“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Mei 03, 2009

Lubuk virus

Oleh Nurul Adlina Kamaludin, Rohaniza Idris dan Hafizah Iszahanid
bminggu@bharian.com.my

Imej imbasan pelancong yang dirakam mesin pengesan suhu badan di lapangan terbang antarabangsa yang menjadi pintu masuk utama.

Selesema babi dijangka cetuskan semula wabak yang berlaku pada 1918, 1957 dan 1968 serta menyebabkan jutaan penduduk dunia mati

TEMPOH lebih seminggu lalu mencatat titik hitam sejarah peradaban manusia moden yang biarpun dikelilingi pelbagai peralatan serba canggih tetapi terpaksa akur dengan ancaman virus 'ganas' haiwan dan terbaru, selesema babi.

Ketika dunia terus bergelut dengan ancaman selesema burung yang belum berkesudahan, kemunculan semula wabak yang pernah menggemparkan Amerika Syarikat pada 1976, dikesan seawal 13 April lalu di Mexico, jiran terdekatnya.

Dalam tempoh itu, lebih 1,000 kes dilaporkan di sekurang-kurangnya sembilan negara dengan lebih 100 kematian setakat ini.

Selesema babi atau jenis baru virus H1N1 yang menggabungkan genetik babi, manusia dan burung bukan setakat mendatangkan gejala seperti demam dan dijangkiti menerusi sentuhan langsung dengan babi selain tersebar dari manusia kepada manusia, namun boleh menyebabkan maut.

Berbanding haiwan lain, babi diketahui sebagai 'lubuk' pengeraman virus influenza dan boleh dijangkiti lebih daripada satu virus daripada spesies berbeza. Bahayanya, virus utama membabitkan babi sukar dikenal pasti kerana sistem imun atau daya tahan tubuhnya yang menyebabkan jangkitan serius dan mudah tersebar.

Pekerja di Los Angeles membawa sepanduk menggesa kerajaan memberi perlindungan keluarga berikutan penularan wabak selesema babi.

Apa yang membimbangkan, selesema babi bukan sekadar wabak bermusim, tetapi diramalkan pakar sebagai pandemik atau wabak besar-besaran di seluruh dunia.

Buktinya, kematian ramai di Mexico, negara pertama dan disyaki 'pusat' penularan wabak itu dan seterusnya merebak ke negara termasuk yang berstatus negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Britain, Kanada, New Zealand, Israel dan Sepanyol.

Ancamannya itu memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menaikkan aras amaran ke tahap lima, Khamis lalu - cuma satu aras di belakang tahap teratas amaran pandemik, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa selesema babi itu mungkin melarat kepada pandemik.

"Semua aspek kemanusiaan bakal terancam ketika berlaku pandemik," kata Pengarah WHO, Margaret Chan di Geneva.

Kenyataannya berserta langkah sewajarnya yang diambil kerajaan di hampir semua negara dunia bagi mengatasi penularan penyakit, mencetuskan persoalan mungkinkah selesema babi ini bakal melenyapkan manusia.

Apakah benar andaian ini? Apakah ia mampu mencetuskan wabak selesema di seluruh dunia seperti pernah berlaku pada 1918, 1957 dan 1968 yang turut dicetuskan haiwan? Pada 1918 misalnya, pandemik Selesema Sepanyol meragut lebih 50 juta nyawa yang disifatkan kes terburuk dalam era sejarah moden. Kira-kira 39 tahun kemudian atau 1957, wabak Selesema Asia meragut empat juta nyawa hasil jangkitan daripada itik liar di selatan China yang menular ke Singapura, Hong Kong dan Amerika pada tahun sama. Sebelas tahun kemudian, wabak Selesema Hong Kong meragut lebih sejuta nyawa.

Jika dilihat, pandemik yang berasal dari perkataan Greek 'pan' merujuk semua dan 'demos' atau rakyat, diukur berdasarkan bilangan mereka yang terjejas serta fakta ia boleh menjangkiti mereka yang sihat, selain kumpulan berisiko seperti warga tua.

Andaian kemungkinan selesema babi mampu melenyapkan manusia dilontarkan seorang pakar wabak selesema global yang terkenal dari Universiti Minnesota, Amerika, Michael Osterholm.

Kebimbangannya itu disuarakan menerusi kenyataan yang dipetik kebanyakan media utama dunia: "Apa yang sukar sekarang ialah kita mungkin berdepan krisis kesihatan paling buruk atau mungkin sekadar akan berakhir dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan tidak muncul-muncul lagi.

"Atau ia mungkin menjadi permulaan kepada pandemik influenza yang amat dahsyat. Buat masa ini, kita tidak mengetahui kedudukan sebenar. Inilah yang menjadi masalahnya."

Jika dilihat, wabak selesema babi bukannya baru. Ia pernah muncul pada 1976 di New Jersey, Amerika Syarikat apabila 500 askar disahkan menghidapnya. Program pembasmian diarahkan, tetapi akhirnya dihentikan selepas vaksin yang diberikan sebaliknya meninggalkan kesan sampingan yang jauh lebih buruk dan membahayakan daripada ancaman selesema babi.

Kini, 33 tahun kemudian, ia muncul lagi dengan profil mangsanya termasuk anak kecil dan warga tua. Kemunculannya itu turut menjadikan sekurang-kurangnya tiga pandemik meletus dalam tempoh seabad lalu dan menular dalam tempoh beberapa bulan ke sebahagian besar dunia.

Tidak hairanlah, kemunculan terbaru selesema babi ini disifatkan pakar WHO sebagai tidak boleh dielak dan ketara. Malah menurut WHO, pandemik itu boleh muncul menerusi beberapa kitaran pada jarak beberapa bulan.

Kemunculan selesema babi itu turut meletakkannya sebaris ancaman selesema burung, Sindrom Pernafasan Yang Teruk (Sars) dan Ebola. Selesema burung misalnya, biarpun muncul pada 1997, tetapi terus mengancam manusia yang bersentuhan atau terdedah kepada ayam serta unggas dijangkiti virus H5N1. Setakat ini, ia meragut 257 nyawa dengan 421 orang dijangkiti di 14 negara.

Sars pula yang menyebabkan sindrom pernafasan yang boleh membawa maut, mencetuskan panik apabila mula dikesan pada 2002 dan menular ke 37 negara dengan 774 kematian daripada 8,000 kes. Ia kemudian 'senyap' dan tiada satu pun kes dicatatkan pada 2005.

Ebola pula yang menyebabkan pendarahan dalaman dan luaran yang serius, dikatakan pakar boleh tersebar menerusi udara tetapi kes jangkitan itu setakat ini menerusi cecair.

Banyak kerja sebenarnya yang perlu dibuat andai selesema babi ini menular kepada wabak besar-besaran termasuk melaksanakan kuarantin mandatori, pemberian ubat dan sekatan perjalanan keluar masuk menerusi pintu sempadan negara yang sudah pasti mencetuskan panik.

Apa yang pasti, setakat ini, selesema babi masih dalam lingkungan menyaingi ancaman Sars, selesema burung dan Ebola. Hanya masa menentukan sama ada ia setanding pandemik Selesema Sepanyol, Selesema Asia dan Hong Kong biarpun ramai yang berharap biarlah ia menjadi ancaman sementara.

INFO: Tahap Amaran Pandemik Selesema Babi

  • Tahap 1 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan tidak menjangkiti manusia.

  • Tahap 2 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan menjangkiti manusia.

  • Tahap 3 - Tiada penularan atau penularan virus selesema yang terhad antara manusia ke manusia tetapi tidak menyebabkan wabak dalam komuniti.

  • Tahap 4 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia kepada manusia serta boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti.

  • Tahap 5 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia kepada manusia di sekurang-kurangnya dua negara dalam satu rantau WHO dan memberi `isyarat kuat' bahawa pandemik pasti berlaku.

  • Tahap 6 - Fasa pandemik yang menunjukkan wabak menular ke seluruh dunia.


Sejarah pandemik demam selesema
  • Wabak Peloponnesian - 30,000 maut

    Seramai 30,000 penduduk Athens mati pada 430 Sebelum Masihi ketika peperangan Peloponnesia antara penduduk Athens dengan Sparta. Selain pening, gejala lain seperti ruam kulit, demam, batuk darah, sakit perut, muntah dan dahaga yang teruk hinggakan ada yang terjun ke dalam perigi.

  • Wabak Antonine Plague - Lima juta mati

    Wabak sempena nama Maharaja Rom, Marcus Aurelius Antoninus yang mati pada 180 Selepas Masihi. Wabak ini dibawa ke Rom oleh tentera yang pulang daripada berperang dari Mesopotamia. Ia merebak ke benua kecil Asia, Mesir, Greek dan seluruh empayar Rom dan meragut lima juta nyawa dalam masa 15 tahun.

  • Wabak Justinian Plague � Kira-kira 25 juta hingga 100 juta kematian

    Namanya sempena Maharaja Byzantine, Justinian dan wabak ini dipercayai berasal sama ada di wilayah Asia Tengah atau Ethiopia (Habsyah). Ia menjadi kes pertama wabak bubonik dicatatkan dan berlaku selama 50 tahun yang meragut 25 juta hingga 100 juta nyawa. Perdagangan dunia turut lumpuh.

  • Wabak 'Black Death' - 25 juta kematian

    Ia melanda pada zaman pertengahan Eropah dari akhir 1347 hinggalah awal 1351. Ia dikatakan disebarkan oleh kutu dan tikus. Mangsa lazimnya mati dalam kesakitan dalam masa lima hari selepas dijangkiti kuman itu.

  • Wabak Selesema Sepanyol - Lebih 50 juta kematian

    Ia berlaku pada 1918 dan menjadi kes terburuk pernah berlaku dalam era sejarah moden dan disebabkan sejenis virus selesema H1N1 dijangkiti kira-kira 40 peratus jumlah penduduk dunia ketika itu. Ia meragut lebih 50 juta kematian, majoritinya mereka golongan muda.

  • Wabak Selesema Asia - Empat juta maut

    Berlaku pada 1957, membabitkan itik liar di Guizhou, selatan China dan melalui proses mutasi dengan jenis virus manusia. Menular ke Singapura pada Februari 1957, Hong Kong pada April dan Amerika Syarikat pada Jun tahun sama. Jangkitan paling ramai di kalangan pelajar sekolah, golongan muda, wanita hamil serta orang tua yang mencatatkan kumpulan paling ramai mati.

  • Wabak Selesema Hong Kong - Sejuta maut

    Dikesan pada 1968, kes pertama dikesan di Hong Kong yang disebabkan jenis virus dikenali H3N2 yang meragut sejuta nyawa di seluruh dunia. Ia kembali pada pada 1970 dan 1972. Mangsa berusia 65 tahun ke atas paling ramai mati.

  • Sindrom Pernafasan Yang Teruk (Sars) - 800 kematian

    Dikesan di Guangdong, selatan China pada 2002 tetapi menjadi tumpuan ramai pada Februari 2003 selepas kematian seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat dalam pesawat pulang dari Shanghai. Virusnya mudah tersebar secara pantas ke Kanada, Amerika dan beberapa negara Asia. Daripada 8,096 kes, 774 kematian dilaporkan.

  • Selesema Burung

    Ada banyak jenis selesema burung. Jenis paling bahaya H5 dan H7 sering menyebabkan kematian unggas dan jenis yang paling dibimbangkan adalah H5N1. Ia hanya diketahui menyerang unggas sehinggalah kes pertama jangkitan manusia dikesan di Hong Kong pada 1997. Data WHO menunjukkan 256 maut di seluruh dunia sejak 2003 dan saintis turut memantau perkembangannya kerana bimbang mutasi berlaku dan boleh dijangkiti berjuta-juta penduduk dunia.

  • Demam Selesema - Meragut 250,000 - 500,000 kematian setiap tahun

    Tersebar ke seluruh dunia setiap tahun dan memuncak ketika musim sejuk. Pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan pemberian suntikan vaksin, khususnya kepada kanak-kanak dan warga tua. Amalan kerap membasuh tangan dan sentiasa sihat, menjadi perlindungan terbaik.
Sumber : BHarian 2009/05/03

Malaysia boleh tangani selesema babi

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Vaksin selesema bermusim dalam bentuk serbuk.

Negara sudah ada Pelan Persediaan Pandemik Influenza Kebangsaan yang menggariskan lima strategi, selain ada bekalan vaksin mencukupi

RAMAI yang tidak tahu banyak perbezaan antara selesema babi, selesema burung dan selesema bermusim atau influenza yang berlaku sepanjang tahun di Malaysia.

Jika selesema bermusim boleh ditangani dengan vaksin, sama ada vaksin hemisfera selatan (dikeluarkan setiap Mac) dan vaksin hemisfera utara (dikeluarkan setiap September), tetapi selesema babi yang diramalkan menjadi pandemik atau wabak besar-besaran ketika ini masih tiada vaksinnya.

Berdasarkan perkembangan semasa, vaksin selesema babi mungkin berada di pasaran menjelang Jun nanti.

Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Datin Dr Che Ilina Che Isahak, berkata vaksin selesema bermusim tidak boleh mencegah selesema babi atau selesema burung, tetapi pengambilannya membantu dari segi pengeluaran vaksin itu sendiri jika berlaku wabak.

"Jika vaksin selesema bermusim hanya diambil pada jumlah yang sedikit pada waktu biasa, apabila berlakunya wabak, sukar untuk syarikat farmaseutikal untuk menggandakan jumlah pengeluaran mereka dan memberi keutamaan kepada pengguna," katanya.


Satu daripada sebab warga Malaysia tidak mengambil vaksin selesema bermusim kerana mereka tidak mempercayai kewujudan influenza di negara ini.

Bagaimanapun, mengikut kajian yang dilakukan Dr Che Ilina, influenza berlaku di Malaysia dan ia berupaya menjadi pandemik yang meragut nyawa.

Malah, laporan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut antara lima hingga 15 peratus populasi dunia terjejas dengan masalah influenza. Setiap tahun, antara tiga hingga lima juta kes influenza yang sederhana dan kronik mencatatkan kematian antara 250,000 dan 500,000 orang di seluruh dunia.

Apa yang membezakan influenza dan selesema ialah masalah jangkitan pernafasan terjadi disebabkan virus influenza yang boleh berlaku pada tahap biasa hingga membawa maut.

Jelas Dr Che Ilina, WHO sudah memberi amaran mengenai kemungkinan selesema menjadi pandemik sejak 1999. Justeru, setiap negara mempunyai pelan kecemasan tersendiri.

Apatah lagi pandemik selesema biasanya menyerang 10 tahun sekali berikutan tiada lagi imuniti di kalangan penduduk. Bagaimanapun, sudah hampir 30 tahun, dunia tidak berdepan dengan pandemik selesema yang meragut nyawa dan boleh berpindah daripada manusia ke manusia.

"Malaysia sudah berpengalaman dalam menangani wabak Sindrom Pernafasan yang Teruk (Sars) dan selesema burung, justeru, jika selesema babi menjadi wabak, ia boleh dihadapi dengan baik," katanya.

Malah dalam Pelan Persediaan Pandemik Influenza Kebangsaan (NIPP) sudah menggariskan lima strategi. Antaranya termasuklah pengawasan pertambahan jumlah mereka yang diserang selesema atau penyakit seakan selesema selain penyimpanan bekalan vaksin.

"Sebenarnya, rakyat Malaysia tidak perlu panik kerana kerajaan sudah menyediakan NIPP dan jika berlaku wabak, ia mudah ditangani," katanya.

Kata Dr Che Ilina, berbanding selesema burung, selesema babi boleh berpindah kepada manusia kerana reseptor dalam babi boleh menerima virus selesema burung dan selesema yang terjadi pada manusia.

"Sifat reseptor dalam babi dikenali sebagai 'mixing vessel' menyebabkan ia mudah berpindah kepada manusia dan berpotensi menjadi pandemik," katanya.

Selain babi, kuda dan singa laut juga boleh mencetuskan wabak selesema. Namun keupayaannya menjadi virus yang boleh berpindah daripada manusia kepada manusia belum dapat dipastikan.

"Jumlah babi yang diternak juga sebenarnya menyumbang kepada penularan wabak, apatah lagi jika penternakan itu tidak disertai dengan pelan penternakan yang betul, misalnya pemberian vaksin," katanya.

Kenyataan itu tidak dinafikan kerana seperti kes yang berlaku di Mexico, memetik sumber daripada The Humane Society United States, lokasi wabak selesema babi dikesan menternak sejuta ekor babi. Bagaimanapun, bukan semua ternakan diberi vaksin selesema.

Apatah lagi saiz ladang itu sendiri meningkat dengan banyak daripada 18 peratus pada 1993 kepada 53 peratus pada 2002.

Dengan sifat reseptor babi itu yang mudah menerima dan memindahkan virus selesema dan beban ternakan yang banyak tanpa pelan penternakan teliti, ladang babi di seluruh dunia sepatutnya dikawal selia dengan baik atau dikecilkan.

Sumber : BHarian 2009/05/03

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails