“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Mei 15, 2009

Suami : Perbaikilah kesalahan di ranjang


Assalamualaikum warahmatullah,

Perkahwinan dalam Islam bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan biologi terhadap satu sama lain, malah satu daripada tanda kekuasaan dan kebesaran Allah Yang Maha Esa (Surah ar-Rum, ayat 21). Iaitu kekuasaan-Nya menyatukan dua makhluk yang berlainan jantina serta mempertautkan hati kedua-duanya dengan ikatan kasih mesra. Maka, suami yang baik ialah yang menyayangi serta melindungi isterinya dari perkara berbahaya atau memudaratkannya.

Suami ialah ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan isterinya memperoleh keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian yang secukupnya. Suami juga hendaklah membimbingnya agar selamat daripada api neraka. Firman Allah bermaksud: "Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana orang lelaki telah memberi nafkah daripada harta mereka..." (Surah an-Nisaa', ayat 34)

Apabila disebut perkara yang berkaitan seks, ianya dianggap sebagai satu isu yang “taboo” serta sensitif, maka jarang benar ada yang sanggup mengajarkan tentang perkara ini (hubungan seks antara suami isteri), termasuk guru atau ibu bapa sendiri, sedangkan persoalan seksual antara suami isteri merupakan suatu tuntutan dalam agama Islam. Apabila seseorang lelaki mengahwini seorang wanita, pihak suami perlu memenuhi dua kategori nafkah iaitu zahir dan juga batin (keperluan seks).

Dalam hal nafkah zahir, semua suami tahu akan tanggungjawabnya sehingga sanggup merantau ke luar negara untuk memenuhi nafkah zahir. Namun dari segi pemenuhan nafkah batiniah, walaupun ianya merupakan suatu tuntutan agama, masih ramai terdapat suami atau isteri yang masih memandang ringan tentang perkara yang dalam selimut ini. Suami wajib memenuhi keperluan seks isteri, manakala isteri wajib memenuhi apabila suami berkeinginan. Kedua-dua pihak suami dan juga isteri mesti sedar dan tidak memandang ringan akan hal ini.

Apa yang ingin dibincangkan di sini ialah; kegagalan dalam memenuhi keperluan seksual isteri, boleh memberi kesan yang sangat negatif kepada rumahtangga. Apabila keinginan seksual yang tidak terlunas dibiarkan sekian lama, maka keinginan yang mendesak dalam diri tadi akan mencari jalan penyelesaian. Maka dibimbangi akan berlaku persetubuhan di luar nikah, sumbang mahram dan sebagainya. Mungkin ini juga menjadi punca kenapa sekarang ini terdapat banyak kes-kes isteri berlaku curang di belakang suami dengan melakukan persetubuhan haram dengan kekasih gelapnya. Tidak mustahil perkara negatif ini berlaku kerana keinginan seksual mempunyai suatu tenaga yang sangat kuat desakannya, sehingga apabila ia menguasai pemikiran seseorang, maka tidak dihiraukan lagi soal hukum dan norma kemanusiaan, walaupun yang disetubuhinya itu saudara sendiri atau yang haram baginya untuk disentuhi.

Dalam diam, sebenarnya ramai wanita di luar sana memendam rasa tentang kehidupan seksual mereka. Di luar nampak bahagia bersama, namun tat kala di ranjang bersama suami tiada apa yang dirasakannya, gara-gara suami tidak memahami apa kehendak isteri. Isteri tidak merasai belaian penuh kemesraan mahupun cumbu-cumbuan begitu juga rangsangan yang mengghairahkan. Akibatnya, kepuasan seks hanya berpihak kepada suami, sedangkan isteri merasakan hubungan intim yang berlangsung penuh kehambaran. Semuanya kerana apa yang didambakan tidak diperolehi daripada pasangan sendiri.

Lebih malang lagi, suami merasakan tiada apa-apa yang kurang dengan dirinya kerana beranggapan telah berjaya membuatkan isteri mengandung. Berjaya membuatkan isteri mengandung dan 'askar' berderet-deret keluar tiap-tiap tahun tidak bermakna berjaya memuaskan isteri. Logik akal, mangsa rogol juga boleh mengandung, kan? Percayakah anda jika dikatakan hampir 80% wanita di Malaysia tidak memperolehi kepuasan seksual? Angka ini amat membimbangkan kerana ia menjadi salah satu punca perceraian di Malaysia. Selain daripada punca kes-kes perceraian, isteri curang, suami makan luar dan lain-lain gejala negatif yang melibatkan seksual berlaku kerana salah satu sebabnya ialah kegagalan memenuhi keinginan seksual antara suami isteri.

Jangan biarkan masalah ini melanda rumahtangga anda kerana kesan-kesan negatifnya sangat buruk dan merosakkan. Kenapa? Kerana anak-anak kita membesar dengan meniru apa yang dibuat oleh ibu bapanya. Jika ibu bapa melakukan perkara-perkara negatif maka anak-anak akan cenderung untuk melakukan perbuatan yang sama. Ini yang bahayanya. Anak-anak merupakan generasi masa depan. Jika perangai anak dipengaruhi perbuatan negatif ibu bapa seperti melakukan zina dan sebagainya, bayangkanlah corak kehidupan masa depan umat bangsa kita.

Bantu suami perbaiki kesalahan di ranjang

Sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material isterinya, sudah menjadi tanggungjawabnya melayani keperluan batin isteri. Kebiasaannya wanita memiliki sifat pemalu terutamanya untuk berbincang tentang kehendak seksualnya. Namun, sebenarnya mereka juga berkehendakkan kepada nikmat kepuasan ketika melakukan persetubuhan (berjimak) sebagaimana suami.

Menurut Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW telah bersabda, “Jika seseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” (Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam Jami’ al-Saghir, hadis no: 549 dan al-Hafiz al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid, hadis no: 7566)

Oleh itu, para suami hendaklah menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa mempastikan isteri mereka juga sudah mencapai klimaks.

Hal ini amat penting kerana jika seorang suami tidak perihatin terhadap permasalahan ini ia boleh menimbulkan kesan negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun ia tidak dilakukan dengan sepenuh kerelaan hati. Mungkin ada yang merasakan ini suatu perkara yang terlalu remeh untuk diperbincangkan. Tetapi, di dalam Islam berjimak adalah termasuk perkara yang boleh mendatangkan pahala.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah SAW menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” (Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no:1006)

Dalam hal ini, pastikan para suami dan isteri berkomunikasi sesama sendiri untuk sama-sama mendapat kenikmatan dari hubungan kelamin tersebut. Semua pakar seksologi menyarankan komunikasi terbuka sebagai jalan penyelesaiannya. Namun, menjadi halangannya adalah wanita sukar untuk melakukannya. Jikalau berterus-terang sekalipun, kata-kata mereka penuh makna tersirat hingga sukar dimengertikan oleh suami. Ada juga sesetengah kes, si isteri telah meluahkan perasaan yang terbuku di hati, namun pihak suami pula tidak mengendahkan dan langung tidak mahu mengambil inisiatif untuk memperbaiki kelemahan diri.

Demi kebaikan anda berdua, ubahlah sikap anda terhadap kehidupan seksual yang membosankan. Sekiranya suami tidak memahami kehendak isteri ketika berhubungan intim, maka bantu saja dirinya mengetahui apa yang anda perlukan tatkala bermesraan. Pastinya ia tidak disalah ertikan oleh suami, kerana lelaki memang kurang memahami secara terperinci apa yang diingini oleh wanita ketika di ranjang. Bantulah suami menghindari perkara-perkara yang kurang disenangi ketika hubungan seks berlangsung selain memperbaiki kesalahan yang mungkin kerap dilakukan oleh suami.

Berikut disenaraikan kesalahan yang sering berlaku :

1. Tidak bercumbu atau memberi ciuman

Menurut kajiselidik, 79% dari lelaki Malaysia suka seks sepontan (gaya koboi atau seks ekspres). Isteri berharap agar suami mencumbu bibirnya terlebih dulu, bukan tempat lain. Ramai lelaki yang lupa memberikan ciumannya pada pasangan, ketika sedang melakukan penetrasi. Ciuman ketika mahu merangsang isteri itu perlu, namun ciuman ketika penetrasi dilakukan juga penting kerana ia mampu memberi kepuasan ekstra buat isteri. Saat suami sedang merangsang, ingatkanlah dirinya.

2. Gigitan cinta yang tidak kena

Gigitan cinta yang dilakukan oleh suami ketika isteri tidak terangsang selalunya akan menimbulkan rasa sakit dan perasaan yang tidak selesa. Oleh itu, pastikan si dia melakukannya di waktu yang TEPAT agar anda boleh menikmati keghairahannya. Dalam pada itu, minta suami melakukan gigitan-gigitan kecil saja. Lakukannya ketika aktiviti seksual sedang membara. [NB : Jangan 'tokak' isteri anda!]

3. Hanya membelai bahagian tertentu

Beritahu pasangan anda, jangan hanya menumpukan perhatian pada satu titik tertentu sahaja. Tubuh wanita penuh dengan bahagian-bahagian yang peka terhadap rangsangan seks. Fokus lelaki terhadap tubuh isteri selalunya di bahagian payu dara dan juga bahagian alat sulit. Namun, bukan hanya bahagian ini saja yang harus dicumbui oleh suami. Bahagian tubuh lain seperti punggung, belakang badan, paha dan juga leher perlu juga dibelai dan dicumbui.

Pastikan suami memberi perhatian penuh pada bahagian-bahagian tersebut agar hubungan seks tidak terasa membosankan bagi anda. Pegang tangan suami sambil letakkannya di bahagian tubuh yang mahu dibelai, sambil beritahu kepadanya bahawa ada ingin dia mencumbui bahagian tersebut juga.

4. Suami terlalu berat

Kuang... kuang... kuang... ada keadaan yang mana isteri menghadapi masalah ketika berhubungan seks kerana tubuh suami yang terlalu besar. Situasi ini menyebabkan hubungan intim dirasakan sangat terbeban kerana sukar untuk bernafas, seperti kancil dihimpit gajah. Bagi membantu mengatasi masalah ini, sebaiknya ketika suami berada di atas anda, usahakanlah agar berat tubuhnya tidak membebani tubuh anda dengan cara meminta pasangan menahan berat badannya.

5. Ejakulasi terlalu cepat

Adalah amat menjengkelkan jika suami ‘tewas’ dahulu daripada isteri dan membiarkan isteri terkapai-kapai keseorangan. Jangan sangka bila suami sudah mencapai puncak kenikmatan, tidak bererti pasangan merasakan hal yang sama. Isteri pun menginginkan kenikmatan seperti yang suami rasakan. Bila isteri merasakan kenikmatan yang sama seperti yang suami rasai, isteri pasti susah menolak bila diajak bermesraan di lain waktu dan ketika. Jika isteri sukar mencapai puncak, suami harus berusaha menyenangkan hatinya. Jika suami tidak mampu mengendalikan ejakulasinya, cubalah memanjangkan tempoh pemanasan. Minta suami terus merangsang agar anda juga mampu mendapat kepuasan seks daripadanya. Lakukan lebih banyak variasi ketika pemanasan dan minta lebih lama mengeksploitasi bahagian-bahagian sensitif anda.

Selain itu, usahakan untuk fokus terhadap rangsangan yang diberikannya. Beritahu suami aktiviti yang dilakukannya tidak sesuai keinginan anda. Cara ini acara seks anda dan suami akan terus membara.

Kesedaran

Apa yang perlu kita sedari ialah betapa pentingnya persoalan memenuhi tuntutan keinginan seksual baik suami atau isteri, kerana kepincangan dalam hal ini akan membuahkan gejala-gejala negatif yang lain. Dengan kata lain, kita mestilah mempunyai ilmu dalam soal seksologi bagi memastikan kehidupan seks suami isteri terpenuhi dengan baik. Bagi pihak suami yang “bermasalah”, sangat perlu untuk diperbaiki segera kelemahan diri agar dapat memenuhi nafkah batiniah isteri dengan baik. Pihak suami jangan hanya nampak gagah apabila mengherdik isteri, tapi “lembik” di ranjang. Semasa marahkan isteri keluar suara ibarat petir, tapi semasa “bercinta” di ranjang - macam pipit mati tersepit.

Kesimpulan

Kenapa kita boleh bersegera dalam urusan pekerjaan yang lain, tetapi memandang remeh akan “urusan” dengan pasangan kita? Kita tidak mahu membincangkan tentang siapakah yang bersalah dalam soal kegagalan seksual rumahtangga. Jalan penyelesaian yang mesti diutamakan. Bukan menuding jari meletakkan kesalahan kepada sesiapa baik suami atau isteri.

Suami perlu sedar tanggungjawab memenuhi keperluan seks isteri, sekiranya ada kelemahan mesti segera berubat. Jangan sampai isteri mencari kepuasan di luar. Pihak isteri juga mestilah bersikap positif dan pro-aktif, sentiasa bersedia untuk melayan suami. Penjagaan diri dari segi penampilan tubuh badan dan kualiti layanan tidak boleh dipandang ringan. Jika terdapat kelemahan di pihak suami, isteri mestilah membantu untuk sama-sama berikhtiar mengubati kelemahan suami. Beri sokongan. Bukan mencari orang lain untuk mendapat kepuasan.

Renung-renungkan!

1 ulasan:

  1. sat gi balik rumah, saya akan praktikkan dengan semangat membara..ha..ha..

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails