu untuk mengucapkannya."

Rasulullah bertanya: "Apakah engkau mendapatinya?"

Sahabat menjawab: "Ya."

Rasulullah bersabda: "Itulah kejelasan iman." (Hadis riwayat Muslim)

Kejelasan iman itu dimaksudkan penolakan gangguan syaitan dan kebencian mereka terhadapnya. Umat Islam diajar memohon perlindungan dari Allah apabila didatangi bahaya batin iaitu perasaan ragu-ragu dan ingatan buruk angkara makhluk yang tidak kelihatan, seperti syaitan dan jin serta dari tipu daya manusia.

Surah an-Nas adalah antara pelindung daripada bahaya terbabit.

Rasulullah ada menjelaskan ayat yang terkandung dalam surah an-Nas dan al-Falaq tidak ada tolak bandingnya bagi memohon pertolongan Allah daripada segala jenis bahaya. Imam Muslim meriwayatkan hadis bermaksud: "Bacalah surah-surah (al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas) tiga kali apabila engkau berada pada waktu pagi dan tiga kali apabila engkau berada pada waktu petang supaya engkau terpelihara dan terselamat dari segala bahaya dan bencana."

Seorang alim bernama Syaqiq menerangkan mengenai bisikan syaitan di dalam diri manusia, katanya: "Tiada satu pagi pun melainkan duduk padaku syaitan dari empat penjuru, dari depanku, belakang, kanan dan sebelah kiriku." Seterusnya dia berkata: "Janganlah engkau berasa takut, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." Kemudian dia membaca ayat 82 dari surah Taha, ayat 6 dari surah Hud, ayat 128 dari surah al-A'raaf dan ayat 54 dari surah Saba pada setiap penjuru.

Ibrahim bin Hakim menceritakan; dari ayahnya, dari Ikrimah, dia berkata: "Ada seorang lelaki yang berpergian jauh (musafir), ternampak seorang lelaki sedang tidur dan dekatnya ada dua syaitan.

"Musafir terbabit mendengar satu antara syaitan itu berkata kepada temannya: 'Sila pergi dan rosakkan hati orang yang sedang tidur itu.'

Apabila syaitan itu menghampirinya dia berpatah balik kepada temannya dan berkata: 'Dia tidur dengan satu ayat yang membuatkan kita tidak menemui jalan kepadanya.'

Satu lagi syaitan datang kepadanya. Apabila menghampirinya, ia berpatah balik kepada temannya dan berkata: 'Engkau betul.' Kemudian syaitan terbabit beredar dari tempat itu.

Musafir terbabit mengejutkan lelaki yang sedang tidur itu dan menceritakannya hal syaitan yang dilihatnya itu. Dia bertanya: 'Apa yang engkau baca ketika hendak tidur?'

"Lelaki itu menjawab: 'Aku membaca ayat ini (maksudnya: Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari atau ketika mereka berehat pada tengah hari - ayat 4 surah al-A'raaf).'"

Mereka yang menghiaskan diri dengan takwa dan iman, malah selalu mengingati Allah sukar diganggu bisikan syaitan. Hati mereka tenang dan tidak mudah dipengaruhi, walaupun berdepan dengan cabaran dan godaan.

Ibnu Qayyim berkata, sangat perlu bagi seseorang agar tidak menghentikan lidahnya daripada berzikir kepada Allah. Dengan zikir seseorang dapat melindungi dirinya, sedangkan syaitan tidak dapat masuk kepadanya melainkan melalui pintu kelalaian. Syaitan sentiasa mengintai manusia. Apabila manusia lalai dan mengantuk ia menerkamnya. Apabila manusia berzikir kepada Allah, terancamlah musuh Allah itu dan berasa dirinya terhina dan tertunduk.

Ibnu Abbas berkata: "Syaitan itu seperti virus penyakit di hati manusia. Apabila manusia lalai dan lupa, syaitan beraksi dan apabila manusia ingat kepada Allah ia menyorok (lari bersembunyi)."

Tetapi tidak dinafikan, sesetengah pihak mengalami kesukaran menangkis ancaman terbabit walaupun selepas dibaca doa pelindung dan ini membuatkan diri semakin buntu memikirkan usaha terbabit.

Dalam hubungan ini Ibnu al-Jauzi ada membuat perumpamaan, katanya: "Ketahuilah sesungguhnya perumpamaan iblis terhadap orang yang takwa dan tidak adalah seperti seorang sedang duduk di hadapannya ada makanan dan daging.

Seekor anjing melalui kawasan itu, kemudian dia berkata: 'Husy! Husy!' Anjing itu berlalu dan kemudian datang pada orang lain, juga terdapat makanan dan daging di hadapannya. Orang itu juga menghalau anjing terbabit dengan mengatakan: 'Husy! Husy!' Tetapi kali ini anjing tidak mahu meninggalkannya.

Perumpamaan yang pertama adalah seperti orang yang takwa didatangi syaitan, ia mampu menghalau syaitan dengan zikir saja. Perumpamaan kedua seperti orang yang tidak takwa, syaitan tidak mahu lari darinya (walaupun dihalaunya dengan zikir)."

Justeru, bagi orang Islam yang ingin selamat dari bisikan syaitan dan tipu dayanya, hendaklah menyibukkan diri dengan ketakwaan, keimanan dan perlindungan kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.

Butiran selanjutnya ...

Rujuk Guna SMS

Dijawab oleh Mohamad Isa Abd Ralib
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Soalan

SAYA bercerai dengan isteri dan disahkan oleh mahkamah atas permohonan isteri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah sah rujuk seorang suami kepada isterinya yang dilakukan secara SMS kepada isteri? Saya menghantar mesej itu, saya memang mempunyai niat untuk rujuk semula bersama isteri. Ayat saya adalah "saya rujuk semula dengan kamu". Tetapi isteri membalas dengan ayat, "Saya tak nak walau apapun". Jarak saya dan isteri ketika itu 180 km, dan kami tidak lagi tinggal bersama sejak SMS berkenaan dihantar kerana isteri enggan rujuk semula. Apakah rujuk saya itu dianggap sah?

SUAMI, Sepang

Jawapan

RUJUK adalah hak suami dalam perceraian talak rajie selagi isterinya masih dalam idah. Ia adalah suatu penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat oleh suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Dari sudut kesahannya, rujuk tidak memerlukan lafaz penerimaan daripada isteri. Bahkan ia sah walaupun tanpa pengetahuan dan persetujuan isteri, asalkan menepati syarat rujuk yang diperlukan.

Isteri yang diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri itu masih suka kepada suaminya. Sebaliknya suami boleh merujuk isteri yang diceraikan walaupun isteri itu tidak lagi suka kepada suaminya. Menurut jumhur ulama, ada tiga rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz).

Kewujudan saksi hanya disunatkan. Rukun pertama, suami hendaklah seorang yang baligh. Tidak sah rujuk bagi suami yang belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk, suami hendaklah kekal dalam Islam. Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai idah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.

Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuknya tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk. Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh idah.

Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya idah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti "engkau" atau "nama isteri itu" atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah itu pula tidak boleh digantungkan (ditaklikkan) dengan sesuatu. Contohnya suami berkata: "Abang rujuk awak jika awak suka" atau "Abang kembali kepada awak jika emak awak datang".

Rujuk yang digantungkan atau ditaklikkan dengan sesuatu syarat seperti contoh di atas adalah tidak sah. Jenis lafaz rujuk terbahagi kepada dua iaitu lafaz sareh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran/simbolik). Contoh lafaz sareh seperti kata suami "Abang rujuk kembali kepada kamu". Lafaz seperti ini adalah sah dan tidak memerlukan niat. Manakala lafaz kinayah menggunakan bahasa sindiran atau kiasan yang membawa maksud untuk rujuk seperti kata suami, "Abang pegang awak", "Awak masih isteri abang", jika menggunakan lafaz kinayah maka disyaratkan agar suami itu berniat untuk rujuk ketika melafazkan perkataan sindiran itu.

Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukunnya adalah sah walaupun rujuk yang dibuat itu dalam keadaan bergurau. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuklah nikah, cerai dan rujuk. Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah.

Dari sudut peruntukan undang-undang, saudara boleh melihat Seksyen 52 (2) (9) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003. Antara lain, Seksyen ini menyebut bahawa sekiranya isteri tamat idah, maka tidak boleh dirujuk.

Sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, maka dia tidak boleh diperintahkan oleh mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi mahkamah hendaklah melantik satu jawatankuasa pendamai seperti diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

Ini bermaksud, sekiranya isteri tidak bersetuju dengan alasan yang diterima syarak seperti suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik. Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya.Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk.

Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum itu sebagai ejek-ejekan dan permainan." Dari segi hukum rujuk juga, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain. Makruh rujuk pula jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya.

Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri yang ingin dirujuknya itu.Merujuk kepada kes saudara, berdasarkan mazhab Syafei, kedudukan rujuk yang saudara buat melalui SMS adalah tidak sah walaupun mempunyai niat untuk rujuk semula bersama isteri. Lafaz rujuk yang dibuat oleh saudara adalah berbentuk tulisan (kitabah) dan bukannya secara lisan melainkan saudara seorang bisu (tidak boleh berkata-kata).

Untuk makluman saudara SMS dianggap sebagai tulisan (kitabah). Namun begitu sekiranya saudara membaca balik SMS itu secara berlafaz sebaik saja saudara menghantar SMS itu, rujuk itu dianggap sah kerana saudara melafazkan rujuk. Saudara perlu melafazkan kembali lafaz rujuk berkenaan secara lisan terhadap isteri di dalam tempoh idah isteri saudara. Sekiranya tempoh idah habis, maka saudara dikehendaki menjalankan akad nikah baru dengan bekas isteri saudara.

Jika dengan akad nikah yang baru, saudara perlu ingat, bilangan talak saudara dengan isteri tersebut berkurang kepada dua sekiranya sebelum ini bercerai dengan talak satu. Saudara juga perlu mengambil kira lafaz taklik yang dibaca ketika perkahwinan dahulu, kerana sesetengah negeri meletakkan taklik iaitu sekiranya suami merujuk tanpa persetujuan isteri maka boleh jatuh satu lagi talak.

Perkahwinan, perceraian dan rujuk adalah suatu yang penting dalam Islam. Apabila seorang berkahwin secara baik dan terhormat, maka apabila perkahwinan tidak dapat diselamatkan, sewajarnya perceraian juga dilakukan dengan baik dan terhormat, bukan menggunakan SMS dan sebagainya. Begitu juga apabila suami ingin merujuk isteri, wajarlah berdepan menzahirkan kesungguhan dan keikhlasan suami, kerana ia bukan perkara main-main.

Untuk mengesahkan rujuk yang saudara buat, saya menasihatkan agar saudara dapat membuat permohonan pengesahan rujuk di hadapan Pendaftar, Nikah, Cerai dan Rujuk di Pejabat Agama di tempat saudara. Semoga perkahwinan saudara akan dapat diselamatkan dan beroleh keberkatan.

Sumber : Peguamsyarie.org

Butiran selanjutnya ...

Khidmat teksi teruk

PUTRAJAYA 30 Mac

Hanya 15 daripada 627 buah teksi di Lembah Klang bersih daripada sebarang kesalahan.

Statistik itu diperoleh melalui operasi penyamaran yang dilakukan oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari 16 Mac hingga semalam.

Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak menggunakan meter, enggan mengambil penumpang, mengenakan tambang lebih, melindungi/menutup/mengubah suai meter, tidak mempamerkan kad pemandu dan meninggalkan teksi.

Kesalahan lain ialah tidak menggunakan tali pinggang keledar, memandu secara bahaya, tidak mempunyai lesen memandu teksi (PSV) dan tamat tempoh cukai jalan.

Pengarah Penguatkuasa JPJ, Salim Parlan berkata, dalam tempoh operasi penyamaran itu pihaknya mengesan 1,428 kesalahan dilakukan oleh 612 pemandu teksi yang diperiksa.

‘‘Enam kesalahan yang sering kali dilakukan oleh pemandu teksi tidak menggunakan meter yang berjumlah 432 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran di sini hari ini.

Katanya, kesalahan enggan mengambil penumpang pula ialah 103 kes, mengenakan tambang lebih (144), melindungi/menutup/mengubah suai meter (34), tidak mempamerkan kad pemandu (192) dan meninggalkan teksi (21).

Menurutnya, JPJ pada masa sama menahan empat warganegara Pakistan yang menjadi pemandu teksi secara haram.

‘‘Semua pemandu yang melanggar peraturan akan dipanggil untuk ditemu siasat dan hasil siasatan akan diserahkan kepada LPKP untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ditanya sama ada hasil operasi itu menggambarkan keadaan sebenar di Lembah Klang, Salim berkata, keadaan di Pulau Pinang lebih serius.

‘‘Pemeriksaan kami di Pulau Pinang mendapati 100 peratus pemandu teksi di situ tidak menggunakan meter,” katanya.

Dalam pada itu, Markiman berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas pemandu yang bersalah termasuk membatalkan permit teksi mereka.

‘‘Sebanyak 238 kompaun telah dikeluarkan LPKP dalam tempoh Januari hingga Februari 2009, 57 permit pemandu digantung dan enam lagi permit dibatalkan.

‘‘Sebanyak 162 permit teksi telah digantung manakala 78 lagi dibatalkan sepanjang 2008,” katanya.

Beliau berkata, pemandu teksi yang melanggar peraturan didapati berleluasa di kawasan tumpuan orang ramai termasuk di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

‘‘Pihak LPKP ingin memperluaskan sistem kupon di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai untuk mengelakkan masalah teksi tidak menggunakan meter,” katanya.

Tambahnya, unit aduan LPKP telah diwujudkan dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa untuk menyelesaikan aduan penumpang dengan lebih berkesan.

‘‘Kami pada masa yang sama meminta penumpang membuat aduan dengan menyediakan maklumat yang lengkap mengenai salah laku pemandu teksi,” katanya.

Sumber : Utusan

Butiran selanjutnya ...

Kenapa pukul? Kenapa aniaya?


Oleh Dr Suriya Osman di
Nursyifa

Isteri yang didera suami kerap mahu melindungi perkara itu daripada pengetahuan umum, lebih-lebih lagi ahli keluarganya. Mereka sanggup menghadapi segala penderitaan sama ada dengan alasan mahu mengekalkan rumah tangga atau takutkan suami. Inilah dilema yang kerap berlaku dalam masyarakat sekarang.

Senario 1

Zainon( Bukan nama sebenar) mengatakan dia jatuh tangga dan kepalanya terhentak. Lebam di lehernya tidak konsisten dengan riwayat yang diberi. Lebam di leher mempunyai kesan jari.
Saya bertanya , "Siapa yang mengkasari anda? Siapa melakukan ini pada anda?"

Zainon menangis, "Doktor, sebenarnya suami saya yang mencekik saya semalam. Kini leher saya sakit, saya tidak dapat pergi kerja, saya terpaksa minta rawatan dan surat cuti sakit."

Zainon kerani di sebuah bank. Suaminya graduan yang menganggur, tinggal di rumah sementara Zainon bekerja. Ke semua duit gajinya diserahkan kepada suaminya. Suaminya bersifat cemburu dan mengawal, sering memukul dan menengking apabila dia berasa bahawa Zainon sengaja balik lambat atau memberikan wang yang kurang. Zainon menguruskan rumah, sapu simpan, memasak dan juga bekerja. Suaminya lebih suka termenung dan menonton television.

Anak-anak Zainon yang berusia tiga tahun dan lima bulan dijaga oleh ibu Zainon semasa Zainon ke pejabat. Zainon akan menghantar dan mengambil mereka setiap hari. Zainon kurang kepercayaan bahawa suaminya berupaya menjaga anak-anak mereka di rumahnya sendiri.

Senario 2

Linda( bukan nama sebenar) pula baru kahwin lima bulan. Linda berumur 17 tahun, belum bersedia mendirikan rumah tangga dengan jejaka yang menjadi temannya sehingga dia mengandung. Keluarga kedua belah pihak bersetuju bahawa jalan keluar adalah menyuruh mereka berkahwin. Anak kecil berusia dua bulan didukung Linda dengan erat.

"Suami saya marah bila anak ini menangis menganggu tidurnya. Dia naik berang, hampir melemparkan anak ini," ujar Linda dengan berlinangan air mata.

"Saya tak tahan Doktor, suami saya garang dan baran. Saya tinggal di rumah mertua sebab suami saya tidak mampu menyewa berasingan. Saya lihat mak mertua saya pun sering kena pukul dengan Pak Mertua saya. Saya tidak ada tempat nak mengadu."

Semasa Linda didapati mengandung, saya telah syurkan jangan teruskan perkahwinan itu sebab saya takutkan perkara yang mungkin berlaku akibat kedua-duanya, Linda dan pasangannya belum bersedia untuk menjadi ibu/ayah serta suami/isteri.

Begitulah secebis kisah dari file klinik saya. Ramai dari wanita ini tidak mahu melapurkan perbuatan suami dan akan menyembunyikan kejadian-kejadiannya. Ada juga yang memikirkan bahawa suami mereka berhak memukul mereka sebab sering dengar suami atau ustaz mengatakan bahawa ada ayat Quran yang membenarkan suami memukul isteri. Selain dari ini, ada juga pesakit wanita saya yang telah tidak tahan dengan penderaan berjumpa dengan pegawai di pejabat ugama untuk membuat aduan dan mereka dinasihatkan untuk jangan lari dari rumah sebab perbuatan itu adalah nusyuz dan derhaka kepada suami.

Ayat 34 dari surah An Nisa sering dijadikan hujah bagi mereka yang mempertahankan hak lelaki Muslim memukul isteri. Ayat ini telah diterjemahkan begini, "Lelaki adalah pelindung kepada wanita (qawamuna sebab Allah melebihkan setengah mereka dari yang lain dan kerana mereka memberi belanja dari hartanya). Wanita yang baik (qanitat) menjaga dengan baik kehormatannya. Perempuan yang kamu khuatirkan nusyuz maka nasihatkanlah mereka dan pisahkan dari tempat tidur dan pukullah (daraba). Kemudan jika mereka mentaatimu, janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka."

Dari ayat ini ramai penafsir mempunyai dua fakta:

1. Suami berhak memberi perintah kepada isteri dan menuntut isteri mengikut perintahnya.
2. Jika isteri tidak patuh, maka suami berhak memaksanya patuh dengan memukulnya.

Jika dilihat pada seluruh ayat yang sebenarnya bermula dengan menyebutkan bahawa lelaki yang bergelar rajul adalah pelindung wanita disebabkan rajul mempunyai kelebihan di atas wanita disebabkan lelaki rajul membelanjakan dari pendapatannya untuk wanita. Ini bererti bukan sebarang lelaki yang mempunyai kelebihan
di atas wanita tetapi lelaki yang mempunyai sedikit kelebihan adalah lelaki yang memberi nafkah kepada wanita (isterinya). [NB : Suami yang culas berikan hak isteri maksudnya yang tidak bertanggungjawab dalam nafkah zahir dan batin, BUKAN seorang rajul.]

Ayat ini seterusnya membicarakan tentang kehormatan wanita dan kesimpulan perkataan nusyuz adalah bererti wanita yang tidak menjaga kehormatan dirinya dan bukan wanita yang tidak dengar kata sebagaimana difaham umum.

Mengikut Dr Nasaruddin Umar, istilah rajul tidak boleh disamakan dengan gender lelaki. Gender lelaki disebut zakar, sedangkan rajul adalah peranan sosial seorang lelaki yang telah mencapai kelebihan dengan menunjukkan ciri-ciri tanggung jawab yang dikaitkan dengan istilah rajul. Ini bererti kanak-kanak lelaki tidak boleh digelar rajul. Begitu juga lelaki yang tidak mempunyai ciri-ciri rajul bukanlah rajul.

Mengikut penafsir mutakkhir, di antaranya Dr Nasarudin Umar, perkataan daraba yang telah ditafsirkan sebagai pukul mempunyai lebih dari satu erti. Di antaranya mendidik, memelihara, mencangkul, memberi contoh dan lain-lain. Dr Nasarudin bertanya, mengapa pula harus perkataan ini ditafsirkan dengan memukul sedangkan pada lain tempat di dalam Al Quran ia membawa maksud memberi contoh?

Pemahaman ayat ini secara literal tanpa merujuk kepada amalan Rasulullah SAW dan juga tanpa mentelitikan ayat-ayat lain di dalam Al Quran adalah tidak mengikut lunas-lunas penafsiran. Lebih banyak ayat Quran menyebutkan tentang rahmat , kasih sayang, kesetaraan dan persefahaman di antara pasangan suami isteri.

Di dalam buku Purnama Madinah karya Ibn Saad, Bandung , Mizan1997, mukasurat 173, ada tercatat sebuah hadis yang berbunyi begini, "Umar pernah berkata, Ya Rasul mahukah engkau mendengar aku? Kami kaum Quraisy biasa menguasai isteri kami. Kemudian kami pindah ke sebuah masyarakat (Madinah) di mana laki-laki dikuasai isteri mereka. Kemudian kaum perempuan kami meniru perilaku perempuan Ansar ini. Suatu hari aku memarahi isteriku dan dia membalasnya. Aku tidak menyukai perilaku seperti itu. Dan dia berkata, “Apakah engkau tak menyukai aku menjawab? Demi Allah, para isteri Rasullullah membalas beliau. Sebahagian mereka mendiamkan beliau sepanjang hari sampai malam.” Umar lalu berkata, “Dia celaka dan merugikan. Apakah dia merasakan aman dari kemurkaan Allah kerana kemarahan Rasulnya sehingga dia mendapat hukuman?” Nabi tersenyum dan tidak menjawab aduan dari Sayidina Umar." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian satu ciri khas Rasulullah SAW. Senyum, suatu senjata yang menimbulkan karisma yang begitu kuat. Bahkan ketika Umar mengutarakan ketakutan terhadap bahaya yang dihadapi kaum lelaki yang disebabkan oleh potensi pemberontakkan kaum wanita Rasulullah membalas dengan sebuah senyuman sahaja.

Perlu juga kita lihat pada contoh Rasulullah SAW. Kajian riwayat hadis menunjukkan Rasulullah SAW tidak pernah memukul isteri-isterinya malahan ada sebuah hadis Baginda Rasulullah SAW yang berbunyi begini,
“Aku tidak tahan melihat lelaki yang mudah memukul isterinya.” Tidakkah malu orang yang memukul isterinya seperti memukul budak, dipukul pada siang hari dan digaulinya pada malam hari?

Baginda Rasulullah SAW sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia."
"Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Rasulullah SAW. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?" Dan juga Rasulullah SAW bersabda, “Yang terbaik di antara kalian adalah yang bersikap paling baik terhadap isterinya.

Contoh Rasulullah SAW menidakkan tafsiran yang digunakan sebagai alasan untuk mengarah isteri mengikut kehendak suami dengan sewenang-wenangnya. Ia juga membuka ruang untuk memikirkan bahawa ada kemungkinan perkataan 'daraba' tidak bererti Islam membenarkan isteri dipukul. Bagi ulama tafsir yang menafsirkan perkataan daraba sebagai pukul, ramai yang menegaskan pukul yang dimaksudkan tidak boleh menyakitkan atau mencederakan seperti yang sering berlaku bila suami memukul isteri.

Mengapa berlakunya penganiayaan seperti saya riwayatkan dari kisah benar di klinik saya? Jawapannya ada di dalam budaya kita yang mempunyai berbagai tanggapan dan pendirian yang meletakkan kuasa mutlak suami terhadap isteri dengan tiada pertimbangan tentang hak-hak isteri terhadap suami.

Masyarakat bertanggapan penderaan di dalam sebuah rumah tangga adalah "hal suami isteri" atau "perkara dalam kelambu" dan perlu diselesaikan di antara suami isteri tanpa campur tangan orang lain.

Juga terdapat sikap yang meminta wanita bersabar atas kerenah suami demi untuk memelihara keutuhan rumah tangga kononnya. Masyarakat lebih suka melihat isteri yang didera mengekalkan kedudukannya sebagai isteri daripada menjadi janda disebabkan penceraian. Isteri yang didera juga takut pada status janda yang mempunyai stigma tersendiri. Ramai wanita yang bergantung rezeki sepenuhnya pada suami tidak berupaya menyelamatkan dirinya dari situasi keganasan yang dialami.

Kurang kesedaran tentang tanggung jawab dan lebih penekanan tentang kelebihan lelaki juga menghasilkan lelaki yang tidak berciri rajul seperti yang disebutkan sebelum ini. Kita sebagai anggota masyarakat dan umat Islam yang cintakan kedamaian dan bersifat kasih sayang sesuai dengan kalimah "bismillahirahmanirahim" perlu lakukan untuk membenteras gejala penganiayaan dan keganasan rumah tangga yang berleluasa masakini dengan meningkatkan kesedaran tentang hak suami dan isteri adalah antara langkah-langkah yang perlu.

Memupukkan rasa kasih sayang dan saling hormat menghormati juga adalah penting. Dan yang paling diperlukan adalah didikan ugama yang sempurna yang menghidupkan di dalam jiwa sanubari sifat penyayang, tanggung jawab dan adil yang mana sifat-sifat ini terserlah di dalam watak Rasulullah SAW contoh ikutan yang agung.

HENTIKAN KEGANASAN RUMAH TANGGA!!!

STOP DOMESTIC VIOLENCE AGAINST WOMEN!!!

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Mac 30, 2009

Rahsia wajah dan hati yang cantik

Salam,

Hari ini saya kongsikan rahsia wajah dan hati yang cantik, yang diterima melalui email.

Tips agar wajah selalu segar, berseri-seri dan cantik :

1. Cucilah minimal 5 kali sehari dengan air wudhu. Jangan langsung dikeringkan, biarkan menitis dan kering sendiri. Lalu ambillah sejadah, solat, berzikir dan jangan lupa berdoa.

2. Untuk menghilangkan stress, perbanyaklah 'olahraga' dengan memperbanyakkan solat-solat wajib dan sunat. Ketika solat, kita mengerakkan seluruh tubuh. Lalu berkonsultasilah pada Allah SWT dengan zikir dan doa.

3. Untuk pelembab, agar awet muda, gunakanlah senyuman. Tidak hanya di bibir tapi juga di hati. Jangan lupa bisikkan 'kata kunci', doa ketika melihat cermin iaitu, "Allahuma Kamma Hassanta Khalqii Fahassin Khuluqii" (Ya Allah sebagaimana engkau telah memperindah kejadianku, maka perindah pula ahlaqku). (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Untuk punya bibir cantik, bisikkan kalimat-kalimat Allah, tidak berbohong atau menyakiti hati orang lain, tidak menyombongkan diri atau takabur.

5. Agar tubuh langsing, mulus, diet yang teratur dengan berpuasa seminggu 2 kali, Isnin dan Khamis. Jika kuat, lebih bagus lagi puasa Nabi Daud a.s. iaitu selang satu hari. Makanlah makanan halal, perbanyak sayur-sayuranan, buah-buahan dan air putih.

6. Untuk mengembangkan diri, sebarkan salam dan sapaan, dengan demikian kita akan banyak dikenal dan disayangi.

Mudah-mudahan ia menjadi amalan rutin kita sehari-hari, insya Allah.

Butiran selanjutnya ...

Nusyuz Suami


Salam,

Kita sering dengar perkataan 'nusyuz' selalunya diguna-pakai kepada isteri yang derhaka/tidak taat kepada suami tanpa keuzuran syarie. Kali ini saya kongsikan pula, nusyuz tidak tertakluk kepada isteri samata-mata, tetapi suami juga boleh nusyuz. Isu ini sebenarnya sudah pun diterangkan dalam entry Suami juga boleh nusyuz.

Sila ikuti info tambahan yang saya titipkan dari e-grup Al-Falaah. Informasi di terima daripada Dr. Harlina Halizah Siraj (harlina.siraj@gmail.com) di NaqibNet Diskusi, berkenaan Nusyuz Suami. Untuk rujukan semua ikhwah dan akhawat JIM, dikongsikan sedutan kertaskerja Ustz Alias Othman bertajuk: ‘Huraian Al-Quran tentang nusyuz suami dan isteri: Pengertian dan penyelesaian’ yang dibentangkan semasa Wacana Wanita & Keadilan Syariah, anjuran Wanita JIM & JAWI pada 26 Mac yang lalu. Insya Allah, semoga tiada antara para suami ahli JIM yang tergolong dalam golongan suami yg nusyuz sebagaimana yang dihuraikan dalam kertaskerja ini. ~ Dr. Har

Nusyuz suami

وإن امرأة خافت من بعلها نشوزا أو اعراضا فلا جناح عليهما أن يصلحا بينهما صلحا والصلح خير – النساء 128

“Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan suluh yang sebenar-benarnya dan suluh itu lebih baik (bagi mereka)....”

Nusyuz suami disebut dalam ayat 128 surah al-Nisa’ yang telah dinukilkan di atas. Berbagai-bagai versi riwayat yang menjelaskan latar belakang ayat ini diturunkan, antara lain ialah kebimbangan Saudah Binti Zam’ah dia akan diceraikan Rasulullah SAW, lantas dia berkata kepada Baginda SAW, “Janganlah ceraikan saya, kekalkanlah saya (sebagai isteri). Dan berikanlah satu hari giliran saya kepada ‘Aisyah.” Rasulullah SAW menerima tawaran tersebut lalu ayat ini diturunkan. (al-Qurtubi, op.cit 5:402).

Menurut Ibn Abi Malikah ayat ini menolak pandangan sesetengah orang bahawa apabila seorang lelaki telah menghabiskan usia muda seorang wanita dan setelah tua lelaki terbabit tidak lagi berhak menggantikannya dengan wanita lain (Ibn ‘Arabi, Ahkam al-Quran.1:504, Qurtubi, op.cit 5:404). Beliau melihat isu ini positif kerana Allah telah memberi satu jalan keluar di saat tiada pilihan bagi lelaki yang tidak lagi mahu mengekalkan status isterinya sebagai isteri.

Sewaktu ditanya mengenai maksud ayat ini, Saidina Ali karramalLahu wajhah berkata: seorang lelaki punya perempuan di bawah tanggungannya (isteri), dia tidak lagi tertarik kepadanya oleh kerana susuk tubuhnya, usianya yang telah tua, akhlaknya yang buruk atau kecacatannya. Wanita itu tidak mahu dia diceraikan, jika dia memberikan kepada suaminya sesuatu, harta atau hari gilirannya dia boleh melakukannya.” (Said Hawa, al-Asas Fi al-Tafsir 2:1195).

Dalam ayat ini terdapat dua istilah: nusyuz نشوز dan ‘ie’radh اعراض.

1. Nusyuz bermaksud mengabaikan isteri dengan menghalang dirinya daripada isteri, tidak memberi nafkah, menyakitinya dengan maki hamun atau memukulnya.

2. ‘ie’radh kurang bercakap dan bermesra dengan isteri disebabkan usianya yang telah tua, susuk tubuhnya yang tidak lagi menarik, buruk akhlak, jemu atau ingin mencari yang lain. (said Hawa, ibid 2:1194)

Dalam mentafsirkan ayat ini, al-Qurtubi menjelaskan bahawa sekiranya isteri berpendapat suaminya akan bersikap nusyuz (ingkar dan menjauhkan diri) atau ‘ie’radh (tidak bertegur sapa dan tidak bermesra) dia bolehlah menawarkan suluh kepada suaminya. Suluh boleh berlaku melalui tawaran isteri dengan menggugurkan sebahagian haknya sebagai ganti daripada dia diceraikan. Suluh juga berlaku melalui tawaran oleh suami untuk memberikan kepada isterinya kadar tertentu harta sebagai ganti dia melebihkan isteri lain. (al-Qurtubi, op.cit 5:423-424)

Isunya, jika isteri menawarkan suluh dan diterima suami atau suami menawarkan suluh dan diterima isteri. Namun jika isteri tidak menawarkan suluh atau isteri tidak menerima tawaran suluh suami dan isteri juga tidak nusyuz, dalam keadan ini suami wajib berlaku adil dan memberikan semua hak isteri dan melaksanakan semua kewajipannya sebagai suami.

Dari perbincangan ini dapat dirumuskan bahawa suami juga melakukan nusyuz. Suami dianggap nusyuz apabila dia cuai dalam melaksanakan kewajipan rumahtangga. Menurut Muhammad Qutb dan Dr. Muhammad ‘Uqlah kalau isteri dianggap telah nusyuz apabila dia derhaka kepada suami, tidak menunaikan kewajipan dan keluar rumah tanpa izin suami maka suami juga boleh dianggap telah nusyuz apabila dia enggan memberi nafkah kepada isteri. (Muhammad Qutb, Syubhat Haula al-Islam 128 dan Dr. Muhammad `Uqlah, Nizam al-Usrah Fi al-Islam 2:184)

Dr. Mustafa al-Khin menganggap suami nusyuz apabila pengabaian dan keengganan berlaku di pihak suami dengan dia tidak menunaikan giliran, tidak memberi nafkah, bertindak kasar dengan perkataan atau perbuatan. (Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha, al-Fiqh al-Manhaji2; 105).

Penjelasan-penjelasan ini cukup untuk meyakinkan kita bahawa suami juga berlaku nusyuz dan memahamkan kita apa maksud nusyuz suami.

Bila suami dianggap nusyuz

Suami nusyuz bolehlah ditakrifkan sebagai: suami yang enggan menunaikan hak spiritual, material atau bertindak kasar terhadap isteri. Hak spiritual isteri ialah komunikasi yang baik, memenuhi kepuasan seksual, memberi pendidikan agama, dicemburui dan adil antara para isteri, tidak dihina dan dikasari. Hak material isteri ialah maskahwin, nafkah dan mut’ah jika berlaku perceraian tanpa nusyuz isteri. (al-Qurtubi, op.cit 5:422-324, Dr. Muhamad `Uqlah, op.cit 2:84, Muhammad Qutb, Syubhat Haula al-Islam 124).

Tindakan isteri jika suami nusyuz

1. Jika suami nusyuz isteri mestilah bersabar.

2. Memperingatkannya tentang kewajipan husnu al-mu’asyarah seperti disebut dalam ayat 18 surah al-Nisa’ وعاشروهن بالمعروف .

3. Memperingatkannya hadis Rasulullah yang menyatakan lelaki yang paling baik ialah suami yang paling baik terhadap isterinya خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهله.

4. Memperingatkannya tentang akibat kezalimannya terhadap isteri.

Jika ini tidak berjaya isteri berhak membawa kesnya kepada kadi untuk dia mendapatkan semua haknya, kerana kadi dilantik untuk mengembalikan hak kepada yang empunya hak dan kerana isteri tidak berdaya mendapatkan haknya tanpa kuasa kadi. Kadi bertanggungjawab memaksanya menyempurnakan hak isteri dan menghentikan kezalimannya.

Jika ini juga tidak berhasil dan suami masih meneruskan nusyuznya dan bertindak memukul dan memaki hamun kadi hendaklah menjatuhkan hukuman taazir ke atasnya. Jika ini juga tidak berhasil, maka hakam hendaklah dilantik bagi berusaha melakukan suluh.

Jika usaha suluh juga gagal, penyelesaian terakhir ialah membubarkan perkahwinan (cerai).

Dari Mu'adz r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Dan jagalah dirimu dari doa orang-orang teraniaya, kerana antara dia dengan Allah tidak ada dinding." (Shahih Muslim)


Butiran selanjutnya ...

Stimulasi otak kanak-kanak

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my


Info: Anatomi otak bayi.

Rangsangan perlu dilakukan sejak dalam kandungan dengan pemilihan makanan yang diambil ibu

OTAK adalah organ pertama yang terbina ketika dalam kandungan. Apabila lahir, otak bayi mengandungi sel otak yang berbilion jumlahnya. Ia sentiasa bekerja dan belajar perkara baru. Proses sepanjang hayat ini dipengaruhi faktor luaran dan dalaman.

Walaupun kanak-kanak lahir dengan jumlah sel otak yang banyak, namun banyak juga yang ‘hilang’ selepas dilahirkan. Apabila otak mempelajari sesuatu, sel otak berhubung dan menyimpan maklumat. Dalam tempoh yang lama, sel yang kosong akan terhapus bagi membenarkan sel yang menyimpan maklumat berkembang.

Pembentukan penting dalam otak bayi yang sedang membesar bukan saja bergantung kepada faktor genetik tetapi juga pengalaman yang dilaluinya.

Oleh itu, stimulasi otak kanak-kanak perlu dibuat sebanyak mungkin. Misalnya membina kemahiran berbahasa membabitkan membaca dan bercakap dengan kanak-kanak. Stimulasi itu sebenarnya sejak dalam kandungan, bermula dengan pemilihan makanan yang diambil ibu. Nutrisi yang ibu ambil ketika hamil memberi perbezaan besar dalam pembangunan otak. Oleh sebab itu wanita hamil memerlukan makanan berkhasiat.

Kemudian, aktiviti stimulasi itu berubah mengikut tahap perkembangannya. Sebagai contoh, selepas dilahirkan, anda bercakap dengannya walaupun ketika itu bayi tidak boleh membalas kata-kata anda, tetapi otaknya sudah membuat hubungan penting yang mengaitkan perkataan dengan makna.


Beri perhatian padanya, jangan biarkan bayi tertekan. Misalnya tercari-cari anda yang membuatkan bayi tertekan dan menangis. Tekanan hanya akan melambatkan pembangunan otak bayi.

Luangkan masa untuk bercakap dengannya walaupun ketika itu bayi masih belum pandai berkata-kata. Buat bayi ketawa, tersenyum dan bercakap dalam pelbagai nada. Lakukan aktiviti bersama.

Bacakan bayi buku dengan kuat dan dalam pelbagai nada. Mendengar ibu bapa membaca membantu pembentukan bahasanya. Membaca juga menanam minatnya pada buku.

Begitu juga dengan sentuhan. Sentuhan pada bayi, memberi keselesaan padanya dan menghasilkan persekitaran positif untuk otak mempelajari perkara baru secara berterusan. Apabila anak semakin membesar, deria semakin terbentuk dan dia lebih peka dengan persekitarannya. Dia akan mula mahu bermain dengan objek atau berinteraksi dengan orang lain. Penyelidikan mendapati tahap daya intelek kanak-kanak dipengaruhi jumlah interaksinya dengan ibu bapa.

Pemilihan buah-buahan dalam diet makanan penting dalam pertumbuhan otak anak.

Pada usia enam bulan ke atas, anak patut diberi peluang meningkatkan kemahiran koordinasinya. Apabila dia merangkak dan cuba berjalan, ia bukan saja membantu anak belajar koordinasi pergerakan kakinya malah menguatkannya. Pada peringkat ini, anda boleh memperbaiki kemahiran kognitif anak dengan memperkenalkan objek di hadapannya dan bercakap mengenainya.

Berbual mengenai pengalaman lepas juga membantu membentuk memori. Lebih banyak pendedahan, lebih banyak pengalaman dipelajari. Misalnya membawa dia ke zoo dan taman permainan atau menghabiskan masa melukis, mewarna atau membuat kraf tangan.

Bagaimanapun, stimulasi yang diberi tidak semestinya membuatkan anak anda menjadi bijak tetapi membantunya mempelajari banyak perkara baru dalam hidupnya.

Selain stimulasi yang baik, sebenarnya otak juga terjejas pada stimulasi negatif. Menyaksikan ibu bapa bertengkar, ibu dipukul atau ditengking, drama bersiri atau filem yang penuh cerita pembunuhan atau peperangan malah permainan video yang ganas dan lucah juga memberi kesan pada otak.

Dr Arlne F Harder menerusi Children Affirmation Program menjelaskan, semua yang negatif itu mencipta tekanan yang menyebabkan hormon steroid (cortisol) menekan sistem imun dan melambatkan pertumbuhan fizikal.

Penghasilan cartisol dikaitkan dengan tekanan yang menukar aktiviti otak dan strukturnya. Bahagian yang paling terjejas adalah struktur otak hippocampus dan prefrontal cortex yang berfungsi pada keupayaan mengingati dan belajar selain keupayaan kanak-kanak untuk menterjemah secara tepat dan bertindak balas pada situasi sosialnya.

Justeru, jika anda inginkan otak yang sihat untuk anak, minimumkan pendedahan unsur negatif pada anak. Bertengkar dan saling menengking di hadapan anak-anak akan mencipta pemahaman negatif kepada mereka.

Sumber : BHarian 2009/03/22

Butiran selanjutnya ...

Tekanan punca bunuh diri

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Membunuh diri perlu dilihat sebagai masalah kesihatan.

Ahli keluarga dan rakan terdekat dapat membantu kerana, seseorang itu tidak membunuh diri secara tiba-tiba

KEJADIAN bunuh diri boleh disifatkan jenayah yang mungkin kurang popular berbanding samun dan rompak yang didedahkan hampir setiap hari, tetapi realitinya ia sememangnya membimbangkan kerana bilangan kes bunuh diri yang kian meningkat.

Buktinya di Malaysia sendiri, kejadian bunuh diri tidak lagi hanya membabitkan golongan dewasa yang dikaitkan dengan kematangan, tetapi juga anak kecil yang baru berusia 12 tahun!

Malah data yang dipetik sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam usaha membantu menangani kes ini, mendakwa ada sekurang-kurangnya tujuh kes bunuh diri sehari di Malaysia.

Golongan dewasa dihimpit masalah hutang atau perhubungan cinta dan keluarga, golongan remaja pula membunuh diri akibat faktor akademik seperti tekanan kerana gagal meraih 7A atau lebih dalam peperiksaan awam.

Jika sekitar tahun 1990-an dan sebelumnya, kes bunuh diri yang dilaporkan di negara ini membabitkan masyarakat India, sejak akhir-akhir ini bilangan orang Melayu Islam yang mengambil tindakan nekad membunuh diri pula kian meningkat biarpun ia diketahui boleh menyebabkan individu itu terkeluar daripada Islam.

Cubaan membunuh diri lebih tinggi di kalangan perempuan.

Pakar Runding Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari berkata, satu ketika dulu, dalam konteks Malaysia dan negara di Timur Tengah, kes bunuh diri lebih rendah jika dibandingkan dengan negara barat.

"Bagaimanapun, kebelakangan ini bilangan orang Melayu Islam yang bertindak membunuh diri semakin meningkat," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Jelas Dr Muhsin, walaupun kebanyakan pakar perubatan tidak mengaitkan faktor keimanan dan ketaatan beragama dengan tindakan membunuh diri, secara umum iman bukan faktor keseluruhan kes bunuh diri sebaliknya sebahagian daripada faktor.

"Agama adalah pendinding kepada masalah tekanan begini, sebab dalam Islam sudah menggariskan mereka yang mati dengan membunuh diri tidak akan masuk syurga," katanya.

Komplikasi cubaan bunuh diri adakalanya tidak boleh disembuhkan.

Statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lepas, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Bagi tempoh sama di Singapura, nisbahnya adalah 15 hingga 20 orang bagi setiap 100,000, juga mati sebab bunuh diri. Di Korea, negara yang mana statistik bunuh dirinya menjadi antara yang tertinggi di dunia, menyaksikan 15 hingga 44 rakyatnya mati bunuh diri.

Namun katanya, berbanding negara barat, data di Malaysia dan kebanyakan negara Asia mungkin kurang tepat kerana dalam kebanyakan laporan perubatan, tidak mencatatkan bunuh diri sebagai sebab kematian.

Sebaliknya, laporan perubatan menulis punca kematian adalah komplikasi perbuatan bunuh diri, misalnya mati kerana organ utama yang pecah akibat terjun dari bangunan tinggi. Atau mati kerana kehilangan banyak darah kerana tindakan melukakan diri sendiri.

Ada juga laporan perubatan hanya menuliskan punca kematian sebagai 'punca biasa' atau 'kematian biasa'. Justeru, masalah sebenar yang menyelubungi kematian itu tersembunyi menyebabkan data sebenar bunuh diri di Malaysia dan kebanyakan negara Asia tidak diketahui dengan jelas.

Umumnya, kematian disebabkan bunuh diri di negara Asia dilaporkan kepada polis. Bagaimanapun kematian kerana bunuh diri tidak dilaporkan sedemikian dalam laporan perubatan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan ia sebagai tindak balas masyarakat Asia yang dikenali memiliki budaya yang berbeza dengan warga barat. Warga Asia mengutamakan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Justeru kematian disebabkan bunuh diri selalunya disembunyikan bagi mengelak stigma sosio budaya terhadap keluarga yang masih hidup selain rentetan penyiasatan dan tindakan undang-undang berpanjangan.

Kata Dr Muhsin, sebenarnya, jumlah kematian di Malaysia disebabkan bunuh diri lebih banyak jika setiap kematian yang menimbulkan keraguan seperti terjun bangunan atau minum racun rumpai diselidiki secara terperinci.

"Kalau seseorang itu berhadapan dengan penyakit mental seperti skizofrenia, selalu kematiannya dikaitkan dengan penyakit berkenaan dan bukan kerana bunuh diri," katanya.

Berbanding dengan negara lain seperti United Kingdom atau Australia, setiap kematian yang meragukan diselidik melalui inkues keadilan dan disiasat dalam kes jenayah. Malah, ada kala inkues dimohon bertahun-tahun selepas kejadian. Di Malaysia, pula tiada istilah sebegitu dalam kes sebegini.

Jelas Dr Muhsin, data sebegini penting kerana berdasarkan data WHO, usia 15 ke 44 adalah usia kritikal untuk bunuh diri. Dalam masa yang sama juga usia itu disifatkan sebagai umur paling produktif. WHO juga menganggarkan satu juta orang akan membunuh diri untuk tahun-tahun pertama abad ini. Jumlah itu bersamaan dengan satu kematian untuk setiap 40 saat dan satu percubaan bunuh diri setiap tiga saat.

Di Malaysia, dalam kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006 mendapati daripada 14,000 responden yang mengalami masalah mental, 20 peratus adalah kanak-kanak manakala 11 peratus adalah dewasa. Enam peratus responden terfikir untuk bunuh diri manakala 25 peratus terasa hendak bunuh diri.

"Data ini menunjukkan kecenderungan besar membunuh diri di kalangan remaja dan golongan muda selari dengan laporan media massa yang banyak melaporkan kes bunuh diri. Kebanyakan remaja membunuh diri kerana tidak lulus peperiksaan.

"Saya sendiri pernah menangani kes remaja 16 tahun yang rasa kecewa dengan persekitaran di sekolahnya, kerap diejek dan rasa tidak harapan untuk memperbaiki hubungan dengan persekitarannya. Dia rasa terasing dan akhirnya cuba membunuh diri," katanya.

Walaupun ada faktor lain misalnya masalah perhubungan, namun kebanyakan golongan remaja dalam lingkung usia 12 ke 20 tahun, masalah dalam akademik seperti harapan dan tekanan daripada ibu bapa yang tinggi dan sistem persekolahan yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan mereka murung dan akhirnya bertindak membunuh diri.

Bagi golongan berusia 40 tahun ke atas pula, faktor ekonomi selain masalah rumah tangga menjadi penyebab.

"Kemelesetan ekonomi memang antara faktor peningkatan bunuh diri. Kemelesetan ekonomi boleh menyebabkan banyak hutang, hilang pekerjaan, bankrap yang akhirnya membuat seseorang itu tertekan dan menyebabkan mereka memilih untuk bunuh diri," katanya.

Secara perbandingan, kematian akibat membunuh diri di kalangan lelaki adalah tiga hingga empat kali berbanding dengan perempuan, walaupun cubaan membunuh diri lebih tinggi di kalangan perempuan. Statistik menunjukkan di sebalik 10 orang yang berjaya membunuh diri, ada 20 orang yang mencuba tetapi gagal. Budaya, persekitaran dan jantina mempengaruhi mekanisme yang dipilih untuk membunuh diri.

"Lelaki kerap memilih untuk menggantung diri atau terjun daripada bangunan tinggi untuk menamatkan riwayat. Manakala wanita lebih cenderung menelan ubat-ubatan seperti paracetamol, ubat tidur malah racun tikus. Ada juga wanita memilih untuk mengelar tangan dan meminum racun rumpai.

"Malangnya, ada sesetengah mekanisme ini tidak tepat. Misalnya dos yang berkurangan dan mangsa akhirnya diselamatkan. Bagaimanapun komplikasi pengambilan bahan-bahan sebegini yang tidak boleh dirawat walaupun mangsa masih hidup," katanya.

Dalam langkah mencegah bunuh diri kata Dr Muhsin, ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat sebenarnya dapat membantu. Ini kerana, seseorang itu tidak akan bertindak membunuh diri secara tiba-tiba.

Selain itu katanya, langkah pencegahan juga perlu dilakukan dengan meletakkan masalah bunuh diri itu sebagai masalah kesihatan dan bukan masalah undang-undang.

Ahli bomba dilengkapi ilmu psikologi

ANTARA kes cubaan membunuh diri yang berjaya diselamatkan berlaku di Kelantan. Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Kelantan mencatatkan tiga kes cubaan bunuh diri secara terjun dari bangunan tinggi, dalam tempoh kurang empat bulan sejak November tahun lalu.

Kajian jabatan itu mendapati tiga mangsa cuba membunuh diri berikutan tekanan perasaan selepas putus cinta, lari dari penguatkuasaan serta gangguan emosi ekoran masalah perniagaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman, berkata kes pertama berlaku pada 4 November tahun lalu membabitkan seorang pelajar kolej berusia 20-an yang bimbang ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) selepas disyaki berkhalwat dengan pasangannya di sebuah hotel murah dekat Jalan Pengkalan Chepa.

"Dalam kejadian itu, pemuda terbabit cuba terjun dari tingkat tiga bangunan hotel setinggi kira-kira 36 kaki selepas diserbu anggota penguatkuasa JHEAIK kira-kira jam 10.30 pagi sebelum berjaya diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat Kota Bharu sebelum sempat dia terjun.

"Kes kedua pula membabitkan seorang wanita berusia 22 tahun yang juga kakitangan kerajaan yang bertugas di Wisma Persekutuan dekat sini, yang cuba terjun dari Tingkat 11 wisma itu dikatakan mengalami tekanan perasaan akibat putus cinta.

"Cubaan bunuh diri gadis itu berjaya digagalkan oleh beberapa rakan sepejabat yang memujuknya supaya tidak berbuat demikian sebelum anggota bomba membawa turun mangsa dan dirujuk untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII)," katanya.

Azmi berkata, dalam kejadian bulan lalu, seorang pengusaha kedai roti berusia 50an mengancam untuk terjun dari Tingkat 1 rumah kedai dekat Taman Uda Murni di Jalan Pengkalan Chepa.

"Beberapa anggota polis yang tiba awal di lokasi itu berhasil memujuk lelaki terbabit membatalkan niat itu sebelum diselamatkan dan hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai mengalami tekanan ekoran masalah dalam perniagaan," katanya.

"Walaupun Bomba Kelantan tidak mempunyai unit khas untuk memujuk mangsa yang cuba membunuh diri tetapi setiap anggota sudah dilengkapi ilmu psikologi bagi memastikan mereka mampu memujuk dalam usaha menyelamatkan mangsa daripada meneruskan hasrat itu.

"Dalam operasi menyelamat itu, paling penting ialah anggota bomba dapat menghampiri kedudukan mangsa dan bercakap dengan mereka untuk meyakinkan bahawa bunuh diri bukan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi itu. Setakat ini, kita berjaya dan belum ada kes cubaan bunuh diri berakhir dengan kematian,' katanya.

Sumber : BHarian

Butiran selanjutnya ...

Q&A: Enggan pinang bakal madu

Soalan

Saya telah mendirikan rumah tangga bersama suami selama 10 tahun dan ada dua orang anak. Setelah suami saya berpangkat besar, dia ingin berpoligami dan meminta saya meminang wanita pilihannya. Manalah saya mahu berbuat begitu. Sudahlah mahu dimadukan, mahu saya pinangkan pula. Jiwa saya tertekan lalu keluar dari rumah. Lantas, suami memfailkan permohonan nusyuz di Mahkamah Syariah dan tarikh sebutannya pada Februari ini. Perlukah saya hadir? Apakah tindakan saya yang enggan meminang perempuan itu dianggap nusyuz? Saya khuatir sekiranya saya dikenakan tindakan nusyuz oleh mahkamah. Bolehkah suami saya membuktikan permohonannya itu? Apa yang patut saya lakukan?

Wasidah Umi,
Seberang Prai, P.Pinang


Jawapan

Apabila isu nusyuz ditimbulkan, sudah tentu tergambar dalam fikiran kita seorang isteri yang derhaka atau tidak mentaati suami. Gambaran tersebut seolah-olah seperti nusyuz ini hanya berlaku oleh isteri, sedangkan dalam al-Quran dan al-sunah jelas menunjukkan nusyuz tidak hanya berlaku pada pihak isteri bahkan ia juga berkemungkinan dilakukan oleh suami. Nusyuz dalam konteks perhubungan suami isteri memberi erti kebencian salah seorang isteri atau suami terhadap satu sama lain.

Pendalilan ayat al-Quran yang menyentuh tentang nusyuz ada terkandung dalam Surah al-Nisa', ayat 128 yang ditujukan kepada lelaki. Sebahagian ayat ini bermaksud, "Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya nusyuz, atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian antara mereka berdua…"

Berdasarkan pendalilan di atas dapat dinyatakan bahawa nusyuz tidaklah membawa pengertian tentang keengkaran isteri terhadap suaminya semata-mata, sebagaimana yang sering disangkakan. Merujuk kepada penulisan Syed Qutb dalam bukunya In the Shade of the Qur'an nusyuz bererti terganggunya kerukunan rumah tangga. Oleh yang demikian, suami dan isteri berkewajipan melaksanakan peranan masing-masing demi menjaga kerukunan rumah tangga.

Manakala, nusyuz isteri kepada suaminya merujuk kepada kelakuan yang dilakukan atas ketentuan-ketentuan yang diwajibkan Allah SWT dan hak-hak suami yang telah diberikan Allah kepadanya. Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 menyatakan bahawa perbuatan nusyuz isteri terhadap suaminya adalah seperti cuba menjauhkan diri daripada suaminya, meninggalkan rumah tanpa izin dan membuat perkara yang bertentangan dengan kemahuan suami atau enggan berpindah mengikut suami tanpa alasan munasabah dan boleh diterima syarak.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, suami puan kini cuba mendapatkan pengisytiharan daripada Mahkamah Syariah bahawa puan kini telah nusyuz. Prosedur untuk mensabitkan dan mengesahkan seorang isteri itu nusyuz serta mengenakan tindakan selanjutnya adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh itu, suami puan perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa puan telah berlaku nusyuz serta mendapatkan pengesahan ini terlebih dulu. Ini bermakna suami puan tidak boleh menuduh isteri nusyuz sehinggalah satu pengisytiharan dibuat di mahkamah.

Puan hendaklah hadir pada tarikh sebutan seperti yang telah ditetapkan. Puan mempunyai hak untuk mengemukakan pembelaan terhadap dakwaan suami yang menyatakan bahawa puan telah nusyuz. Di dalam penyata pembelaan tersebut, puan perlu menyatakan sebab atau bukti kepada mahkamah bahawa tindakan puan yang enggan meminang wanita tersebut untuk suami yang ingin berpoligami tidak boleh dianggap sebagai nusyuz kerana nyata ini adalah bukan salah satu tanggungjawab seorang isteri.

Permintaan itu juga tidak wajar kepada puan kerana sudah tentunya puan akan terasa jauh hati apabila diminta untuk meminang isteri baru. Apatah lagi apabila puan masih boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Puan boleh juga menunjukkan sebab mengapa puan telah memilih keluar rumah, adakah ini juga satu cara bagi puan untuk menjaga keharmonian rumah tangga?

Berkemungkinan puan telah memberitahu suami secara khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel atau telah pergi ke rumah ibu bapa puan untuk cuba meredakan keadaan.

Manakala, soalan seterusnya adalah berkenaan dengan kesan dakwaan nusyuz jika berlakunya penceraian. Pensabitan nusyuz isteri setelah disahkan oleh mahkamah memberi kesan terhadap tuntutan nafkah selepas penceraian. Seperti yang termaktub di bawah seksyen 60 (2) Enakmen tersebut iaitu isteri yang nusyuz tidak berhak mendapat nafkah suaminya.

Seperti yang dinyatakan di atas hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa dalam menentukan sama ada isteri tersebut disabitkan dengan nusyuz serta nafkah yang berkaitan.

Sebarang maklumat lanjut, puan boleh menghubungi pihak kami. Sekiranya puan masih tidak jelas berkenaan prosedur perceraian ini, dinasihatkan agar mendapatkan khidmat guaman sama ada Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman atau mana-mana peguam syarie bagi mendapatkan nasihat berhubung dengan prosedur tersebut.

Sumber : Utusan 06/02/2009

Butiran selanjutnya ...

10 Perangkap Syaitan

Salam,

Perkongsian ilmu yang menarik, saya terima dari e-grup Taman2Syurga. Selamat membaca!

10 Perangkap Syaitan

ALLAH berfirman yang bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah di neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.'' (Surah An-Nisa', ayat 120-121).


Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing, sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri. Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia, pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia tersebut. Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah. Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut...

Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu:

1. Melalui sifat bohong dan angkuh

Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

2. Melalui sifat bakhil dan kedekut

Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan ALlah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.

3. Melalui sifat takbur dan bongkak

Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur.'' (Surah An-Nahl, ayat 23)

4. Sifat khianat

Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi sebarang bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

5. Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat


Junjungan RasuluLlah s.a.w. selalu menasihati para sahabat baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan manusia yang dibenci Allah, iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

6. Melalui sifat hasad

Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

7. Melalui sifat suka meremehkan orang lain

Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik iaitu orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.'' (Riwayat Muslim).

8. Melalui sifat ujub atau bangga diri

Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu bersenang-lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja.'' (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

9. Melalui sifat suka berangan-angan

Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya.

10. Melalui sifat buruk sangka

Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya.'' (Riwayat Muslim)

Butiran selanjutnya ...

Pelbagai khasiat bawang putih


BAWANG putih mempunyai nilai yang amat berguna pada kesihatan. Ciri-ciri penyembuhan dapat membantu meningkatkan tenaga dan kekuatan kepada tubuh badan di samping membantu mengelakkan penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi (hypertension).

Minyak asas serta komponen lain yang dimilikinya mempunyai kekuatan antibodi, antifungal dan antiviral.

Khasiat dan manfaatnya untuk kesihatan boleh didapati dengan mudah kerana bawang putih sememangnya digunakan sebagai penyedap masakan. Bawang putih mentah dihiris untuk masakan seperti daging, ayam dan sayur-sayuran atau salad. Selain itu ia juga dijeruk di dalam minyak untuk menghasilkan rasanya yang lazat.

Bawang putih juga boleh dijadikan ubat bagi penyakit sakit saraf, sakit sendi, kutil dan penyakit kulit lain.

Bawang putih segar yang dicampurkan dengan madu dikatakan dapat membantu menyembuhkan selesema, suara yang serak dan radang pada kerongkong.

Cara memakannya ialah dengan menekan atau gunakan mesin untuk menghancurkannya, kemudian campurkan dengan satu sudu madu. Kacau dan biarkan ia ditempat yang sejuk selama satu jam untuk sebatikan madu dan minyak bawang tersebut. Jika ada tanda-tanda untuk dijangkiti penyakit selsema, ambil satu atau dua sudu untuk diminum. Ulangi setiap jam berikutnya. Ia juga boleh digunakan apabila selesema teruk dan amat berkesan untuk melegakan sesak nafas dan batuk.

Bawang putih juga dikatakan mampu memberi kesan terapeutik. Sulfur yang terdapat pada minyak bawang putih boleh membantu menjadi pembasmi atau pembunuh kuman dalam badan.

Jika bawang putih dijadikan makanan, ia akan diserap ke dalam aliran darah kemudiannya tersebar melalui pelbagai organ seperti bahagian kulit, usus, paru-paru dan sistem perkumuhan air kencing

Semua organ-organ tersebut mendapat manfaat penyembuhan daripada khasiat bawang putih.

Komponen-komponen

Bawang putih diperkaya dengan minyak asas dan agen utamanya yang aktif adalah alisin. Sebatian ini bertanggungjawab menghasilkan bau bawang putih dan berperanan sebagai agen membantu penyembuh penyakit. Sementara itu, bawang putih juga mengandungi kalsium, selenium, kalium dan zink.

Penggunaan bawang putih juga dapat membantu menurunkan tahap kolestrol dalam darah.

Bawang putih juga dikatakan mampu membantu untuk mencegah pertambahan plak di dalam arteri koronari.

Selain itu ia juga membantu mengelakkan pembentukan darah beku di dalam saluran darah. Kedua-duanya dapat melindungi tubuh daripada serangan sakit jantung dan strok.

Tip tambahan

Apabila anda memakan banyak bawang putih ia akan memberikan anda bau badan dan nafas yang tidak menyenangkan. Ini disebabkan oleh kandungan minyak yang terdapat padanya telah dikumuh melalui sistem pernafasan dan kulit. Jadi, bagi mengurangkan kesan yang tidak enak ini, kunyahlah daun parsli, taim atau pudina dengan segera selepas memakan bawang putih.

Untuk gangguan usus

Kualiti yang terdapat pada bawang putih juga digunakan untuk membantu merawat ulser. Untuk lebih berkesan makanlah tujuh hingga sembilan ulas bawang putih sepanjang hari mengikut cita rasa masing-masing.

Sama ada memakannya dengan susu atau ditaburkan di atas roti. Namun bagi ibu yang mengandung atau masih menyusukan anak tidak digalakkan untuk mengambilnya.

Untuk mengelakkan jangkitan

Sangat bagus untuk penyakit kaki makan air, ketuat, jangkitan-jangkitan kulit dan jerawat. Letakkan bawang putih segar yang telah dilecek ke dalam sekeping kain kasa dan sapukan pada kawasan yang terlibat.

Tip untuk dapur anda

  1. Apabila membeli bawang putih pilihlah yang masih kukuh. Seharusnya kulit luarnya tegang, tidak pecah dan berwarna putih atau ungu.
  2. Elakkan membeli bawang putih yang lembut dan lembap.

Sumber : Utusan

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Mac 29, 2009

Part 1 - Iblis kunjungi Rasulullah

DARIPADA Muadz bin Jabal dari Ibn Abbas r.a., “Ketika kami bersama Rasulullah SAW di kediaman seorang sahabat Ansar, tiba-tiba terdengar panggilan seseorang dari luar rumah, ‘Wahai penghuni rumah, bolehkah aku masuk? Sebab kalian akan memerlukanku’.”

Rasulullah SAW bersabda, “Tahukah kalian siapa yang memanggil?”

Kami menjawab: “Allah SWT dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”

Baginda melanjutkan, “Itu Iblis, laknat Allah SWT bersamanya.”

Umar bin Khattab berkata, “Izinkan aku membunuhnya, wahai Rasulullah.”

Nabi menahannya, “Sabar wahai Umar, bukankah kamu tahu bahawa Allah SWT memberinya kesempatan sehingga hari kiamat? Lebih baik bukakan pintu untuknya sebab dia sudah diperintahkan untuk ini. Fahamilah apa yang hendak ia katakan dan dengarkan dengan baik.”

Ibnu Abbas r.a. kemudian memaklumkan: “Pintu lalu dibuka, ternyata dia seperti seorang orang tua yang cacat satu matanya. Di janggutnya ada tujuh helai rambut seperti rambut kuda, taringnya kelihatan seperti taring babi, bibirnya seperti bibir sapi.”

Iblis berkata, “Salam untukmu Muhammad. Salam untukmu hadirin.”

Nabi menjawab, “Salam hanya milik Allah SWT. Sebagai mahluk terlaknat, apa keperluanmu?”

Iblis menjawab, “Wahai Muhammad, aku datang ke sini bukan atas kemahuanku, namun kerana terpaksa.”

“Siapa yang memaksamu?” tanya Nabi.

Iblis menjawab, “Seorang malaikat utusan Allah SWT mendatangiku dan berkata, “Allah SWT memerintahmu mendatangi Muhammad sambil menundukkan diri. Beritahu Muhammad mengenai caramu dalam menggoda manusia. Jawablah dengan jujur semua pertanyaannya. Demi kebesaran Allah SWT, andai kau berdusta satu kali saja, Allah SWT akan jadikan dirimu debu yang ditiup angin.”

Ikuti lanjutan perbualan Rasulullah dengan iblis minggu depan.

Sumber : HMetro 2009/03/29

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Mac 28, 2009

Ulul Albab: Pemimpin beragama pelindung rakyat

Oleh Abdurrahman Haqqi

MUSLIM yang dilatih bertakwa sejak kecil bakal menjadi pemimpin terbaik pada masa depan.

Tokoh berfikiran tinggi, disertai akhlak terpuji bentuk kekuatan bangsa dan negara

SALAH satu ciri kepemimpinan ialah seseorang tidak akan terlepas daripada pengalaman hidup ketika zaman kanak-kanak, sedangkan kanak-kanak belajar daripada kehidupannya.

Seseorang yang tidak dikenali mencatatkan kata-kata hikmat yang berbunyi seperti ini:

Jika seorang anak hidup dengan bidasan, dia belajar untuk mengutuk;

Jika seorang anak hidup dengan permusuhan, dia belajar untuk bergaduh;

Jika seorang anak hidup dengan cemuhan, dia belajar untuk ragu;

Jika seorang anak hidup dengan aib, dia belajar untuk berasa bersalah;

Jika seorang anak hidup dengan toleransi, dia belajar untuk bersabar;

Jika seorang anak hidup dengan galakan, dia belajar untuk yakin;

Jika seorang anak hidup dengan pujian, dia belajar untuk menghargai;

Jika seorang anak hidup dengan kesaksamaan, dia belajar untuk adil;

Jika seorang anak hidup dengan keselamatan, dia belajar untuk percaya;

Jika seorang anak hidup dengan persetujuan, dia belajar untuk menyukai diri;

Jika seorang anak hidup dengan penerimaan dan persahabatan, dia belajar untuk menemui kasih sayang di dunia ini."


Pemimpin yang beragama dengan agama pemimpin adalah dua perkara yang berlainan. Ketika membincangkan masalah kufu' atau kafa'ah dalam perkahwinan, mazhab Hanafi mempunyai enam ciri kufu' antaranya 'beragama' di samping 'Islam'. Seorang calon suami mestilah 'beragama' jika calon isterinya juga 'beragama'. Beragama di sini dengan pengertian kuat memegang ajaran agamanya. Tapi Islam adalah syarat kufu' bagi calon suami seorang wanita Islam walaupun tidak kuat pegangan agamanya. (Lihat al-Ghandur, al-Ahwal al-Syakhsiyyah).

Agama seorang pemimpin tidak akan mempengaruhi secara signifikan corak kepemimpinannya, tetapi pemimpin yang beragama sebaliknya. Sepanjang sejarah Islam kita dapati ratusan pemimpin Islam yang sememang agamanya Islam tapi hanya beberapa orang yang terserlah kepemimpinannya kerana disebabkan kekuatan dalam berpegang teguh terhadap agama Islam. Pemimpin terbabit ialah baginda Rasulullah SAW, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Umar bin Abdul Aziz, Harun al-Rashid, Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih.

Dalam sejarah bangsa lain pun kita dapati kepemimpinan yang menonjol daripada pemimpin mereka yang beragama bukan kerana agama mereka. Sebut saja Raja Sejong Taewang dari Korea sebagai contoh, yang berkuasa dari 1418 hingga 1450. Beliau adalah raja keempat Korea dari dinasti Joseon dan salah satu daripada dua raja Korea yang diberi gelaran 'Agung', manakala raja yang lain adalah Raja Gwanggaeto.

Beliau seorang pakar bahasa yang mencipta aksara hangul untuk bahasa Korea, walaupun mendapat tentangan daripada cendekiawan yang dididik dalam cara hanja (China). Beliau juga seorang perencana ketenteraan yang berkesan dan juga penulis unggul. Karangan beliau mempunyai nilai yang tinggi antaranya buku rujukan Dongguk Jeong-un (Kamus Sebutan Tepat Cina-Korea).

Sejong menubuhkan sebuah dewan, Jiphyeonjeon pada 1420. Beliau mengumpul cendekiawan dari seluruh Korea untuk merakamkan sejarah Korea, membuat draf untuk dokumen penting dan menghasilkan buku pelbagai topik.

Sejong juga dipercayai mencipta penyukat hujan, jam air dan sundial, iaitu alat yang menunjukkan waktu dengan bayangan matahari. Beliau pernah mengisytiharkan bahawa seseorang yang bersalah mesti menjalani sekurang-kurangnya tiga kali pusingan perbicaraan di mahkamah sebelum hakim boleh membuat keputusan.

Keberhasilan Sejong dalam mencipta sendiri sejarah kepemimpinan yang berkesan dalam sejarah Korea tidak luput daripada pegangannya yang kuat terhadap prinsip konfusianisme bahkan dikatakan beliau seorang pakarnya.

Keberagamaan seorang pemimpin akan menyinarkan kewibawaan bukan agamanya. Secara umum terdapat tiga aspek utama, ciri-ciri pemimpin berwibawa, iaitu kelebihan dalam penggunaan pemikiran yang rasional; kelebihan dalam rohaniah (spiritual) dan kelebihan dalam badaniyyah (fizikal).

Menurut al-Farabi, bapa psikologi moden, pemimpin yang unggul adalah seorang yang berfikiran tinggi, memiliki sifat mulia serta akhlak terpuji dan fizikal yang sempurna. Beliau menyebutnya sebagai al-rais al-awwal (pemimpin ulung).

Terdapat 12 ciri pemimpin yang berwibawa diketengahkan oleh al-Farabi, iaitu:

  • Kemampuan fizikal - Mempunyai tubuh badan yang sempurna, sihat dan bertenaga atau berkemampuan supaya dapat menjalankan tugasnya dengan mudah.
  • Daya ingatan yang kuat - baik hafalan (ingatan) mengenai sesuatu yang dia faham, lihat dan juga bukan seorang yang pelupa.
  • Kecerdasan akal - Baik kefahamannya dan dapat menggambarkan setiap sesuatu yang dilafazkan atau diucapkan, serta mengetahui apa yang harus dibuat.
  • Bijaksana - Bijaksana dan cerdik apabila mendengar sesuatu. Walaupun dengan reaksi saja, dia boleh memahami sesuatu perkara.
  • Cintakan ilmu pengetahuan - Sangat suka atau berminat pada ilmu pengetahuan, senang menerima ilmu dan tidak berasa penat dalam menimba ilmu pengetahuan.
  • Luas pengetahuan dan peka dengan sesuatu situasi semasa - Dapat membuat penjelasan atau huraian yang jelas berhubung dengan sesuatu perkara yang berlaku secara cepat, jelas dan tepat.
  • Bersederhana - Tidak bersikap buruk, lebih-lebih lagi dalam hal mengenai makan minum dan hubungan kelamin serta menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang hanya untuk bersuka-suka.
  • Cintakan kebenaran - Memiliki sifat kebenaran dan mencintai kebenaran dan membenci sifat sebaliknya.
  • Berhemah tinggi - Memiliki jiwa besar atau berhemah tinggi hingga dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara remeh-temeh.
  • Tidak mencintai kekayaan dan tiada kepentingan diri - Tidak berminat untuk mengumpulkan wang ringgit dan segala bentuk kekayaan dunia yang lain.
  • Adil kepada semua pihak - Bersikap prokeadilan dan antikezaliman dan penindasan, tidak mudah dipengaruhi oleh perkara yang buruk, sebaliknya mudah diseru kepada kebaikan, keadilan dan seumpamanya.
  • Berani dan berazam tinggi - Mempunyai keazaman yang kuat dan berani menghadapi sesuatu perkara yang dirasakan perlu dilakukan dan tidak mudah lemah semangat atau jiwa.

Al-Mawardi pula menjelaskan beberapa kriteria seorang pemimpin yang berwibawa, iaitu :

  1. seseorang yang adil dengan erti kata yang sebenarnya dalam semua tindakan sama ada pada dirinya atau kepada orang lain;
  2. mempunyai ilmu agama (faqih) yang sempurna hingga melayakkan berijtihad dalam sesuatu perkara apabila dia perlu berbuat demikian;
  3. mempunyai anggota badan yang sempurna supaya dia dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan lancar;
  4. memiliki pancaindera yang sempurna dari segi penglihatan atau pandangan dan pendengarannya kerana kecacatan dalam salah satu daripadanya boleh mengurangkan keupayaannya mengendalikan sesuatu urusan negara;
  5. mempunyai fikiran yang baik supaya dapat mengatasi segala masalah rakyat dan mengendalikan kebajikan mereka;
  6. bersikap berani berjihad memerangi musuh kerana mahu menjamin keselamatan rakyat.
(Lihat Dr Raja Roslan, dkk, Peranan Komunikasi Kepemimpinan Diri dan Organisasi Dalam Perspektif Islam)

Mungkin kita boleh menambah satu kata lagi dalam kata-kata hikmah pada permulaan tulisan ini dengan berkata: "Jika seorang anak hidup dengan agama, dia belajar untuk mencari kedamaian" atau dalam perkataan lain, pemimpin yang beragama akan membawa umat kepada kedamaian. Wallahu a'lam.

INFO: Pemimpin ideal pada pandangan Al-Mawardi

  • Adil dalam semua tindakan sama ada pada dirinya atau kepada orang lain.

  • Mempunyai ilmu agama (faqih) yang sempurna hingga melayakkan berijtihad dalam sesuatu perkara apabila dia perlu berbuat demikian.

  • Mempunyai anggota badan yang sempurna supaya dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lancar.

  • Memiliki pancaindera sempurna dari segi penglihatan atau pandangan dan pendengarannya.

  • Mempunyai fikiran yang baik supaya dapat mengatasi segala masalah rakyat dan mengendalikan kebajikan mereka.

  • Bersikap berani berjihad memerangi musuh kerana mahu menjamin keselamatan rakyat.
  • Sumber : BHarian 2009/03/28

    Butiran selanjutnya ...

    Panduan memilih taska/tabika terbaik

    Salam,

    SUATU waktu dahulu kita dipaparkan dengan beberapa kejadian yang melibatkan kecederaan dan kematian bayi dan kanak-kanak akibat kecuaian pihak pengurusan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) atau pengasuh persendirian. Bagi wanita yang tidak bekerja, berita seumpama itu tidak begitu memberi kesan yang mendalam kerana anak-anak selamat berada di bawah penjagaan mereka. Bagaimana pula dengan suri rumah yang keluar bekerja?

    Dilema bagi ibubapa yang berkerja dan tidak mempunyai pembantu rumah ialah mencari pusat jagaan harian bayi dan kanak-kanak yang sesuai dan boleh dipercayai untuk anak-anak mereka. Terlalu banyak perkara perlu diberi perhatian serius kerana anak-anak akan ditinggalkan seharian di bawah jagaan taska/tabika.

    Agak memeningkan juga bila hendak memilih pusat jagaan yang terbaik untuk anak. Bila kata yang terbaik, pasti dalam kepala kata ‘mahal’. Adalah amat penting untuk kita sebagai ibubapa, mengetahui pusat jagaan bagaimanakah yang terbaik untuk anak-anak kita. INGAT! Yang mahal itu tidak semestinya yang terbaik dan yang murah tak semestinya tiada kualiti.



    Faktor keselamatan adalah paling meruncing, selain soal kaedah asuhan, penjagaan dan kebersihan. Jika kita mengetahui panduan/tips untuk memilih taska/tabika untuk anak, tentu wang bukan menjadi masalah. Iringkan dengan doa moga Allah murahkan rezeki untuk kita menghantar anak kita ke taska/tadika yang terbaik.

    Alhamdulillah, saya berkesempatan mengumpul maklumat dari pelbagai sumber dan berikut disenaraikan beberapa panduan/tips dan kriteria pemilihan bagi mengenal pasti pusat jagaan kanak-kanak (taska/tabika) yang terbaik untuk anak anda.


    Panduan # 1 – Mesti berdaftar

    Anda kena pastikan taska/tadika ada lesen dan pernah mengikuti kursus anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat. Taska dan pusat jagaan mesti berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tadika pula dengan Jabatan Pelajaran.

    Amat mendukacitakan apabila diketahui sehingga kini 80% taska masih beroperasi secara haram dan gagal mendaftarkan operasi mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Malahan ada pemilik taska yang mengemukakan lesen palsu demi mengaut keuntungan.

    Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) merupakan suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pengawalan dan pemeriksaan taman asuhan kanak-kanak dan bagi maksud-maksud yang berkaitan dengannya iaitu memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang berusia di bawah 4 tahun yang memerlukan perkhidmatan taska semasa ibu bapa mereka di tempat kerja. Selain itu, akta ini juga mewajibkan pendaftaran taska yang mempunyai lebih daripada 9 orang kanak-kanak di bawah usia 4 tahun. Apa yang penting akta ini digubal untuk memastikan hak kanak-kanak dilindungi, iaitu dari segi perkembangan, kebersihan dan keselamatan.

    Panduan # 2 – Berjumpa, bersemuka dan berbincang dengan pengusaha/penyelia

    Hasil daripada perbincangan itu, anda akan dapat melihat dan menilai sendiri bahawa pengusaha/penyelia taska/tabika itu mengetahui sedikit sebanyak mengenai tata cara, peraturan dan penjagaan anak-anak.

    Pastikan pengusaha/penyelia itu seorang yang mesra, peramah dan penyayang. Daripada situ juga anda boleh menilai sama ada dia mempunyai pengalaman, terlatih, minat pada tugas dan ikhlas. Jika dia suka kerja itu, maka anak-anak kita akan gembira. Keikhlasan, pengalaman dan pendedahan latihan sangat penting.

    Perhatikan juga siapa yang bakal mengasuh/mengajar anak anda. Pastikan pakaian dan akhlaqnya. Ini amatlah penting! INGAT! Selain ibu bapa menjadi pendidik utama, pengasuh juga merupakan tangan pertama yang akan menentukan masa depan kanak-kanak. Anda perlu ada ‘bonding’ dengan pengasuh anak anda. Jangan lupa ambil nombor telefon dan sekali-sekala anda boleh bertanya tentang anak anda dan perkembangannya.

    Anda boleh rujuk entry Tips memilih pengasuh.

    Panduan # 3 – Keselamatan

    Perhatikan tahap keselamatan di tempat jagaan tersebut. Pagar mestilah sentiasa berkunci, ada tangga kecemasan untuk rumah dua tingkat. Perlu diingatkan, hanya rumah banglo dan corner lot sahaja yang dibenarkan untuk menubuhkan taska/tabika. Intermediate house adalah dilarang.

    Panduan # 4 – Kebersihan dan Penyediaan Makanan

    Anda boleh bertanya tentang makanan yang disediakan oleh taska/tabika. Makanan yang disediakan mestilah yang berkhasiat. Anda boleh minta izin melihat keadaan kelas dan melihat dapur. Pastikan ia dalam keadaan bersih dan memuaskan.

    Panduan # 5 – Bayaran Yuran

    Anda perlu bertanya dengan sejelas-jelasnya dan kalau memungkinkan boleh tawar-menawar jika yurannya terlalu mahal. Buat perbandingan dengan pusat jagaan lain. Tanyakan juga bayaran lebih masa jika anda terlambat mengambil anak.

    Panduan # 6 – Program

    Pastikan pusat jagaan mempunyai program tersusun supaya anak-anak mendapat pengisian mental, jiwa dan emosi sewajarnya. Anda yang membayar pusat jagaan, anda mempunyai hak untuk mengetahui apa yang diajarkan kepada anak anda.

    Tahukah anda, sebenarnya, setiap anak tidak kira usia ada program pengisian walaupun ia cuma seorang bayi. Setiap individu yang memilih kerjaya sebagai pengasuh taska/tabika harus mengikuti Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK). Mereka perlu membuat Lesson Plan/Rancangan Mengajar. Ini adalah guideline dan peraturan JKM yang telah ditetapkan untuk setiap pengusaha Taska/Tabika.

    Panduan # 7 – Fardu ain

    Pastikan tempat yang anda pilih adalah taska/tadika yang Islamik. Ini amatlah penting dan ringankan mulut untuk bertanya apa yang diajarkan di sekolah tersebut. Ada tadika dan pusat jagaan menawarkan pembelajaran fardu ain. Bagaimanapun, anda perlu pastikan bagaimana mereka menekankan kegiatan amali mengambil wuduk dan solat.

    Panduan # 8 – Takaful

    Pastikan pusat jagaan mempunyai insurans takaful.

    Panduan # 9 – Kegiatan membabitkan ibu bapa

    Adakah mereka menggalakkan kegiatan seumpama ini?

    Panduan # 10 – Peraturan taska/tadika/pusat jagaan

    Pastikan pusat jagaan mempunyai peraturan dan simpan satu salinannya.

    Panduan # 11 – Keceriaan

    Pastikan suasana riang dan ceria di sekitarannya. Suasana banyak faktor penggalak pengembangan minda anak-anak.

    Bagi anak yang berumur empat tahun ke atas, menghantar anak ke taska boleh menggalakkan perkembangan minda anak-anak di tahap ini kerana konsep bermain sambil belajarnya yang lebih bebas dan sesuai pada tahap usia ini.

    Panduan # 11 – Bayaran balik

    Anda perlu bertanya mengenai bayaran yang telah dibayar jika bertukar fikiran sebelum habis sebulan anak dihantar ke situ. Bolehkah anda dapatkan sebahagian bayaran balik daripada yuran yang dibayar? Ramai ibu bapa tertipu dalam perkara ini.

    Panduan # 12 – Tawakal

    Senyum selalu, banyak berdoa dan tawakal. Insya-Allah, semua masalah boleh diatasi.

    Semoga anda mendapat walau sedikit manfaat daripada artikel ini.

    Butiran selanjutnya ...
    Related Posts with Thumbnails