SOALAN :
SAYA seorang lelaki bujang dan sudah lama mengalami penyakit kronik sukar diubati yang berkaitan dengan jiwa saya. Biarpun tahu sedikit sebanyak soal agama, halal serta haram, tetapi saya tidak dapat menyelesaikan masalah ini sejak zaman remaja lagi iaitu suka menonton video lucah dan melakukan onani. Saya tahu jalan terbaik ialah bernikah tetapi saya tidak mampu untuk memikul tanggung jawab sebagai seorang suami yang baik dan keluarga pula tidak izinkan saya berkahwin. Apakah hukumnya menjadikan sikap buruk itu satu tabiat? Persoalan kedua, apakah keluarga boleh menghalang hasrat anak yang mahu berkahwin?
Lelaki Keliru
Johor
JAWAPAN :
Menonton video lucah adalah satu perbuatan yang haram kerana dalam hadis sahih Nabi saw bersabda yang bermaksud, "Ditulis bagi setiap anak Adam bahagiannya daripada zina. Ia pasti melakukannya tanpa dapat dielakkan, zina mata adalah disebabkan pandangan, zina lisan adalah disebabkan berbicara, zina telinga adalah mendengar, zina tangan adalah menggunakannya, zina kaki apabila ia melangkah, jiwa berharap dan berhasrat, malulah yang membenarkan atau mendustakannya."
Sebagai tambahan, menonton filem lucah akan mendorong seseorang memikirkan mengenai apa yang dilihatnya itu, sekali gus menyebabkannya ingin melakukan adegan yang ditonton itu. Allah berfirman dalam surah al-Isra ayat 32 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."
Berdasarkan kefahaman saya, saudara yang bertanya melakukan onani akibat menonton adegan ranjang dalam tayangan lucah itu. Walaupun ada pandangan yang mengatakan onani itu harus bagi mengelakkan berlaku zina, saya lebih cenderung mengatakan bahawa perbuatan itu haram. Perkara ini jelas disebut dalam firman Allah menerusi surah al-Mukminun ayat 7.
Nasihat saya kepada saudara agar memenuhi wasiat Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim: "Wahai pemuda, sesiapa yang berkemampuan di kalangan kamu maka hendaklah dia berkahwin, sesiapa yang tidak berkemampuan maka hendaklah dia berpuasa, kerana ia akan bertindak sebagai benteng buatnya."
Selain itu hendaklah memenuhi masa lapang dengan kegiatan berfaedah agar jiwa yang kekosongan itu berisi dengan sempurna. Saya juga menasihatkan saudara agar mendampingi ahli ilmu, terutama di kalangan ustaz yang soleh yang dapat membimbing saudara kepada keimanan dan jati diri Islam.
Sebagai tambahan, ambillah kesempatan untuk melakukan zikrullah dan doa pemelihara iman agar terselamat daripada fitnah dunia dan gangguan syaitan.
Masalah saudara yang berikutnya pula mengenai larangan keluarga terhadap saudara dari berkahwin, saya perlu mendapatkan penjelasan daripada mereka. Berkemungkinan mereka rasakan saudara masih belum layak kerana kekangan kewangan dan lain-lain.
Masalah seperti ini mudah diselesaikan dengan syarat ada perbincangan antara saudara dan ibu bapa secara terbuka. Insya-Allah mereka akan memahami dan membantu menyelesaikan urusan itu dengan cara syura yang terbaik.
Akhir sekali, pernah pada zaman Nabi seperti yang diriwayatkan dalam Musnad Ahmad, Nabi SAW mendoakan untuk seorang sahabat, yang gemar berzina dengan doa yang maksudnya: "Ya Allah, bersihkan hatinya, peliharalah kemaluannya dan berilah keampunan kepadanya."
Hasil doa Nabi itu sebagai sebuah mukjizat, pemuda itu bertukar menjadi seorang Muslim yang istiqamah dalam kebaikan seperti yang disampaikan oleh perawi hadis, Abu Umamah. Walaupun kes ini agak berbeza, tetapi konteksnya agak sama, mohonlah kepada Allah agar sentiasa diberikan kekuatan dan taufik-Nya.
Wallahu a'lam.
Sumber : BHarian 2009/05/03
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...