SOALAN :
KETIKA keluar minum saya tidak pasti terpijak najis anjing. Dalam perjalanan pulang, bau busuk itu ketara lalu saya samak seluar dan selipar tetapi sebelum itu seluar saya sudah terkena lantai di rumah, perlukah saya samak lantai rumah saya dan bagaimana dengan keluarga saya yang memijak lantai itu.
Bagaimana pula dengan pakaian yang terkena percikan air kencing anjing yang dibasuh dengan pakaian lain?
Hamba Allah, Kuala Lumpur
JAWAPAN :
Apa yang saudara lakukan iaitu melakukan samak pada seluar dan selipar sudah memadai. Ini disebabkan saudara tidak dapat mengenal pasti secara yakin tempat yang terkena najis itu dari seluar yang dipakai.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Taghabun ayat 16 yang bermaksud: "Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu."
Al-Imam Ibn Kathir dalam tafsirannya kepada ayat di atas mengemukakan sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Apabila aku memerintahkan kamu melakukan sesuatu, maka hendak-lah kalian memenuhinya sedaya upaya, dan apa saja yang aku tegah kalian, hendaklah dijauhi."
Berdasarkan hadis ini kita dapat mengambil pengajaran untuk melakukan sesuatu dengan sedaya upaya. Selepas itu kita berserah diri kepada Allah SWT.
Selain itu, kaedah syarak mengatakan sesuatu yang diyakini tidak akan digugat oleh sesuatu yang syak( tidak jelas). Jadi dalam keadaan itu, rumah kita diyakini bersih sebelum itu.
Cuma apabila kita memakai seluar yang kita bimbang mengandungi najis, kita mulai diserang rasa tidak sedap hati.
Maka syarak menetapkan kesucian rumah yang pasti tidak boleh digugat dengan sedikit perasaan was-was yang datang kemudian.
Perkara sama juga terhadap pakaian yang dibasuh bersama pakaian yang disyaki bernajis.
Syarak tidaklah membebankan kita dengan sesuatu yang di luar kemampuan kita melakukannya. Wallahu a'lam.
Sumber : BHarian 2009/05/03
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...